#2783: Apakah Dihukum Sama Orang Gila dengan Depresi dan Sindrom Down?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sering kali saya dengar bahawa orang gila (hilang akal) tidak mempunyai dosa dan akan masuk ke syurga. Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai masalah mental (depression dan sebagainya)? Dan bagaimana pulakah bagi mereka yang istimewa seperti sindrom down dan lainnya? Terima kasih atas pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Orang Gila, Kemurungan (Depression) dan Sindrom Down

  • Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
  • Kemurungan atau depresi adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa.
  • Sindrom Down ialah penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada seorang kanak-kanak. Tiga salinan kromosom 21 (biasanya hanya dua salinan) terdapat dalam setiap satu sel. Penyakit ini juga dikenali sebagai Trisomy 21. Kanak-kanak yang terlibat lahir dengan ciri-ciri fizikal dan boleh juga mempunyai masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengannya. Antara ciri-ciri fizikalnya adalah tubuh yang pendek, kepala bersaiz kecil, lidah terjelir, kecacatan mental yang ringan. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

Walaupun terdapat perbezaan antara ketiga-tiganya tetapi wujud juga persamaan antara ketiga-tiganya, terutamanya penyakit mental dengan kemurungan. Justeru, sebahagiannay mungkin sesuai mengambil hukum dengan sebahagian yang lain.

Sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الْغُلَامِ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ

Maksudnya: Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia sedar.

Hadith riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142)

Maksud ‘telah diangkat pena’ di dalam hadith di atas adalah tidak dibebankan dengan taklif dan tidak dikenakan hukuman atau dosa terhadap apa yang dilakukan oleh mereka. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh Jami’ al-Saghir, 4/46)

Berkenaan isu ini, kami juga telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2459: Solat Bagi Orang Nyanyuk[2]

#2306: Pernikahan dengan Individu Autisme[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan berkenaan tiada dosa ini, ia bergantung sama ada seseorang itu dikira mukallaf atau tidak. Apabila seseorang itu tidak mukallaf maka ibadat juga tidak wajib baginya. Namun, berkenaan mereka yang kemurungan misalnya, mereka tetap dikira mukallaf kerana ketika itu dia bukan hilang akal tetapi gangguan emosi yang menyebabkan mereka kemurungan. Manakala, berkaitan mereka yang Sindrom Down, kami nyatakan penyakit ini mempunyai pelbagai jenis. Ulama juga berbeza pandangan berkenaan hal ini dan kami mentarjhkan mereka yang Sindrom ini tidak mukallaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

[1] http://www.myhealth.gov.my/sindrom-down/

[2] https://maktabahalbakri.com/2459-solat-bagi-orang-nyanyuk/

[3] https://maktabahalbakri.com/2306-pernikahan-dengan-individu-autisme/

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H