#2785: Solat Jumaat Lewat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya datang ke masjid pada hari Jumaat ketika imam berada pada tahiyat akhir. Adakah sah solat Jumaat saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)

Maksud ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ (segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah), para ulama mentafsirkannya dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sobuni, 2/362)

Kami katakan jika kamu luput dari mendengar khutbah atau sebahagiannya maka hendaklah kamu solat Jumaat kecuali kamu hanya mendapatkan imam kurang daripada satu rakaat. Ketika itu, kamu hendaklah melaksanakan dengan menyempurnakan seperti Zuhur.

Selama mana kamu berada dan sempat dengan imam satu rakaat atau lebih, maka dikira sah Jumaat kamu. Jika sekiranya kamu sempat satu rakaat sahaja maka hendaklah kamu tambah satu rakaat lagi selepas imam memberi salam dan kamu dianggap masih sempurna Jumaat dan mendapat Jumaat. Inilah pendapat jumhur berdasarkan kepada dalil.

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَلْيُصَلِّ إِلَيْهَا أُخْرَى

Maksudnya: “Barangsiapa yang sempat satu rakaat (bersama imam) dalam solat Jumaat maka dia tambah satu rakaat lagi.”

Riwayat Ibn Majah (1121), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5945) dan al-Hakim (1708)

Walaupun begitu, ada juga pandangan sebahagian tabi’in siapa yang luput khutbah atau tak sempat mendengar khutbah Jumaat maka hendaklah dia solat 4 rakaat. Sedangkan mazhab Hanafi, Jumaat dianggap sempurna jika seseorang itu sempat solat bersama imam sebelum salam. Walaupun begitu, pendapat yang masyhur adalah pendapat jumhur ulama termasuk mazhab Syafi’i seperti yang kami terangkan di atas.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H