#2791: Melaknat Orang Kafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah harus kita melaknat orang kafir yang tertentu sebagai mana kita doa kepada orang Islam yang tertentu yang lemah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan sifat Nabi SAW yang menyebut tentang sifat rahmah dan baiknya.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiya’: 107)

Imam Muslim mengatakan di dalam kitab sahihnya, telah menceritakan kepada kami Ibn Abu Umar, telah menceritakan kepada kami Marwan al-Fazzari, daripada Yazid ibn Kaisan, dari Ibn Abi Hazim, dari Abu Hurairah RA yang mengatakan, bahawa pernah dikatakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan orang-orang musyrik.” Maka Rasulullah SAW menjawab:

إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, melainkan aku diutus sebagai pembawa rahmat.”

Riwayat Muslim (2599)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama telah khilaf kepada 2 pendapat:

Pertama, tidak harus kita melaknatnya kerana kita tidak ketahui di hujung usianya, boleh jadi dia memeluk Islam dan dia mati dalam keadaan Islam. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

(Surah al-Baqarah: 161)

Nas ini menunjukkan ayat ini dikait atau diikat hak laknat dengan syarat mati atas kufur.

Kedua, harus melaknat orang kafir yang tertentu dan ini mazhab Imam Ahmad. (Lihat al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 2/586)

Mereka berhujahkan kepada hadith Umar ibn al-Khattab, katanya:

 أَنَّ رَجُلًا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ جَلَدَهُ فِي الشَّرَابِ، فَأُتِيَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ القَوْمِ: اللَّهُمَّ العَنْهُ، مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ إِنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ».

Maksudnya: Bahawa seorang lelaki pada zaman Rasulullah SAW namanya Abdullah dan beliau dilaqab dengan himar atau keldai dan dia sentiasa mengetawakan Rasulullah SAW. Nabi SAW pernah menyebatnya kerana minum arak. Pernah satu hari dia dibawa dan diperintahkan untuk disebat, lantas seorang lelaki daripada kaum bangkit dan berkata, “Ya Allah, celakakanlah dia, betapa banyaknya dia datang dengan mudarat.” lantas, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan kamu melaknatnya. Demi Allah, aku tidak mengetahui kecuali dia cintakan Allah dan rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (6780)

Kami tarjihkan bahawa tidak boleh melaknat orang kafir tertentu kecuali kezaliman yang melampau dan penghinaan kepada Islam serta umat Islam yang bersangatan.

Akhir kalam, marilah sama-saam kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H