Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Minta maaf bertanya, ada ustaz mengajar kata ada ulama membenarkan minum air kencing unta kerana ada hadith Nabi SAW tentang hal ini. Bagaimana kita hendak menjelaskan hal ini kepada orang bukan Islam kerana apabila kita kata Islam mengajar memakan benda suci, tetapi mereka akan kata ada hadith benar minum air kencing unta. Jazakumullah khaira Dato Seri dan team.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ
Maksudnya: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?”
(Surah al-Ghashiyah: 17)
Pertama, persoalan ini timbul kerana adanya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, beliau berkata:
قَدِمَ أَعْرَابٌ مِنْ عُرَيْنَةَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَسْلَمُوا فَاجْتَوَوُا الْمَدِينَةَ حَتَّى اصْفَرَّتْ أَلْوَانُهُمْ وَعَظُمَتْ بُطُونُهُمْ فَبَعَثَ بِهِمْ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى لِقَاحٍ لَهُ فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا حَتَّى صَحُّوا
Maksudnya: “Bahawa datang sekumpulan badawi dari puak ‘Urainah kepada Nabi SAW dan memeluk islam. Kemudian kerana terkesan dengan suhu madinah, kulit mereka menjadi kekuningan dan kembung perut mereka. Lalu Nabi mengirimkan kepada mereka susu unta dan mengarahkan mereka untuk minum susu dan air kencing unta sehingga mereka sembuh.”
Riwayat al-Nasa’ie (4035)
Berdasarkan hadis ini, para fuqaha mengeluarkan pendapat tentang hukum berubat dengan air kencing unta.
Adakah Air Kencing Unta Dikira Najis
Terdapat dua pandangan ulama’ dalam hal ini:
- Pendapat yang pertama, bahawa air kencing unta bukanlah najis di sisi Imam Malik, Imam Ahmad dan sebahagian salaf. Pendapat ini juga disokong sebahagian ulama mazhab al-Syafie seperti Ibn Munzir, Ibn Hibban dan lain-lain.
- Pendapat yang kedua mengatakan air kencing unta adalah najis. Ini adalah pendapat Imam al-Syafi’i sendiri dan jumhur ulama’. (Lihat Fath al-Bari, 1/338)
Hukum Berubat Dengan Air Kencing Unta
Imam Nawawi menyebutkan hukum berubat dengan air kencing unta adalah dibolehkan berdasarkan perintah Nabi SAW kepada puak ‘Urainah dalam hadis yang telah kami sebutkan. (Lihat al-Majmu’, 9/51)
Terdapat juga pendapat-pendapat lain yang mengatakan tidak boleh berubat dengan air kencing unta. Namun ini adalah pendapat-pendapat yang lemah. (Lihat Raudhah al-Thalibin, 3/285).
Syarat berubat dengan air kencing unta
Imam Nawawi meletakkan syarat sekiranya ingin menggunakan air kencing unta sebagai ubat. (Lihat al-Majmu’, 9/51)
Hendaklah yang mengambil air kencing unta sebagai ubat itu arif tentang ubat-ubatan
Sekiranya yang ingin berubat tidak tahu tentang ubat-ubatan, hendaklah dia mendapat nasihat daripada pengamal perubatan muslim yang adil.
Imam Baghawi menambah, cukup seorang pengamal perubatan sahaja
Kelebihan Air Kencing Unta
Air kencing unta ini dipercayai mempunyai kelebihan yang banyak sepertimana dibuktikan dalam kisah kumpulan arab badwi berdasarkan hadis yang dinyatakan.
Selain daripada bukti yang disebut di dalam hadith, terdapat banyak kes-kes yang membuktikan air kencing unta ini mampu merawat penyakit. Air kencing unta ini dikatakan mengandungi kalsium yang tinggi. (Lihat al-Sunnah al-Muthaharah, hlm.79, al-Tib al-Arabi, 1/278 dan al-I’jaz al-Ilmi fi Sunnah Nabawiyah, hlm. 833).
Menjawab persoalan di atas, kami noktahkan beberapa perkara:
- Air kencing unta khilaf kepada dua pandangan dan pendapat yang masyhur tidak najis.
- Mazhab Syafi’i sendiri mengharuskan perubatan dengan air kencing unta seperti kata Imam Nawawi.
- Wujudnya syarat rawatan dan perubatan dengan menggunakan air kencing unta oleh perawat yang arif lagi bijaksana.
- Telah sabit melalui testimoni keberkesanan rawatan tersebut, setengah riwayat menyatakan berlaku campuran dengan susu dan air kencing unta sebagai mana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.
- Nas hadith tersebut menggambarkan kepada kita bahawa mereka yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW cara rawatan seperti itu telah sembuh dengan sepenuhnya.
Berdasarkan kenytaan kami maka tidak lagi timbul isu yang ditanyakan itu. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H