#2795: Mendidik Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Minta maaf bertanya, saya ada seorang anak lelaki berumur 2 tahun. Saya dan isteri sayang kepada anak kami ini, dan kami cuba penuhi apa apa hajat yang anak kami semampunya. Kami berasa sedikit risau kerana anak kami ada masa seperti degil, contoh ketika menukar lampin, dan ada juga memukul kami. Mungkin dia masih kecil dan kami biarkan sambil beri nasihat tetapi saya risau akan dibawa sehingga ke dewasa. Bagaimana saya hendak mendidik anak saya ini? Bolehkah saya memukul sedikit dia dan apakah cara Nabi SAW mendidik anak anak kecil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Al-Sabuni berkata, jadikanlah kami pada suami-suami kami/isteri-isteri kami dan anak-anak kami kegembiraan dan kebahagiaan dengan sentiasa berpegang dalam ketaatan kepada-Mu dan beramal dalam mencari keredhaan-Mu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/340)

Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)

Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)

Ramai dalam kalangan salafus soleh dan ulama’ yang beramal dengan doa ini dan melaziminya agar dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan dengan keluarga yang sentiasa mentaati perintah Allah. Natijahnya, keluarga mereka mendapat banyak kelebihan dan kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan.

Dalam isu saudara, kami berpendapat tidak elok memukul anak yang amat kecil tetapi cukuplah dengan marah kepadanya. Ini kerana nas hadith menunjukkan Rasulullah SAW suruh memukul anak ketika berusia 10 tahun jika enggan untuk solat selepas diperintahkan.

Adapun kurang daripada itu, sekadar suruh atau larang semata-mata dengan menunjukkan marah atas perbuatan anak tersebut. Keduanya, saya mengesyorkan agar anda mengikuti kursus kaedah parenting yang terbaik termasuk sentuhan yang ada dalam Islam melalui kaedah-kaedah yang betul.

Ketiganya, bacalah buku-buku yang terkait dengan tarbiyah anak-anak dan antara buku yang kami syorkan ialah Tarbiyatul Aulad oleh Syeikh Abdullah Nasih Ulwan. Ia mencakupi bermula daripada pemilihan pasangan sehingga selesai dalam mentarbiyah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Pendapat saya, banyak manfaat yang diperolehi daripada buku tersebut dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

Keempatnya, dalam mendidik anak jangan cepat bosan dan marah. Tetapi sebaiknya didiklah dengan penuh rasa kasih sayang dan rahmah kerana anak akan menyambung generasi kita serta menjadi fotostat atau cerminan kita. Ini kerana, ibu bapa adalah guru yang pertama kepada anak-anak.

Dapatan kami menunjukkan salah satu punca perceraian dalam isu mendidik dan mengajar anak. Justeru, masalah pelajaran anak-anak boleh juga menjadi punca tercetusnya konflik di dalam rumahtangga. Seharusnya masalah anak-anak diselesaikan bersarna- sama dengan bijaksana, bukannya jadi bahan pertengkaran.

la juga berkaitan dengan kaedah kita mendidik anak- anak, terutama di dalam era yang penuh mencabar masakini. Cara yang berkesan dalam mendidik anak- anak adalah dengan memberikan pendidikan ukhrawi dan duniawi yang seimbang.

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, tiada dosa. Bila anak diberikan didikan yang baik dia akan menjadi anak yang soleh. Jika anak dibesarkan di tengah-tengah ibubapa yang sering bertengkar atau ibubapa yang berakhlak di luar dari landasan agama, anak itu akan turut bersikap demikian juga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَحِّسَانِهِ

Maksudnya: “Anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah. Ibubapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.”

Riwayat al-Bukhari (1385)

Oleh kerana itu, Islam sangat menekankan tentang pendidikan atau tarbiah anak-anak menerusi ibubapa. Ibubapa mesti mencipta norma dan suasana didikan yang baik di dalam rumahtangga. Rasulullah SAW bersabda:

Rasulullah SAW bersabda lagi:

أكرموا أولادكم وأحسِنُوا أَدَبَهُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu muliakan anak-anak kamu, dan didiklah mereka dengan adab yang baik (terpuji).”

Riwayat Ibn Majah (3671), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/400) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (1/389).

Dalam riwayat yang lain, daripada Jabir bin Samurah R.A, sabda Rasulullah SAW:

لأَنْ يُؤدِّبَ الرجلُ ولده؛ خيرٌ له من أن يتصدَّقَ بصاع.

Maksudnya: “Seseorang mendidik anaknya itu lebih baik baginya daripada bersedekah satu gantang.”

Riwayat al-Tirmizi (1951) dan Ab- mad (20970). Dinilai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (4642).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

 ما نحل والد ولده أفضل من أدب حسن

Maksudnya: “Tiada pemberian seorang bapa terhadap anak-anaknya yang lebih baik daripada (didikan) yang baik dan adab yang mulia.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاثة: من صدقة جارية، وعلم ينتفع به، وولد صالح يدعو له

Maksudnya: “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh, yang berdoa untuknya.”

Riwayat Muslim (1631), Abu Daud (2880), al-Tirmizi (1376) dan al-Na- saie (3651)

Peri pentingnya mendidik anak kami nyatakan pendapat beberapa tokoh barat:

  • John Lyly, “Sewaktu anak-anak masih muda, ajarlah mereka kebaikan dan kejayaan.”
  • Haim Ginott, “Apabila anda mengharapkan anak anda menjadi baik, biarkanlah mereka mendengar hal-hal yang baik mengenai mereka yang anda ceritakan kepada orang lain.”
  • Oscar Wilde, “Jalan terbaik bagi membuat anak-anak menjadi baik adalah membuat mereka bahagia.”

Kami doakan semoga anak anda menjadi anak yang soleh dan solehah dan binalah keluarga bahagia sebagai baiti jannati atau rumahku syurgaku. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H