#2799: Kisah Pemilikan Telaga Rumah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana Saidina Uthman dapat menguasai telaga Rumah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Saidina Uthman R.A terkenal dengan kayanya di samping seorang dermawan yang luar biasa. Beliau banyak membantu Islam dan orang-orang Islam. Antara bantuannya yang terbesar ialah ketika persediaan tentera Islam untuk peperangan Tabuk. Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa telaga yang dikenali sebagai Telaga Uthman ini asalnya dimiliki oleh seorang Yahudi yang menjual airnya kepada orang Muslim. Imam al-‘Aini menukilkan daripada al-Kalbi bahawa umat Islam ketika itu biasanya membeli air dari telaga tersebut dengan harga 1 dirham untuk 1 kantung air sebelum Saidina Uthman membeli dan mewakafkannya untuk kaum muslimin. (Lihat Umdah al-Qari, 21/141)

Sewaktu Rasulullah SAW sampai di Madinah, tidak ada air yang lazat untuk diminum kecuali dari telaga ini. Rasullulah SAW bersabda: “Sesiapa yang membeli telaga al-Rumah ini dan mewakafkan airnya kepada orang-orang Islam, dia akan diberikan pahala berdasarkan setiap timba air yang disedekahkan itu dan kelak dia akan meminum air di dalam syurga.”

Menurut riwayat Ibn Abd al-Bar dalam al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab (3/157), Saidina Uthman bin Affan telah menawarkan untuk membeli telaga itu. Tetapi sebaliknya Yahudi tersebut bersetuju untuk menjual separuh daripadanya sahaja dengan harga 12,000 dirham. Giliran untuk ambil air secara berselang hari juga turut dipersetujui.

Maka pada hari giliran Saidina Uthman bin Affan semua orang Islam datang mengambil air percuma itu untuk bekalan selama dua hari supaya mereka tidak perlu membeli air daripada Yahudi itu pada esoknya. Melihat keadaan ini Yahudi itu menyedari bahawa perniagaannya sudah mulai merosot lalu menawarkan untuk menjual kesemua telaga itu kepada Saidina Uthman dengan tambahan sebanyak 8,000 dirham lagi, menjadikannya bernilai 20,000 dirham keseluruhannya. (Lihat juga Tarikh Dimasyq, 39/20, Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/ 323)

Saya katakan, kebijaksanaan dalam perniagaan dan kelicikan jual beli yang dibuat oleh Saidina Uthman dengan tawaran kepada Yahudi jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang benar-benar mendalami sebarang bentuk strategi perniagaan dan interaksinya menatijahkan telaga Bi’ru Rumah menjadi miliknya yang akhirnya diwakafkan fi sabilillah. Dengan ini, selesailah kemelut yang dihadapi penduduk Islam Madinah dalam mendapatkan sumber air dengan bayaran yang membebankan kepada wakafan Saidina Uthman secara percuma.

Telaga ini masih wujud hingga ke hari ini. Telaga ini terletak kira-kira 1 km dari Masjid al-Qiblatain, iaitu di Jalan Abu Bakar al-Siddiq. Kini ia diletakkan di bawah jagaan Kementerian Air dan Pertanian Arab Saudi. (Lihat Buku Madinah Munawwarah: Kelebihan dan Sejarah oleh Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, hlm. 108-111)

Telaga Rumah
https://madainproject.com/content/media/collect/rumah_well_55827.jpg

(Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 74-75)

Semoga Allah kurniakan kepada kita sifat pemurah dan dikurniakan segala hajat-hajat kita dengan rezeki yang baik:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H