#2800: Sedekah Seekor Unta Mendapat 700 Unta

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah ada hadith yang menyebut seorang yang bersedekah seekor unta akan mendapat 700 ekor unta?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ‎﴿٢٦١﴾‏ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ringkasnya orang yang mendermakan hartanya demi mencari keredaan Ilahi dan meninggikan agama-Nya adalah ibarat sebutir biji yang baik ditanam di tanah yang subur. Lalu ia tumbuh dengan subur serta menumbuhkan hasil tujuh ratus kali ganda. Antara yang dapat kita iktibarkan daripada ayat di atas juga ialah, Allah SWT akan mengurniakan tambahan tanpa had kepada orang yang bersedekah pada jalan-Nya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/601)

Sayyid Qutb berkata: Al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan ia tidak berkurang tetapi bertambah. Kemudian rasa ingin memberi dirangsangkan lagi dengan pemandangan tanaman yang banyak memberikan hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda, yang tidak terhingga dan tidak terkira. Allah melipatgandakan rezekinya yang tiada sesiapa pun mengetahui batasnya dan melipatgandakan rahmat-Nya yang tiada sesiapa mengetahui batas sempadannya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/103-104)

Diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ بِنَاقَةٍ مَخْطُومَةٍ فَقَالَ هَذِهِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- : لَكَ بِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَبْعُمِائَةِ نَاقِةٍ كُلُّهَا مَخْطُومَةٌ

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki telah menginfakkan seekor unta yang bercucuk hidungnya (tali) pada jalan Allah, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Bagi kamu dengannya pada Hari Kiamat nanti tujuh ratus unta yang telah diikat tali pada hidungnya.”

Riwayat Muslim (5005), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (3187), Ahmad (17222) dan Ibn Hibban (4649)

Imam al-Nawawi berkata: Lafaz ‘مَخْطُومَةٍ’ bermaksud diberi tali kekang, dan ia hampir sama maknanya dengan perkataan ‘الزِّمَامِ’ (tali kekang). Mengenai permasalahan ini, telah dijelaskan berulang-ulang. Ada yang mengatakan, “Hal ini mengandungi kemungkinan bahawa yang dimaksudkan adalah orang tersebut memperoleh pahala dari tujuh ratus ekor unta yang dia sedekahkan. Kemungkinan lain, orang itu benar-benar mendapat tujuh ratus ekor unta di syurga, yang setiap satunya memiliki tali kekang. Dia dapat menunggang unta-unta itu mengikut keinginannya, ke mana sahaja untuk bersiar-siar. Sebagaimana dalam hadith lain yang menyebut tentang kuda syurga dan kemuliaannya. Kemungkinan ini lebih kuat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 13/38)

Lihatlah ganjaran Allah pada hari Kiamat, seekor dibalas dengan tujuh ratus ekor unta yang telah siap dengan tali hidungnya. Maha Kaya Allah dan Maha Pemurahnya dengan balasan kepada hamba-Nya yang berinfaq hanya dengan seekor unta. Kisah ini juga boleh dikiaskan kepada apa-apa sumbangan yang pasti akan dibayar dengan anugerah tujuh ratus atau lebih berdasarkan nas Ilahi yang telah dibahaskan di atas. (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 73-74)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H