#2801: Sedekah Menyembuhkan Penyakit

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada orang kata dengan kita bersedekah penyakit kita akan disembuhkan, boleh ceritakan kepada kami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

(Surah al-Baqarah: 3)

Imam al-Tabari menyatakan perkataan يُنفِقُونَ  dalam ayat ini merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. (Lihat Jami’ al-Bayan, hlm. 1/244). Justeru, sedeqah dan infaq itu ialah sinonim.

Menajwab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab Mu’jam al-Safar (hlm. 251), bahawa Abu Bakar al-Khabbazi dari Naisabur berkata: Aku telah mengalami sakit yang parah. Kemudian jiran tetanggaku yang soleh datang menziarahiku dan berkata kepadaku: “Beramallah dengan sabda Rasulullah SAW:

دَاوُواْ مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.” [1]

Dan pada ketika itu, keadaan berada dalam kesempitan dan musim panas. Maka aku membeli buah tembikai yang sangat banyak. Maka berkumpullah orang-orang yang fakir dan anak-anak kecil, lalu mereka memakannya.

Kemudian, mereka mengangkat tangan-tangan mereka kepada Allah, dan mendoakan kesembuhan untukku.

Maka demi Allah, tidaklah aku berada di waktu pagi (pada hari berikutnya), melainkan aku dalam keadaan sihat yang diberikan oleh Tabaraka wa Ta’ala. (Lihat Mu’jam al-Safar oleh al-Hafiz Abu Tahir Ahmad bin Muhammad al-Silafi, hlm. 251)

Dalam buku Hikmah Terapi Sedekah (terj.) oleh Hasan bin Ahmad bin Hassan Hammad menceritakan:

Terdapat seorang usahawan yang kaya. Takdir telah menimpanya kerana beliau disahkan menghidap kanser. Hospital terkenal tempatan yang dirujuknya telah memaklumkan perkara tersebut.

Beliau dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan pakar di luar negara. Tujuannya adalah untuk memastikan gejala kanser tersebut benar-benar wujud.

Akhirnya, setelah mendapatkan pemeriksaan di luar negara, beliau didapati sememangnya menghidap kanser. Peratusan untuk sembuh sangat kecil dan tipis.

Doktor pakar di hospital tersebut menyarankan agar pembedahan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan sel-sel kanser menjadi bertambah kronik.

Namun, usahawan tersebut belum bersedia. Beliau memohon untuk kembali ke tanah air. Dalam fikirannya, beliau asyik runsing untuk menguruskan perkara-perkara berkaitan wasiat sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.

Beliau mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air dan cuba merahsiakan status kesihatannya kepada ahli keluarga. Ketika beliau berada di pejabatnya, yang bersebelahan dengan jalan besar, beliau ternampak seorang wanita separuh umur sedang sibuk mengumpul tulang-temulang di pusat penyembelihan haiwan ternakan. Lalu timbul perasaan hairan pada fikiran usahawan tersebut. Beliau pun pergi dan menemui wanita tersebut seraya bertanya, “Wahai makcik, mengapa dikumpulkan tulang-temulang ini?”

Jawab wanita itu, “Maaf ya tuan. Anak saya di rumah kelaparan. Mereka sangat teringin untuk memakan daging, sedangkan kami tidak mampu untuk membeli makanan sebagaimana orang lain. Jadi, saya meminta kebenaran pemilik di sini untuk mengumpul tulang atau lebihan sisa daging yang kecil bagi dijadikan sumber makanan kami.”

Usahawan tersebut terdiam. Dalam hatinya, terasa kasihan dan sebak melihat kesusahan yang dihadapi oleh wanita itu.

Tanpa berfikir panjang, usahawan tersebut terus memberikan sejumlah wang untuk wanita tersebut. Beliau juga membeli secara pukal daging dan menyuruh pemilik pusat penyembelihan untuk menghantar daging setiap minggu kepada wanita itu.

Wanita miskin itu berasa sangat gembira dan lantas mendoakan sambil menangis dengan penuh perasaan bagi kesejahteraan usahawan tersebut. Kemudian selepas itu, beliau merasakan aliran darahnya lancar dan seolah-olah bertenaga. Pada waktu petangnya, beliau pulang ke rumah, maka keluarganya bertanya akan halnya yang nampak berubah dengan wajahnya yang merah yang menggambarkan kesihatan yang baik. Usahawan tersebut menceritakan apa yang berlaku. Maka anak isterinya menangis seraya mendoakan untuk usahawan tersebut.

Setelah berlalu beberapa bulan, akhirnya tiba masa untuk usahawan pemurah tersebut kembali ke luar negara untuk sesi rawatan. Hal tersebut dilakukan setelah selesai semua urusan wasiat dan pengurusan amanah perniagaannya kepada pihak tertentu.

Sebelum operasi pembedahan dilakukan, para pakar kesihatan sekali lagi melakukan pemeriksaan. Pada kali ini, mereka sangat terkejut dan hairan. Sel-sel kanser yang hendak dibuang dalam pembedahan tersebut hilang tanpa meninggalkan kesan.

Pakar perubatan itu lalu bertanyakan kepada usahawan tersebut, “Adakah tuan pergi ke hospital lain untuk proses penyembuhan ini sehingga keadaan tuan sudah kembali sihat?”

Jawab usahawan itu, “Masya Allah. Saya tidak pergi ke mana-mana hospital selepas pulang dari sini beberapa bulan yang lepas.”

Usahawan tersebut akhirnya selamat daripada sakit kanser yang dihadapinya. Beliau sangat bersyukur kepada Allah SWT. Ketika itu, beliau baru teringat tentang sedekah yang dilakukannya kepada wanita miskin beberapa bulan sebelumnya. (Lihat Hikmah Terapi Sedekah, hlm. 34 dengan sedikit olahan) (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 99-103)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a’lam

[1] Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadis ini sebagai sahih.

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445