#2810: Ujian Sebagai Tamkin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah ujian yang dihadapi oleh seseorang boleh menjadi tamkin dalam kehidupannya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami nyatakan bahawa dunia merupakan dar ibtila’ atau tempat ujian, natijah daripada kesabaran dan menghadapinya dengan keredhaan maka Allah SWT akan beri kepada mereka keampunan, rahmat dan hidayah. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٥٥﴾‏ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎﴿١٥٦﴾‏ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Surah al-Baqarah (155-157)

Bahkan, Allah SWT menjadikan pemimpin-pemimpin apabila mereka bersabar dan beriman dengan ayat-ayat Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

Surah al-Sajadah (24)

Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata ibtala’ atau ujian merupakan silaturrahim bagi tamkin. Maksud tamkin di sini ialah Allah SWT tetapkannya di muka bumi dan menganugerahkan kepada kedudukan serta pangkat hasil daripada kesabaran menempuh ujian.

Sebenarnya, ia mempunyai beberapa fasa dan marhalah yang Allah SWT jeniskannya sebagai contoh, tamkin Nabi Allah Yusuf dimulakan dengan dicampakkannya dalam telaga seterusnya dijual kemudian dijadikan hamba abdi kemudian dipenjarakannya. Marhalah yang dilalui ini yang pelbagai jenis berakhir dengan lantikan sebagai menteri di Mesir.

Rasulullah SAW yang kami kisahkannya dalam Garis Masa Hayat Rasulullah SAW sehingga terpaksa berhijrah dan menghadapi tentangan kaum Quraisy serta Rom dan Parsi akhirnya Allah SWT tetapkannya untuk mentadbir bumi Madinah mengikut petunjuk Ilahi. Walaupun ujian demi ujian dihadapi, tetapi akhirnya Rasulullah SAW menjadi pemimpin kepada ummah dalam membawa kebaikan serta petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT.

Sebagai tanda Allah SWT tamkinkan kita maka hendaklah kita mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar di samping melakukan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan rasul-Nya serta menjauhkan segala larangan-Nya.

Marilah sama-sama kita munajat dan berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445