#2816: Tanduk Kerbau atau Kambing Sebagai Perhiasan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang menyimpan atau menjadikan tanduk haiwan sembelihan seperti kerbau dan kambing sebagai perhiasan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa hukum asal semua haiwan yang masih hidup adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis melainkan anjing, babi dan haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Manakala semua haiwan yang mati tanpa mengikut sembelihan syarak, kesemuanya adalah najis — kerana telah menjadi bangkai[1] — kecuali bangkai belalang, ikan dan manusia. Hal ini kerana ketiga-tiga bangkai ini adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Begitu juga, haiwan yang halal dimakan sekiranya disembelih mengikut syarak dan kemudiannya mati disebabkan oleh sembelihan itu, maka ia adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Manakala haiwan yang tidak boleh dimakan pula, sekiranya ia mati, kesemuanya tetap menjadi najis sekalipun disembelih mengikut syarak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 127).

Begitu juga tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80). Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Oleh itu, tanduk kerbau atau kambing yang disembelih dihukumkan sebagai suci kerana ia mengikut hukum haiwan yang disembelih itu serta boleh dijadikan sebagai perhiasan. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Begitu juga dengan kaedah:

الْفَرْعُ يَتْبَعُ الْأَصْلَ

Maksudnya:Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Dalam erti kata lain, semua bahagian-bahagian haiwan itu adalah cabang atau sebahagian daripada haiwan yang disembelih tersebut. Justeru, hukum yang sama turut terpakai ke atas bahagian-bahagian tersebut — yakni suci dan harus untuk dimanfaatkan.

Adapun tanduk yang diambil daripada haiwan seperti kerbau dan kambing yang masih lagi hidup pula dihukumkan sebagai najis kerana ia dianggap sebagai bangkai. Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Waqid al-Laithi:

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهِيَ مَيْتَةٌ

Maksudnya: “Apa yang terpotong daripada haiwan ketika ia masih lagi hidup maka ia adalah bangkai.

Riwayat Abu Dawud (2858)

Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan dengan lebih lanjut bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijmak para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).

Begitulah juga tanduk yang diambil daripada bangkai turut dihukumkan sebagai najis sekalipun ia daripada haiwan seperti kerbau dan kambing. Ini kerana ia mengikut hukum haiwan itu yang merupakan asalnya.

Seterusnya, berkenaan menjadikan tanduk atau tulang bangkai itu sebagai perhiasan pula dihukumkan sebagai makruh. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi tentang penggunaan tulang gajah bahawa para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat, makruh menggunakannya (tulang/gading gajah) pada sesuatu yang kering kerana bersentuhan dengan najis, dan ia tidaklah haram kerana sesuatu yang kering itu tidak akan menjadi najis dengan sebab bersentuhan dengannya (yang juga dalam keadaan kering). Sekiranya seseorang membuat sikat daripada tulang gajah, lalu menggunakannya pada kepalanya (rambutnya) atau janggutnya, jika salah satunya dalam keadaan basah (iaitu sikat atau rambut dan janggut), maka rambutnya turut ternajis (disebabkan bersentuhan dengan sikat itu). Jika tidak basah salah satunya, maka rambutnya tidak ternajis. Akan tetapi hukumnya adalah makruh dan tidaklah haram. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/243).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkannya seperti mana berikut:

  • Tanduk haiwan yang halal dagingnya seperti kerbau dan kambing yang disembelih adalah suci dan harus untuk digunakan atau dijadikan sebagai perhiasan.
  • Tanduk haiwan yang diambil daripada bangkai adalah tidak suci dan dikira sebagai najis. Namun, menjadikannya sebagai perhiasan hukumnya adalah makruh dan tidak haram.

Sekalipun begitu, kami turut mengingatkan agar tanduk atau tulang yang hendak dijadikan sebagai perhiasan itu hendaklah diproses dan dibersihkan sebaiknya daripada sisa-sisa daging dan seumpamanya agar ia tidak menjadi busuk, lalu meninggalkan bau yang kurang menyenangkan sehingga menimbulkan ketidakselesaan orang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

[1] Bangkai ialah haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syarak atau dalam bahasa lainnya, ia disembelih tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak yang mana perlu memenuhi syarat-syarat pada penyembelih, haiwan yang disembelih dan alat sembelihan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 126).

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445