#2823: Rahsia Penetapan Takwim Islam Dengan Hijrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Saidina Umar tidak menetapkan takwim Islam dengan tarikh kelahiran Nabi SAW sebagaimana yang berlaku kepada tarikh Masihi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Membaca sirah Nabi SAW termasuklah dalam buku kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW dapat kita bandingkan dua suasana yang berbeza antara waktu kelahiran Rasulullah SAW dan waktu hijrah Nabi SAW.

Dalam menetapkan tarikh seperti ini, Saidina Umar telah menerima pelbagai pandangan tetapi pandangan yang paling utama dan menarik berdasarkan hijrah Nabi SAW. Ini kerana, umat ini adalah umat beramal yang tidak disucikan dengan zaman tanpa amal seperti kata Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi.

Kami katakan dengan hijrah Nabi SAW telah mencatatkan kemenangan dan kejayaan yang besar, antaranya pembinaan Masjid Quba dan masjid nabawi, persaudaraan antara Ansar dan Muhajirin, pembentukan Piagam Madinah, penyusunan urus tadbir negara, pembinaan ekonomi Islam, pengukuhan siyasah Islam dan juga menghubungkan manusia dengan Tuhan melalui solat dan ibadat di samping pembentukan akhlak serta spiritua, dan kerohanian.

Dalam erti kata lain, hijrah Nabi SAW telah membuat sebuah perubahan yang besar dan total dalam membina hurriyyah yang sebenar dan mengembalikan insaniyyatu al-insan. Di samping memahami matlamat kehidupan sebagai mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai mana nas Ilahi:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

(Surah al-Zariyat: 56)

Begitu juga, hijrah menjadikan manusia sebagai khallifah Allah SWT di muka bumi yang menegakkan perintah Tuhan dan bersiyasah degannya. Semoga kita sentiasa diberikan kefahaman dalam Islam dan dapat istiqamah denagnnya.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445