#2824: Hukum Terlupa Ayat al-Quran ketika Membaca Surah Selepas Surah al-Fatihah

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini imam di surau saya yang mana setelah surah al-Fatihah, beliau membaca surah selain surah lazim yang mana ketika pertengahan ayat, dia terlupa ayat tersebut walaupun diulang beberapa kali, maka beliau terus berpindah ke surah lazim dan ruku’. Adakah ia dibolehkan? Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Di antara sunat haiat ialah membaca surah atau apa sahaja ayat al-Quran selepas daripada membaca al-Fatihah. Ini berdasarkan athar daripada ‘Atha’ yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij, katanya bahawa dia mendengar Abu Hurairah R.A berkata:

فِي كُلِّ صَلاَةٍ يُقْرَأُ، فَمَا أَسْمَعَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ، وَمَا أَخْفَى عَنَّا أَخْفَيْنَا عَنْكُمْ، وَإِنْ لَمْ تَزِدْ عَلَى أُمِّ القُرْآنِ أَجْزَأَتْ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ.

Maksudnya: “(Al-Qur’an) dibaca pada setiap kali solat. Maka pada solat yang Rasulullah SAW memperdengarkan kepada kami, maka kami akan memperdengarkan kepada kamu dan pada solat yang Baginda memperlahankan kepada kami, maka kami akan memperlahankan kepada kamu. Dan sekiranya kamu hanya membaca surah al-Fatihah, hal itu sudah cukup. Namun, sekiranya kamu melebihkan (dengan membaca juga surah lain) maka itu adalah lebih baik.”

Riwayat al-Bukhari (772)

Al-Khatib al-Syarbini menyebut bahawa membaca surah selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyah atau sirriyah. Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam. (Lihat al-Iqna’ fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/142)

Imam Terlupa Ketika Membaca Surah Selepas al-Fatihah

Pada asasnya, sesiapa yang terlupa membaca surah atau melakukan kesilapan dalam solatnya yang tidak melibatkan rukun solat seperti surah al-Fatihah, maka solatnya tetap sah kerana membaca surah selepas al-Fatihah adalah sunat dan bukan wajib.

Ulama al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ berkata: “Sesiapa yang terlupa membaca surah selepas al-Fatihah dalam solat, tidak dikenakan apa-apa ke atasnya, sama ada sebagai imam, makmum, atau individu yang solat sendirian, sama ada solat fardhu atau sunat. Ini adalah pandangan yang paling sahih dalam kalangan ulama.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 7/146)

Manakala bagi sesiapa yang melakukan kesilapan ketika membaca surah atau terlupa sebahagian daripadanya, hendaklah dia cuba memperbetulkan kesilapan dan cuba mengingati kembali ayat yang terlupa. Jika tidak mampu juga, maka dia boleh berpindah ke ayat berikutnya atau meninggalkan surah tersebut dan memulakan dengan surah lain, atau terus ruku’. Jika dia melakukan salah satu daripada tindakan ini, tidak ada masalah ke atasnya.

Ulama al-Lajnah al-Daimah li al-Ifta’ berkata: “Jika seseorang yang solat terkeliru ketika membaca ayat dan tidak dapat mengingatinya, tiada masalah jika dia membaca ayat yang seterusnya. Tetapi, disunatkan agar dia hanya membaca dalam solat apa yang dia hafal dengan baik untuk mengelakkan kekeliruan.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 5/337)

Syeikh Abd al-Aziz bin Baz ketika ditanya jika imam dalam solat membaca sebahagian daripada Quran, kemudian terlupa untuk melengkapkan ayat, dan tiada sesiapa yang tahu untuk membantu dia dalam kalangan jemaah, apakah dia perlu bertakbir dan mengakhiri rakaat atau membaca surah yang lain?, maka beliau menjawab: “Dia mempunyai pilihan. Jika dia mahu, dia boleh terus takbir ruku’ dan mengakhiri bacaannya. Jika dia mahu, dia boleh membaca ayat atau ayat-ayat dari surah yang lain, berdasarkan sunnah yang sesuai dalam solat di mana dia membaca sekiranya ia tidak berlaku di dalam al-Fatihah. Adapun bagi surah al-Fatihah, maka membacanya adalah wajib, kerana membacanya adalah salah satu rukun solat.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 12/129)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin juga ketika ditanya: “Jika saya solat seorang diri dan melakukan kesilapan dalam membaca ayat, dan saya tidak mampu untuk melengkapkannya dan ayat lain tercampur dalam benak saya, apa yang patut saya lakukan semasa solat?” Maka beliau menjawab: “Kamu mempunyai dua pilihan: sama ada berpindah kepada ayat yang seterusnya, atau kamu ruku’, kerana perkara ini merupakan perkara yang luas.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 141/24)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya imam melakukan kesilapan ketika membaca surah atau terlupa sebahagian daripadanya, hendaklah dia cuba memperbetulkan kesilapan dan cuba mengingati kembali ayat yang terlupa. Jika tidak mampu juga, maka dia boleh berpindah ke ayat berikutnya atau meninggalkan surah tersebut dan memulakan dengan surah lain, atau terus ruku’. Imam boleh melakukan salah satu daripada tindakan ini, tidak ada masalah ke atasnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a`lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445