#2825: Makanan di Negara Bukan Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya akan ke negara China atas urusan kerja. Menurut rakan-rakan yang telah pun ke sana, adalah sukar untuk mencari kedai makan yang yang berstatus halal di kawasan tersebut. Mereka selalunya akan dibawa ke kedai makan seafood dan hanya memesan makanan yang berasaskan seafood dan sayuran. 

Saya tetap khuatir kerana proses memasak makanan seafood dan sayuran tersebut mesti melibatkan bahan-bahan lain yang tidak disahkan halal. Mohon pencerahan ustaz dan apa langkah terbaik yang perlu saya ambil.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami telah menjawab isu ini beberapa kali, seringkasnya seseorang hendaklah menghukumkan secara yang zahir sahaja. Selama mana ia suci dan bersih serta makanan bersifat seafood dan sayur-sayuran, maka hukumnya dibolehkan. 

Tiada menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

Telah berkata Qatadah Rahimahullah:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihan.”

Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10155)

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar  selain dari sembelihan mereka. (Lihat Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 6/77)

Walaupun begitu, secara berhati-hati kami katakan pilihlah tempat yang tiada sebarang keraguan. Inilah yang menenangkan hati dari sudut warak dan tanpa syak.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445