Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara mengubat bisikan hati terutamanya di dalam solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.”
(Surah Qaf: 16)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ
Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Daud dalam al-Zuhd (337). Hadith ini isnadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)
Al-Tibi menjelaskan: Lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan was-was pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ianya dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521)
Menjawab persoalan di atas, saya sebutkan di sini sebahagian dari cara-cara untuk mengatasi was-was, antaranya:
- Memohon Perlindungan Allah SWT: Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha mengekangnya. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanyaoleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketikamana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:
ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا
Maksudnya: “Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.”
Riwayat Muslim (2203)
- Mengambil Sikap Tidak Peduli: iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau Rahimahullah:
لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ – فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا
Maksudnya: “Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/149)
- Bersabar Dan Terus Mencuba: Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ianya adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:
دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ
Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)
- Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih: Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengatahui akan kesahihannya.
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:
أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ
Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/150)
Selalulah kita untuk berada di dalam majlis ilmu untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam bab ibadat. Semoga dengan kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu tersebut dapat menambahkan pengetahuan kita dalam beragama seterusnya dapat menghindar kita dari ditimpa penyakit was-was.
Selain itu, boleh juga berdoa kepada Allah SWT, sepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:
وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ
Maksudnya: Dan katakanlah: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku.”
(Surah al-Mu’minun: 97-98)
Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”
Riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad.
Akhir kalam, dengan sedikit perkongsian yang kami berikan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dalam memperbaiki mutu ibadah kita di samping dapat menjauhkan kita dari penyakit was-was ini.
Sentiasalah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa berada di bawah petunjuk hidayah-Nya agar dapat melakukan amal ibadah dengan cara yang sahih dan aman dari segala kekacauan dalaman ataupun luaran. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H