#2826: Imam al-Nawawi: Pengarang Kitab Hadis 40

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang siapakah penulis kitab Hadis 40, iaitu Imam al-Nawawi? 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan pilihan Tuhan dan terbaik dengan akhlak yang unggul, sebagaimana firman-Nya:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan rasul-Nya di atas akhlak yang agung, Dia juga menjadikan syariat-Nya supaya membawa manusia dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Dengan ini, bertambah jelaslah makna tamakkun yang membawa kepada huruf isti’la’, yang menggambarkan ketinggian pekerti dan nilai akhlak yang agung, yang dimiliki oleh Baginda SAW sehingga ia juga tamakkun dalam menyampaikan dakwah agamanya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/64)

Dalam seminggu dua ini, isu menjadikan Hadis 40 karya Imam al-Nawawi sebagai silibus untuk umat Islam khususnya kepada para guru dan murid beragama Islam di sekolah-sekolah kerajaan menjadi kecoh, sama ada yang menyokong mahupun yang menentang. Isunya di sini, bagaimana mereka sanggup menentang tetapi boleh jadi terdapat kurang kejelasan dan kefahaman berkenaan dengan Hadis 40 Imam al-Nawawi serta pengarangnya.

Kami telah kemukakan dalam siri al-Mawaqif sebelum ini berkenaan Hadis 40 atau Matan Arba’in oleh Imam al-Nawawi secara khusus, serta menjawab beberapa tohmahan dan salah faham berkenaannya. Semoga dengan penjelasan-penjelasan ini dapat membawa khalayak lebih mengenali sosok tubuh pengarang kitab ini dengan lebih dekat serta apa pandangan ulama’ serta cendekiawan terhadap tokoh ini di sepanjang zaman. Bak kata pepatah Melayu, “Tak kenal, maka tak cinta.”

Imam al-Nawawi Semasa Kecil

Nama penuh beliau ialah Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Marri bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum’ah bin Hizam al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 H di Nawa, iaitu sebuah perkampungan yang terletak di Hauran, yang mana jaraknya lebih kurang 50 km dari selatan Damsyik. Sejak kecil lagi, beliau rajin menuntut ilmu, menghafaz al-Quran dan seumpamanya.

Seorang wali Allah, Syeikh Yasin bin Yusuf al-Murrakusyi (wafat 687H) berkata: “Aku melihat beliau (al-Nawawi) ketika umurnya 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak lain memaksa beliau untuk bermain bersama-sama. Namun beliau lari daripada mereka dan menangis dengan paksaan mereka. Sebaliknya, beliau membaca al-Quran ketika itu. Maka timbul di hatiku perasaan kasihkannya. Bapanya menyuruhnya menjaga kedai. Namun Aktiviti jual beli itu tetap tidak melalaikan dirinya daripada membaca al-Quran.”

Kata Syeikh Yasin lagi: “Aku kemudian pergi berjumpa dengan guru al-Qurannya dan berpesan supaya mengambil berat hal dirinya dan aku menyebut, ‘Sesungguhnya dia akan menjadi orang yang paling alim dan zuhud pada zamannya, serta akan memberi manfaat kepada ramai manusia.’ Maka gurunya bertanya, ‘Adakah tuan ahli nujum?’ Aku menjawab, ‘Tidak, sebaliknya ia adalah ilham daripada Allah.”

Perkara tersebut kemudian diceritakan kepada bapanya, lalu bapanya memberi perhatian yang tinggi terhadap pelajaran dan hafazannya sehingga beliau berjaya khatam al-Quran sebelum usia baligh. Firasat Syeikh Yasin itu akhirnya benar-benar menjadi kenyataan. (Lihat Imam al-Nawawi oleh Syeikh ‘Abd al-Ghani al-Daqqar, hlm. 23; Min A’lam al-Salaf oleh Ahmad Farid, hlm. 759) Kami katakan, benarlah firasat orang yang beriman lebih-lebih lagi orang yang soleh dan alim.

Imam al-Nawawi Mempelajari Ilmu

Imam al-Nawawi kemudian berhijrah ke Damsyiq pada tahun 649 H ketika berusia 19 tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Ini kerana kota Damsyiq ketika itu adalah bandar ilmu dan bandar ulama’. Beliau membaca dan mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran daripada tuan-tuan gurunya dalam tempoh sehari semalam. Bahkan, dikatakan bahawa beliau tidak pernah tidur nyenyak selama dua tahun kerana kesungguhan yang amat tinggi dalam menuntut  dan mendalami ilmu.

Guru-Guru Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi terkenal dengan kesungguhannya dalam menuntut ilmu. Beliau sanggup melakukan rehlah ilmiah semata-mata ingin berguru dan bertalaqqi dengan para masyaikh yang terkenal dengan keilmuan dan kethiqahannya. Antara gurunya yang masyhur ialah:

  • Ishaq bin Ahmad al-Maghribi
  • Abd al-Rahman bin Nuh al-Maqdisi
  • Umar bin As’ad al-Irbili
  • Khalid bin Yusuf al-Nablusi
  • Al-Dhiya’ bin Tamam al-Hanafi
  • Ahmad bin Salim al-Misri
  • Muhammad bin Abdillah bin Malik al-Jayyani (Pengarang al-Alfiyyah)
  • Umar bin Bandar al-Taflisi
  • Ibrahim bin Ali al-Wasiti
  • Ahmad bin Abd al-Da’im al-Maqdisi
  • Ismail bin Abi al-Yusr al-Tanukhi
  • Abd al-Rahman bin Salim al-Anbari
  • Abd al-Rahman bin Muhammad Qudamah al-Maqdisi
  • Abd al-Azizi bin Muhammad al-Ansari dan ramai lagi.

Kecintaan dan Kesungguhan Imam al-Nawawi dalam Menuntut Ilmu

Imam al-Nawawi memulakan pendidikan awalnya ketika beliau berhijrah ke Damsyiq (Syria). Apabila tiba di Damsyiq, perkara pertama yang dicari adalah Jami’nya iaitu Jami’ al-Umawi. Di sana, beliau telah berjumpa dengan Khatib dan Imam di Jami’ tersebut, iaitu Syeikh Jamaluddin Abd al-Kafi al-Dimasyqi. Setelah Imam al-Nawawi menceritakan kepada Syeikh Jamaluddin berkenaan tujuan asalnya ke sana, maka Syeikh Jamaluddin membawanya ke halaqah mufti Syam pada ketika itu, iaitu Syeikh Tajuddin Abd al-Rahman bin Ibrahim yang terkenal dengan panggilan Farkah. Beliau telah belajar beberapa pelajaran dengan Mufti Syam tersebut dan melaziminya untuk beberapa ketika. Syeikh Tajuddin merupakan guru pertama bagi Imam al-Nawawi.

Setelah itu, Imam al-Nawawi telah berpindah ke al-Rahawiyyah atas nasihat Syeikh al-Farkah kerana Syeikh al-Farkah tidak mempunyai kemudahan seperti tempat tinggal dan juga tidak mempunyai sekolah melainkan al-Sharimiyyah. Dengan itu, Syeikh al-Farkah telah membawa Imam al-Nawawi kepada Syeikh al-Kamal Ishaq al-Maghribi. Imam al-Nawawi memulakan pengajiannya dengan Syeikh al-Kamal dan telah menyediakan sebuah rumah yang sederhana bagi Imam al-Nawawi dan Imam al-Nawawi tinggal di situ sehinggalah Syeikh al-Kamal meninggal dunia.

Imam al-Nawawi telah memanfaatkan kesempatan yang diberikan dengan belajar dan menekuni setiap pelajaran secara bersungguh-sungguh sehinggakan ilmu telah menutupi segala keinginan nafsu beliau seperti  keinginan untuk makan dan tidur. Imam al-Nawawi pernah berkata: “Selama dua tahun aku tidak pernah meletakkan badanku ke lantai (berbaring).”

Dikatakan bahawa Imam al-Nawawi tidak suka membuang masanya melainkan pada perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu. Beliau berusaha bersungguh-sungguh siang dan malam untuk mempelajari, mengulang dan menekuni setiap apa yang dipelajarinya. Ini merupakan antara sifat dan kesungguhan Imam al-Nawawi dalam menuntut ilmu.

Selain itu, Imam al-Nawawi telah menghafal kitab al-Tanbih karya Syeikh Abu Ishaq al-Syirazi selama 4 bulan setengah sahaja. Kemudian beliau telah menghafal sebahagian perkara-perkara berkaitan ibadat di dalam kitab al-Muhazzab sehinggakan murid beliau telah menguji hafalan Imam al-Nawawi terhadap kitab-kitab yang telah dihafalnya dan terbukti bahawa Imam al-Nawawi telah menghafalnya serta memahami setiap apa yang terkandung di dalam kitab tersebut.

Imam al-Nawawi telah membaca dan mempelajari sebanyak 12 mata pelajaran setiap hari dengan guru-guru beliau. Antaranya, beliau telah membahagikan pelajarannya kepada beberapa bahagian seperti; dua pelajaran pertama bagi kitab al-Wasit; ketiga al-Muhazzab; keempat al-Jam’u baina al-Sahihain; kelima Sahih Muslim; keenam al-Luma’ untuk Nahwu,pelajaran untuk Mantiq dan lain-lain lagi.

Imam al-Nawawi berkata: “Aku telah menulis atau menambah setiap perkara yang berkaitan syarah-syarah yang tidak jelas, menjelaskan perkataan atau ayat, membetulkan kesalahan bahasa dan Allah SWT telah memberkatiku, waktu dan kerjaku dan Allah SWT jualah yang membantuku.”

Penguasaan Ilmu

Imam al-Nawawi dikurniakan Allah SWT kekuatan daya ingatan dan kefaqihan dalam memahami serta menguasai pelbagai disiplin ilmu Islam. Justeru, tidak hairanlah beliau menjadi rujukan dalam bidang Fiqh al-Syafie dan Fiqh al-Muqaran. Begitu juga penguasaannya dalam matan Hadis dan nama-nama perawi. Dengan erti kata yang lain, beliau dapat menghimpunkan antara hadis riwayah dan dirayah.

Beliau dianggap orang pertama pada zamannya menguasai dan mengintegrasi gabungan ilmu tersebut secara hafazan, itqan, dhabit Hadis Rasulullah SAW serta ilmu berkenaan ‘illah, sahih dan sanad-sanadnya. Oleh itu, Imam al-Nawawi dianggap faqih al-Muhaddithin dan Muhaddith al-Fuqaha’. Beliau menjadi rujukan utama yang ditunjuk untuk mengeluarkan fatwa pada zamannya tanpa khilaf dan dapat disangkal lagi.

Pengajarannya

Imam al-Nawawi dibenarkan mengajar di Madrasah Iqbaliyyah yang diasaskan oleh Syeikh Jamaluddin Iqbal pada tahun 603 H. Seterusnya beliau menjadi guru di Madrasah Rukniyyah yang diasaskan oleh Syeikh Ruknuddin Mankuris dan pernah juga mengajar di Madrasah Khalafiyyah yang diasaskan oleh Syeikh Khalfuddin Sulaiman. Akhirnya, beliau diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan guru di Dar al-Hadis al-Asyrafiyyah selepas kewafatan Imam Abu Syamah pada tahun 665 H.

Murid-Murid Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi telah melahirkan ramai tokoh ulama’ melalui pengajarannya secara talaqqi dan musyafahah. Hal ini bukanlah asing bagi ulama’ terbilang sepertinya. Antara ulama’ yang pernah menjadi muridnya:

  • ‘Ala’ al-Din al-’Attar, iaitu antara murid yang paling rapat dengan gurunya
  • Ahmad bin Ibrahim bin Mus’ab
  • Ahmad bin Muhammad al-Ja’fari
  • Ahmad bin Qarh al-Isybili
  • Al-Rasyid Ismail bin al-Mu’allim al-Hanafi
  • Muhammad bin Abi al-Fath al-Hanbali
  • Ahmad al-Darir al-Wasiti
  • Sulaiman bin Umar al-Dir’ie
  • Abd al-Rahman bin Muhammad al-Maqdisi
  • Al-Badr bin Jama’ah
  • Muhammad bin al-Naqib
  • Muhammad bin ‘Abd al-Khaliq al-Ansari
  • Hibatullah bin Abd al-Rahim al-Barizi
  • Yusuf bin Abd al-Rahman al-Mizzi dan ramai lagi.

Keberanian  Imam al-Nawawi Berdepan Raja al-Zahir

Imam al-Nawawi merupakan seorang yang tegas dan tidak tunduk kepada kata-kata manusia meskipun manusia itu seorang raja. Ini jelas dapat dilihat kisah beliau dengan raja pada ketika itu, iaitu Raja al-Zahir.

Suatu ketika, Raja al-Zahir mengisytiharkan untuk memerangi al-Tatar di Syam. Maka Raja meminta para ulama’ untuk mengeluarkan fatwa bahawa dibolehkan mengambil harta atau wang rakyat bagi tujuan memerangi musuh. Untuk itu, kebanyakan ulama telah menulis fatwa mereka bagi membenarkan tindakan Raja tersebut. Dalam masa yang sama, ramai ulama’ yang telah dibunuh akibat mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kehendak Raja.

Ketika itu, Raja bertanya: “Adakah masih ada berbaki ulama’ yang belum mengeluarkan fatwa?” Maka dijawab: “Ada, iaitu Syeikh Muhyiddin al-Nawawi.” Lalu Raja mengeluarkan perintah supaya Imam al-Nawawi menulis fatwa dan bersama-sama ulama’ yang membolehkan untuk mengambil harta dan wang daripada rakyat bagi tujuan perang.

Imam al-Nawawi menolak tuntutan Raja tersebut. Lantas Raja bertanya kepadanya: “Apakah yang menghalang kamu daripada mengeluarkan fatwa tersebut?” 

Imam al-Nawawi menjawab: “Setahu aku, engkau dahulunya seorang hamba yang tidak mempunyai harta. Kemudian Allah SWT memberikan kurniaan kepadamu lalu engkau diangkat menjadi seorang Raja. Aku dengar bahawa engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap daripada mereka memiliki satu bekas perhiasan. Jika Jika engkau belanjakan semua itu, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamba perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga Baitul Mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu kebolehan mengambil harta rakyat. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya adalah penyerahan diri kepada Allah SWT dan mengikut jalan Nabi-Nya SAW.”

Mendengar kata-kata daripada Imam al-Nawawi, lantas Raja al-Zahir murka, lalu mengusir beliau daripada Damsyiq. Dengan berlapang dada, Imam al-Nawawi menerima hakikat tersebut dengan tenang. Setelah lebih kurang sebulan berada dalam buangan, Raja al-Zahir pun meninggal dunia dan Baginda sempat memohon maaf kepada Imam al-Nawawi.

Fatwa Imam al-Nawawi yang Unggul

Kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan fatwa dan mufti.

Para ulama’ mendefinisikan fatwa seperti berikut:

  • Fatwa adalah mengkhabarkan hukum Allah, sama ada yang mesti ataupun yang harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53) 
  • Fatwa adalah menjelaskan hukum Syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat oleh al-Buhuti, 3/483)
  • Fatwa ialah jawapan yang diberikan seorang Mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul a-Fiqh al-Islami oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2/2284)
  • Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum Syarak yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu oleh Muhammad Taqi al-’Uthmani, hlm. 110)

Manakala berkenaan Mufti, para ulama’ berbeza pandangan dalam mendefinisikannya. Antaranya disebut:

  • Mufti ialah seorang yang menjawab kemusykilan-kemusykilan dalam hal agama. (Lihat Sina’ah al-Fatwa, hlm. 5-6)
  • Mufti ialah individu yang mengkhabarkan hukum Allah SWT untuk mengetahui dalilnya. (Lihat al-Ghiyath, hlm. 81)
  • Mufti adalah seorang mujtahid atau faqih. Inilah yang disebut oleh al-Syaukani dalam Irsyad al-Fuhul.
  • Mufti ialah seorang yang mengkhabarkan tentang hukum Syarak. (Lihat al-Usul min ‘Ilm al-Usul, hlm. 83)
  • Mufti ialah seseorang yang berada pada kedudukan seorang Nabi dari kalangan umat ini. Ini kerana, ulama’ adalah pewaris para Nabi. Dia adalah pengganti Nabi dalam menyampaikan hukum-hakam. (Lihat al-Fatawa al-Islamiyyah min Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 1/9)

Imam al-Nawawi pernah mengeluarkan fatwa yang tegas sehingga menimbulkan ketegangan antara beliau dengan Raja yang memerintah pada ketika itu, iaitu Raja al-Zahir seperti kami jelaskan di atas. Hal tersebut berpunca kerana Imam al-Nawawi enggan memberi fatwa untuk bersama-sama ulama’ yang lain bagi mengharuskan Raja mengambil wang rakyat bagi menghadapi serangan Mongol (Tartar). Keengganan ini disebabkan beliau mengetahui dengan yakin tentang keadaan Raja yang memiliki harta yang banyak di samping ratusan hamba perempuan yang semua berhiaskan emas dan berlian yang mahal.

Imam al-Nawawi berkata: “Seandainya Tuanku menjual semua hamba-hamba itu dan membelanjakan semua barang kemas yang ada pada mereka untuk keperluan perang, dan ternyata masih belum mencukupi, nescaya hamba bersedia mengeluarkan fatwa bagi membenarkan Tuanku mengambil harta rakyatnya.”

Fatwa seperti ini mengingatkan kami kepada Mawaqif para ulama’ Salafus Soleh seperti al-Hasan al-Basri, ‘Ata’ bin Abi Rabah, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafi’i, sementelahan lagi Imam Ahli Sunnah wa al-Jama’ah yang menentang fitnah khalqi al-Quran iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka sekali-kali tidak menjual agama mereka dengan mata benda yang sedikit, tetapi merekalah benar-benar ulama’ Rabbani yang takutkan Allah semata-mata. Persis seperti inilah yang wujud dalam diri Imam al-Nawawi. Maka tidak hairanlah Allah muliakannya meskipun selepas beliau telah lama meninggal dunia.

Sifat-Sifat Imam al-Nawawi yang Luar Biasa

Antara sifat dan akhlak beliau adalah:

  • Wara’ yang tinggi
  • Zuhud yang benar
  • Tidak menunjukkan kemewahan bahkan berpada dengan apa yang ada
  • Bertakwa dan qana’ah
  • Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, sama ada ketika sunyi atau di hadapan khalayak
  • Tidak makan buah-buahan di kota Damsyiq kerana syubhah
  • Makan dan minum hanya sekali sehari, iaitu ketika sahur
  • Sentiasa berpuasa sunat
  • Banyak berjaga malam untuk beribadah dan mengarang
  • Tidak berkahwin dan pelbagai sifat mahmudah yang lain.

Pujian Ulama Terhadap Imam al-Nawawi

Dengan kehebatan dan keistimewaan yang terwujud pada diri Imam al-Nawawi, maka ramai ulama’ yang memujinya. Perkara seperti ini tidaklah pelik bagi ulama Rabbani seumpama Imam al-Nawawi. Kami nukilkan di sini beberapa pujian ulama’ dan taqriz kepada Imam al-Nawawi, antaranya:

  • Abu al-’Abbas bin al-Faraj berkata: “Syeikh mempunyai tiga martabat. Setiap satu daripadanya jika dimiliki oleh seseorang pasti khalayak akan sanggup untuk mengunjunginya, iaitu: Ilmu, zuhud serta amar makruf dan nahi mungkar.”
  • Ibn Kathir berkata: “Kesanggupan beliau menentang Raja al-Zahir menunjukkan kehebatannya yang luar biasa.”
  • Ibn al-Subki berkata: “Beliau adalah penghulu yang cukup hebat lagi zuhud. Beliau tidak menghiraukan dunia sehingga jadilah agamanya tumbuh subur yang dihiasai dengan zuhud dan qana’ah.”

Beliau turut berkata dalam Tabaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra: “Tidak pernah terlihat oleh mata orang yang lebih zuhud daripadanya pada jaga dan tidurnya. Dan tidak terpapar yang lebih mengikuti jalan salafus soleh dalam kalangan umat Muhammad SAW lebih daripada beliau.”

  • Imam al-Suyuti berkata: “Al-Imam, al-Faqih, al-Hafiz, Syeikh al-Islam dan padanya terdapat tanda kewalian.”
  • Imam al-Zahabi berkata: “Mufti Ummah, Syeikh al-Islam, al-Hafiz, ‘Alim dan padanya tanda kewalian.” Beliau juga berkata: “Imam al-Nawawi beriltizam menuntut ilmu siang malam sehingga mengatasi rakan-rakannya dalam ilmu dan amal. Beliau mula mengkaryakan sekitar 660 H hingga beliau meninggal dunia pada tahun 676 H. 
  • Imam Syams al-Din al-Hanbali berkata: “Beliau seorang al-Imam, al-Hafiz, al-Mutqin, mahir dalam segala jenis ilmu dan mengarang karya-karya yang tidak terkira banyaknya. Beliau juga sangat wara’ dan zuhud, dan sanggup meninggalkan keinginan-keinginannya.”
  • Imam al-Sakhawi menukilkan sebuah kisah bahawa Imam al-Nawawi menulis sehingga tangannya keletihan dan tidak mampu menulis lagi. Lalu beliau bermadah: “Sekiranya air mata ini mengalir kerana kerinduan yang mendalam, yang tidak menumbuhkan rumput-rumput, maka ia air mata yang sia-sia.”
  • Abu ‘Abd al-Rahim Muhammad al-Ikhmimi berkata: “Syeikh Muhyiddin (Imam al-Nawawi) merupakan seorang yang mengikut jalan dan cara para Sahabat R.Anhum, dan aku tidak menjumpai pada zaman ini orang bersungguh-sungguh yang mengikut jalan dan cara para Sahabat R.Anhum melainkan beliau.”
  • Ibn al-’Attar berkata: “Guru kami al-Nawawi di samping sentiasa bermujahadah, wara’, bermuqarabah dan mensucikan jiwanya, beliau juga adalah seorang yang hafiz terhadap hadis, bidang-bidangnya, rijalnya serta makrifah sahih dan dha’ifnya. Beliau juga seorang imam dalam mazhab fiqh.”
  • Qutb al-Din al-Yunini berkata: “Beliau adalah teladan pada zamannya dalam ilmu, wara’, ibadah dan zuhud.”
  • Syams al-Din Fakhr al-Din al-Hanbali berkata: “Beliau ialah seorang imam yang menonjol, hafiz yang mutqin, sangat wara’ dan zuhud.”
  • Syeikh Taqiy al-Din Muhammad bin al-Hasan al-Lakhmi berkata: “Beliau seorang yang alim dalam Fiqh dan furu’nya daripada aqwal Imam al-Syafi’i dan awjuh ulama-ulama mazhab al-Syafi’i. Selama lebih kurang 20 tahun, beliau berfatwa dan mengajar manusia ilmu, feqah, hadis, adab dan zuhud. Tidak ada pada zamannya di negara-negara Islam tokoh seumpamanya. Beliau seorang yang muhaqqiq, hafi, teliti, warak, mendalam dalam ilmu hadith, alim tentang sahih, hasan dan seumpamanya. Para imam yang soleh dan ulama ‘arifin memujinya. Kaum muslimin amat bersedih dengan kematiannya.”

Berdasarkan pujian dan sanjungan di atas kepada Imam al-Nawawi, jelas bahawa beliau memiliki keistimewaan yang tersendiri, khususnya dalam bidang keilmuan, kezuhudan dan kefaqihannya yang amat luar biasa.

Karya Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi meninggatkan terlalu banyak khazanah ilmiah yang amat tinggi nilai mutu akademiknya, sehingga menjadi rujukan oleh para ulama’ selepasnya dan juga disyarahkan dalam pelbagai bentuk. Ini jelas menunjukkan penguasaannya yang benar-benar hebat. Antara karyanya ialah:

  • Al-Tahqiq
  • Al-Majmu’
  • Al-Tanqih
  • Al-Raudhah
  • Al-Minhaj
  • Al-Fatawa 
  • Syarh Sahih Muslim
  • Tashih al-Tanbih
  • Nuktah al-Tanbih
  • Riyadh al-Salihin
  • Al-Azkar
  • Al-Arba’un al-Nawawiyyah (Hadis 40)
  • Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat
  • Tabaqat al-Fuqaha’
  • al-Tibyan
  • Al-Manasik al-Sughra
  • Al-Manasik al-Kubra
  • Manaqib al-Syafi’i
  • Al-I’jaz
  • Al-Irsyad
  • Al-Taqrib
  • Al-Mubhamat
  • Bustan al-’Arifin
  • Jami’ al-Sunnah, dan banyak lagi.

Berkenaan susunan kitab yang muktamad, Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Kebanyakan ulama’ sepakat menyatakan bahawa kitab yang muktamad ialah al-Majmu’, al-Tahqiq, al-Tanqih, al-Raudhah, al-Minhaj dan yang disepakati dalam bidang fiqh.”

Hakikatnya, Imam al-Nawawi meninggalkan terlalu banyak khazanah ilmiah yang teramat tinggi nilainya. Ini menunjukkan betapa mendalam ilmu Imam al-Nawawi. Hal ini tidaklah pelik berdasarkan kepada cara Imam al-Nawawi Rahimahullah mempelajari ilmu dengan begitu bersungguh dan tekun. Tambahan pula, Imam al-Nawawi memiliki banyak kelebihan khususnya ketajaman akalnya dan keluasan ilmunya, di samping sifat warak, zuhud, berani dan amat kuat beribadat yang mana ia amat sukar ditandingi oleh orang lain. Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Nawawi.

Karamah Imam al-Nawawi 

Imam al-Nawawi memiliki banyak karamah, antaranya:

  • Dikatakan bahawa ketika beliau menulis karyanya pada waktu malam, bercahaya pada jarinya seperti pelita yang menerangi tempat tulisannya. Inilah yang dinyatakan oleh Syeikh Abd al-Fattah Husin Rawah.
  • Sultan Zahir Bebras yang begitu murka kepadanya atas fatwanya yang membela hak rakyat telah bertukar menjadi kasih dan sangat menghormati Imam al-Nawawi.
  • Yang lebih utama adalah istiqamah beliau dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.
  • Walaupun usianya yang pendek, namun beliau dapat menghasilkan kitab-kitab yang bermutu tinggi untuk umat sejagat.

Kewafatan Imam al-Nawawi

Imam al-Nawawi meninggal dunia ketika berusia 45 tahun, iaitu pada tahun 676 H di Nawa. Sebelum kematiannya, beliau telah menziarahi al-Quds dan al-Khalil dan kemudian pulang ke rumah bapanya di Nawa. Ketika itulah, Allah SWT telah menjemputnya kembali kepada Pencipta-Nya. Beliau meninggal dunia di sisi kedua ibu bapanya serta keluarganya pada malam Rabu 24 Rejab 676 H, ketika usianya yang masih muda. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya ke atas rohnya dan roh kedua ibu bapanya.

Apabila berita kewafatannya sampai ke Kota Damsyiq, masyarakat Islam merasa kehilangan yang amat besar dan amat bersedih sehingga ramai yang mengunjungi dan menziarahi untuk solat jenazah ke atasnya, termasuk ketua Qadhi ketika itu, Izzuddin Muhammad bin al-Sa’igh.

Kubur Imam al-Nawawi di Nawa sehingga ke hari ini masih diziarahi oleh umat Islam dan orang bukan Islam. Di maqamnya juga, terdapat sebuah pohon yang besar menaungi kubur beliau sebagaimana beliau telah menaungi umat ini dengan tulisan-tulisannya dan ilmu-ilmunya yang bermanfaat. Demikianlah kisah riwayat hidup salah seorang ulama’ yang besar dan ikhlas dalam menyampaikan ilmunya kepada umat ini. Semoga Allah SWT merahmatinya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunkanlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkannya dan ampunkan kesalahannya.”

Penutup

Sesungguhnya Imam al-Nawawi merupakan mata rantai dan silsilah para ulama’ sebelum dan selepasnya yang sentiasa bersambungan antara satu sama lain. Akan tetapi, pengalaman kami tatkala meneliti dan merujuk buku-bukunya, nescaya terasa betapa kerdilnya kami berhadapan dengan tokoh yang mempunyai lautan ilmu dalam pelbagai disiplin. Uniknya, setiap sentuhannya menjadi rujukan utama kepada ummah dan para ulama’ di sepanjang zaman. 

Sebagai contoh, kitab Matan Arba’in atau Hadis 40 yang mana sebelumnya juga telah dihasilkan oleh ramai tokoh sebelum mahupun selepasnya, tidaklah menjadi seterkenal kitab Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi. Begitu juga, kitab al-Idhah dalam ilmu manasik Haji. Meskipun ramai yang telah mengkaryakan kitab seumpamanya sebelum dan selepasnya, namun kitab yang dikarangnya itu tetap unggul dan dianggap sebagai kitab terbaik dalam ibadah haji. Sifatnya yang ringkas, tetapi disebut oleh ulama’ sebagai jami’ dan mani’. 

Apatah lagi buku-buku yang besar seperti Raudhah al-Talibin yang menghimpunkan aqwal al-’ulama’ dan menjadi rujukan kepada kibar ulama’. Begitu juga, kitab al-Majmu’ iaitu sebuah kitab yang terbesar pernah dihasilkannya. Namun, ia tidak sempat disempurnakan oleh beliau sendiri, sehinggalah kemudian ia disambung oleh Imam al-Subki dan Fadhilatu al-Syeikh al-’Allamah Dr. Muhammad Najib al-Muti’i, yang akhirnya menjadi lebih 20 jilid.

Atas asas inilah, kami katakan bahawa kitab Matan Arba’in atau Hadis 40 yang disyorkan untuk diajar secara rasmi di peringkat sekolah mahupun universiti amat patut dan semestinya disokong kerana ia memberi nilai tambah pada akhlak, peribadi dan perwatakan yang baik dalam pembinaan generasi yang mulia dan unggul.

Kami juga pernah menziarahi maqam Imam al-Nawawi semasa belajar di peringkat Master di Universiti al-’Ulum al-Islamiyyah wa al-’Arabiyyah di Damsyik, Syria sekitar tahun 1996. Apa yang disebutkan adalah amat benar. Itulah Imam al-Nawawi yang namanya dianggap pakar dalam bidang fiqh dan hadis, serta pelbagai cabang disiplin ilmu yang lain. Semoga Allah SWT merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445