#2828: Bakal Suami Mengungkit Masa Silam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa kita perlu buat jika bakal suami kita dia kata dia terima past kita tetapi almost hari-hari dia akan bercakap dan gaduh tapi dia kata dia terima dan dia nak berkahwin dengan kita?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perkahwinan merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas al-quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia. Perkahwinan adalah suatu ibadah yang mempunyai tujuan-tujuan dan hikmahnya yang tertentu.

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ خُلُقَهُ وَدِينَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha akan akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.

Riwayat Ibn Majah (1967)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1606: Punca Konflik Rumahtangga[1]

#1997: Lafaz “Kalau Kau Bercakap Lagi Aku Ceraikan Kau!” Dalam Keadaan Marah[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan perbuatan mengungkit adalah salah satu sikap yang tidak baik dan menjadi salah satu sebab penceraian. Kadangkala, atas sebab-sebab yang tidak munasabah jua boleh tercetusnya penceraian seperti ubat gigi, berdengkur dan sebagainya. Kami nasihatkan dalam isu ini, sebaiknya saudari lakukan solat istikharah agar Allah memberikan petunjuk yang terbaik buat saudari. Buatlah pilihan yang tepat sebelum diikat kerana perkahwinan itu didasari dengan tanggungjawab.

 Kami nasihatkan kepada pasangan suami isteri untuk melihat ke hadapan dalam membina rumahtangga tanpa melihat sejarah silam, ini mendatangkan dukacita, sedih, stress dan rasa tidak puas hati. Boleh jadi membawa kepada keruntuhan rumahtangga. Justeru, awasilah dari bersikap demikian.

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman dan taufiq kepada kita semua dalam beragama. Kami tutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” 

Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/1606-punca-konflik-rumahtangga/

[2] https://maktabahalbakri.com/1997-lafaz-kalau-kau-bercakap-lagi-aku-ceraikan-kau-dalam-keadaan-marah/

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445