#2829: Sahabat Nabi SAW Yang Ditolak Pelantikannya Sebagai Pemimpin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah sahabat yang alim tetapi Nabi SAW menolak untuk melantiknya menjadi gabenor/pemimpin? Dan digantikan dengan sahabat yang lain? Boleh ceritakan dengan lebih lanjut.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kisah di mana Abu Zar R.A pernah meminta supaya beliau dilantik menjadi ketua atau pemimpin. Kata Abu Zar: “Bolehkah engkau melantik aku sebagai pemimpin, Ya Rasulallah?” Lalu Rasulullah SAW dengan tenang menjawab:

 يَا أَبَا ذَرٍّ إِنِّي أَرَاكَ ضَعِيفًا، وَإِنِّي أُحِبُّ لَكَ مَا أُحِبُّ لِنَفْسِي، لاَ تَأَمَّرَنَّ عَلَى اثْنَيْنِ وَلاَ تَوَلَّيَنَّ مَالَ يَتِيمٍ.

Maksudnya: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau sebagai orang yang lemah, dan aku mencintai buatmu apa yang aku cintai buat diriku sendiri. Janganlah engkau menjadi pemerintah walau untuk dua orang, dan janganlah engkau menguruskan harta anak yatim.”

Riwayat Muslim (1826), Abu Dawud (2868), al-Nasa’ie (3667) dan Ahmad (21563)

Menurut Imam al-Zahabi, Rasulullah SAW melihat dari sudut kepimpinan, di mana Abu Zar dilihat tidak sesuai untuk dilantik. Baginda SAW melihat sifat Abu Zar yang sangat zuhud akan memberikan kemudaratan sekiranya beliau mengatur dan menguruskan harta anak yatim. Hal tersebut dibimbangi, anak yatim akan dilatih menjadi zuhud seperti beliau dengan sifat keras beliau sendiri. 

Kata Imam al-Zahabi: “Hal ini difahami sebagai lemah dalam berpendapat, kerana jika dia mengurus harta anak yatim, pasti akan diinfakkan semuanya di jalan Allah, sehingga menyebabkan anak yatim tinggal dalam kefakiran dan kelaparan. Telah kami sebutkan sebelum ini, bahawa dia tidak membolehkan penyimpanan emas dan perak. Sementara Rasulullah SAW menghendaki orang yang menjadi pemimpin bagi orang ramai adalah orang yang bersikap lemah lembut dan pandai mengatur. Sedangkan Abu Zar dikenali agak keras – sebagaimana yang kami sebutkan – dan oleh kerana itu, Baginda SAW menasihatinya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/75)

Biografi Ringkas Abu Zar R.A

Beliau merupakan salah seorang daripada al-sabiqun al-awwalun (orang-orang yang terdahulu dan pertama-tama masuk Islam), dan juga termasuk daripada kalangan cerdik pandai dari kalangan para Sahabat Nabi SAW. Ada yang menyatakan bahawa beliau adalah orang yang kelima, yang awal masuk Islam.

Beliau kemudian diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk pulang kembali ke kampung halamannya, lalu dia tinggal di sana atas perintah Nabi SAW. Tatkala Nabi SAW berhijrah, Abu Zar R.A pun berhijrah kepada Baginda, lalu setia mendampingi dan berjihad bersama Baginda. Beliau juga memberikan fatwa pada zaman pemerintahan Abu Bakar, ‘Umar dan Uthman. Beliau merupakan tokoh dalam kezuhudan, sedekah, ilmu dan amal, selalu mengatakan yang benar, tidak takut celaan orang dalam mencari keredhaan Allah dengan penuh ketegasan. Beliau ikut menyaksikan penaklukan Baitul Maqdis bersama ‘Umar R.A. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/46; Ashab al-Rasul, 3/409)

Nabi SAW sangat mencintai Abu Zar R.A, hingga pernah satu ketika, Baginda SAW bersabda:

مَا أَظَلَّتِ الْخَضْرَاءُ وَلاَ أَقَلَّتِ الْغَبْرَاءُ مِنْ ذِي لَهْجَةٍ أَصْدَقَ وَلاَ أَوْفَى مِنْ أَبِي ذَرٍّ شِبْهِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ 

Maksudnya: “Tidak pernah langit menaungi dan bumi memikul orang yang lebih jujur dalam perkataannya, dan lebih setia menepati (janjinya) daripada Abu Zar, sosok yang menyerupai Isa bin Maryam A.S.”

Riwayat al-Tirmizi (3801), Ibn Majah (156), Ahmad (6519) dan al-Bazzar (4128). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa hadith ini hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.

Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى تَوَاضُعِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ فَلْيَنْظُرْ إِلَى أَبِي ذَرٍّ

Maksudnya: “Sesiapa yang senang (apabila dapat) melihat sifat tawadhu’-Nya ‘Isa bin Maryam, maka lihatlah kepada Abu Zar.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (36627); Abu Ya’la, Ibn Hibban dan al-Hakim. Disahihkan oleh al-Albani dalam al-Jami’ al-Saghir (69920). Disebut juga dalam Ma’rifah al-Sahabah, 2/560; 

Terdapat riwayat daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَمَرَنِي بِحُبِّ أَرْبَعَةٍ، وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ سَمِّهِمْ لَنَا، قَالَ: عَلِيٌّ مِنْهُمْ، يَقُولُ ذَلِكَ ثَلَاثًا «وَأَبُو ذَرٍّ، وَالمِقْدَادُ، وَسَلْمَانُ أَمَرَنِي بِحُبِّهِمْ، وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah memerintahkanku untuk mencintai empat orang, dan mengkhabarkan kepadaku bahawa Dia mencintai mereka. Dikatakan kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, sebutkan nama mereka kepada kami.” Baginda bersabda: ‘Ali salah seorang mereka. — Baginda menyebutkan tiga nama lagi (dan menyambung sabdanya) —  Abu Zar, al-Miqdad, dan Salman. Dia memerintahkanku  untuk mencintai mereka dan Dia mengkhabarkan kepadaku bahawa Dia mencintai mereka.’

Riwayat al-Tirmizi (3718) dan beliau menyebutkan, hadith ini adalah hasan gharib, tidak diketahui melainkan daripada hadith Syarik; al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (6/161) menilainya sebagai hasan; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut pula dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (1/389) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Syarik bin Abdullah al-Qadhi dan dia seorang yang dhaif, serta bersendiri dalam meriwayatkannya.

Abu Zar R.A berkata:

أَمَرَنِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ: “أَمَرَنِي بِحُبِّ الْمَسَاكِينِ، وَالدُّنُوِّ مِنْهُمْ، وَأَمَرَنِي أَنْ أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ دُونِي، وَلَا أَنْظُرَ إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقِي، وَأَمَرَنِي أَنْ أَصِلَ الرَّحِمَ وَإِنْ أَدْبَرَتْ، وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَسْأَلَ أَحَدًا شَيْئًا، وَأَمَرَنِي أَنْ أَقُولَ بِالْحَقِّ وَإِنْ كَانَ مُرًّا، وَأَمَرَنِي أَنْ لَا أَخَافَ فِي اللهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ، وَأَمَرَنِي أَنْ أُكْثِرَ مِنْ قَوْلِ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، فَإِنَّهُنَّ مِنْ كَنْزٍ تَحْتَ الْعَرْشِ 

Maksudnya: Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepadaku dengan tujuh perkara:

  • Menyuruhku agar mencintai orang-orang miskin dan dekat dengan mereka.
  • Menyuruhku agar melihat orang yang di bawahku, dan tidak melihat orang yang di atasku (dalam hal keduniaan).
  • Tidak meminta sesuatu pun kepada seseorang.
  • Tetap menyambung silaturrahim sekalipun aku ditinggalkan (diputus).
  • Berkata yang benar sekalipun pahit.
  • Tidak takut celaan orang dalam membela hak Allah.
  • Dan memperbanyakkan ucapan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’ kerana ia termasuk kekayaan yang terpendam di bawah Arasy.

Riwayat Ahmad (21415) dan Ibn Hibban (449). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij al-Musnad.

Kewafatan Abu Zar R.A

Imam Ibn Kathir menceritakan berkenaan kewafatan Abu Zar R.A dengan menyebut: “Kemudian dia singgah di Rabzah, lalu bermukim di sana hingga meninggal dunia pada bulan Zulhijjah tahun 32 H.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/172)

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT ampunkan dosa kita dan juga mereka yang terdahulu.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445