#2830: Pembelian Barang Tidak Diketahui Tanpa Menggunakan Duit Betul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu persoalan, jika saya membeli sesuatu secara rawak dalam permainan elektronik tanpa menggunakan duit betul, adakah ianya dilarang menurut Islam?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, permainan elektronik pada zaman kini membolehkan pemain membuat pembelian dengan sejumlah mata wang maya yang diperoleh setelah menyelesaikan apa-apa sahaja yang telah ditetapkan di dalam permainan tersebut. Antara jenis pembelian yang kebiasaannya didapati dalam permainan elektronik termasuklah pembelian secara rawak seperti kotak misteri, yang mana ia merupakan suatu barang yang tidak diketahui kandungannya secara spesifik.

Sekalipun pembelian di dalam permainan elektronik hanya dibuat menggunakan wang maya, ia masih mengambil hukum yang sama dengan pembelian menggunakan wang sebenar. Maka oleh yang demikian, kami nyatakan beberapa rukun asas bagi jual beli adalah:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang oingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  • Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”. (Lihat  al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/15)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, membeli barangan secara rawak yang tidak diketahui disebutkan sebagai Bai‘ al-Gharar (jual beli yang ada unsur ketidakpastian). Perkara ini diharamkan dalam islam berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Jika barang yang dijual itu dapat dilihat serta diketahui kriterianya oleh penjual dan pembeli, maka jual beli itu sah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/29)

Jual beli dengan cara melempar batu kerikil itu pula berbentuk perjudian. Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat 3 cara jual beli dengan cara melempar batu kerikil ini. Ketiga-tiga cara ini mengandungi unsur memperjudikan nasib kerana pembeli membuat pembelian bergantung kepada barang yang dibaling padanya batu kerikil, dan bukannya atas pilihannya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/156)

Bahkan jual beli begini juga menyerupai jual beli secara mulamasah (dengan cara menyentuh) dan munabazah (dengan cara mencampak) yang secara jelas telah dilarang oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana ianya seakan menghalang hak seorang pembeli daripada membuat pilihan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara mulamasah (dengan cara menyentuh) dan munabazah (dengan cara mencampak).”

Riwayat al-Bukhari (5482)

Gambaran jual beli mulamasah (الْمُلاَمَسَةُ) dan munabazah (المُنَابَذَة) adalah apabila dua orang saling berjual-beli sesuatu yang tidak ditentukan. Sebagai contoh, apabila penjual mencampak beberapa barang kepada pembeli, lalu pembeli menyentuh salah satu daripadanya, maka barang tersebut dikira telah terjual. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/36)

Maka jelaslah bahawa membeli sesuatu barangan secara rawak di dalam permainan elektronik adalah haram kerana terdapat unsur gharar, memperjudikan nasib, serta menafikan hak memilih untuk pembeli itu sendiri.

Kesimpulan

Jual beli yang tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara‘ adalah tidak sah. Permainan elektronik yang menawarkan jual beli yang mempunyai unsur riba’, gharar, perjudian, atau menafikan hak salah satu pihak seharusnya dijauhi.

Oleh kerana jual beli secara rawak di dalam permainan elektronik ini juga mempunyai unsur-unsur yang diharamkan oleh syara‘ seperti yang disebutkan di atas, maka hukumnya adalah haram di sisi syara‘. Kami menasihatkan agar ummat Islam berhati-hati daripada melakukan apa-apa jual beli yang bertentangan dengan hukum syara‘, sekalipun ianya bukanlah sebuah transaksi yang melibatkan mata wang realiti.

Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445