#2833: Membuka Aib Kepada Orang Yang Dipercayai Untuk Meminta Nasihat

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya ada persoalan, dalam Islam, kita dilarang untuk mengumpat dan membuka aib muslim yang lain. Tetapi, bagaimana pula dengan keadaan seperti ini: Seseorang mempunyai teman sekerja muslim yang sering menyakiti hatinya dan berkelakuan buruk terhadap dirinya sehingga menyebabkan dia (orang yang disakiti itu) menceritakan masalah tersebut dengan menyebut keburukan-keburukan yang telah dilakukan oleh teman sekerjanya itu terhadap dirinya kepada orang yang dipercayai seperti ibu bapa atau suaminya bagi tujuan meminta nasihat dan pandangan bagi menghadapi masalah tersebut. Adakah perbuatan sebegitu berdosa serta dikira sebagai mengumpat dan membuka aib muslim yang lain?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada asasnya, Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim. Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Allah SWT berfirman:

 وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT berfirman dengan tegas kepada hamba-hamba-Nya yang beriman untuk menjauhi daripada banyak bersangka buruk terhadap sesama manusia. Ini termasuk tuduhan palsu dan pengkhianatan terhadap keluarga, kerabat, dan orang lain tanpa alasan yang benar. Sebahagian daripada hal tersebut dapat menjadi dosa, maka hendaklah dihindari sebanyak mungkin sebagai tindakan pencegahan. Allah SWT juga berfirman: ‘Dan janganlah ada di antara kalian yang mencela yang lain.’ Di sini terdapat larangan terhadap ghibah (mengumpat). Ghibah diharamkan secara ijma’ dalam agama. Tidak ada pengecualian kecuali jika terdapat alasan yang kuat berdasarkan kepentingan dan maslahah, seperti dalam hal memberikan kesaksian tentang kecacatan dan sifat buruk dalam konteks pengadilan atau memberikan nasihat yang baik.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/377)

Al-Syaukani berkata: Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya. Ini sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya. Demikianlah keterangan daripada al-Zajjaj. (Lihat Fath al-Qadir, 8/132).

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 26/139)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

Maknanya: “Adakah kamu tahu apakah itu ghibah (mengumpat)?” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.” 

Riwayat Muslim (2589)

Perkataan ghibah berasal daripada (اغْتَابَ – يَغْتَابُ), diambil daripada perkataan  (غَيَبَ) yang bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata. Hal ini kerana hakikat daripada perbuatan ghibah adalah mencela atau menyebut aib seseorang ketika orang yang dicela tidak ada di hadapannya. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 4/403; Minhatu al-’Allam, 10/238)

Imam al-Nawawi berkata:

وَالْغِيْبَةُ ذِكْرُ الإِنْسَانِ فِي غَيْبَتِهِ بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Ghibah adalah perbuatan menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh seseorang ketika orang yang dibicarakan sedang tidak ada di hadapannya.”

Beliau berkata lagi: Ungkapan (بِمَا يَكْرَهُ)  mengandungi makna umum, iaitu semua yang dibenci dan tidak disukai oleh orang yang dighibahkan, sama ada ia berkait dengan masalah agama, atau masalah dunia, seperti masalah hartanya, fizikalnya, keluarganya, anaknya, pakaiannya dan sebagainya.  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Para ulama telah sepakat bahawa ghibah termasuk dosa besar. Mereka berdalilkan dengan sabda Nabi SAW:

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حَرَام عَلَيْكُم

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu dan kehormatan kamu adalah haram atas (sesama) kamu semua.” 

Riwayat Muslim (3179)

Yahya bin Muaz berkata: “Orang beriman mempunyai bahagian darimu dalam tiga perkara: Jika engkau tidak dapat memberikan manfaat, maka janganlah engkau melakukan sesuatu yang memudaratkan mereka. Jika engkau tidak dapat membahagiakan mereka, maka janganlah engkau menjadikan mereka dukacita.  Jika engkau tidak dapat memuji mereka, maka janganlah mencela mereka.”  (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 165)

Namun begitu, terdapat beberapa keadaan yang dibenarkan oleh Syara’ untuk menceritakan aib seseorang atau mengumpatnya. 

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.

Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik’”

Riwayat al-Bukhari (2211) dan Muslim (1714)

Imam al-Nawawi berkata: Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar‘i terdapat enam jenis:

  • Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
  • Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
  • Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
  • Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
  • Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
  • Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya. Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 432-433; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 172-173)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa membuka aib seseorang atau mengumpatnya tidak dibenarkan dalam Islam sebagaimana yang ditunjukkan dalam nas kecuali dalam keadaan atau perkara yang dibenarkan oleh syara’. Justeru, berdasarkan persoalan di atas, sekiranya seseorang itu terpaksa menceritakan keburukan teman sekerjanya itu kepada orang yang dipercayai seperti ibu bapa atau suami bagi mendapatkan nasihat dan pandangan, maka kami katakan ia adalah dibolehkan kerana ia termasuk dalam keadaan yang dibenarkan oleh syara’, tetapi ia masih lagi terikat untuk tidak boleh menyebut nama orang itu secara khusus jika tidak ada keperluan. Namun begitu, dalam keadaan yang lain, jika adanya keperluan seperti rakan sekerjanya itu telah melakukan perbuatan yang melanggar peraturan atau undang-undang, maka dibolehkan untuk menyebut namanya secara khusus kepada pihak yang berautoriti untuk diambil tindakan kepada rakan sekerja tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445