#2836: Berkongsi Rumah Sewa Antara Lelaki dan Perempuan Yang Bukan Mahram Ketika Bercuti

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. haritu ada kawan sekelas ajak pergi trip selepas exam dan tidur di sebuah rumah yang disewa. Trip tersebut bercampur lelaki perempuan walaupun dalam rumah disewa itu lelaki dan perempuan tidur berasingan (perempuan level atas, lelaki level dibawah), atau di bilik berasingan hanya kawasan seperti dapur dan ruang tamu yang dikongsi. Mohon penjelasan dan hukum bagi situasi sebegini ustaz

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.

Riwayat al-Tirmizi (2165)

Berkenaan isu ini, kami telah nyatakan dalam artikel sebelum ini:

#1774: Wanita Bersendirian dalam Lif Bersama Lelaki Ajnabi [1]

#2593: Menolak Aktiviti Kemasyarakatan Kerana Percampuran Antara Lelaki dan Perempuan[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Oleh itu, kami berpandangan sebaiknya, menetap di hotel yang berasingan bilik, jauh lebih baik dari satu rumah.

Isu seperti ini juga perlu diberi kecaknaan dan perhatian yang sewajarnya oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya melangkah alam dewasa. Semoga sebarang tindakan mereka selaras dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut neraca syariah.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/1774-wanita-bersendirian-dalam-lif-bersama-lelaki-ajnabi/

[2] https://maktabahalbakri.com/2593-menolak-aktiviti-kemasyarakatan-kerana-percampuran-antara-lelaki-dan-perempuan/

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445