#2841: Memakan Anak Burung Merpati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya ada melihat status facebook Dato’ yang menyatakan berkenaan anak burung merpati pertama milik Dato’ yang menetas. Timbul persoalan, bolehkah anak burung merpati dimakan? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas pengenalan dan definisi burung merpati. Merpati adalah mana-mana burung dalam famili merpati dan merbuk. Dari segi pengelasan saintifik, merpati tergolong dalam order Columbiformes. Anggota yang besar dalam famili ini biasanya dikenali sebagai merpati dan anggota yang kecil dikenali sebagai merbuk. Terdapat kira-kira 300 spesies merpati. Burung ini hidup di semua bahagian di dunia kecuali di kawasan yang benar-benar sejuk. Kebanyakan spesies hidup dalam iklim tropika. Misalnya, 24 spesies merpati tinggal di Mexico. Hanya tiga spesies terdapat di persekitaran semula jadinya di Kanada. Banyak populasi merpati faral kelihatan di bandar-bandar raya di Eropah, Amerika dan Asia. Ia adalah keturunan merbuk batu bela jinak. 

Fantail pigeon - Wikipedia

Gambar atas: Merpati ekor kipas (Fantail pigeon)

Badan merpati gempal; kepalanya kecil; dan kakinya pendek dan tegap. Merpati terbang laju, kuat dan mempunyai otot untuk terbang yang besar di dada. Bulunya lebih keras dan lebih licin daripada bulu kebanyakan burung lain. Tekstur bulu merpati boleh melancarkan aliran udara di sekeliling badannya ketika terbang. Sesetengah jenis merpati mempunyai bulu berbentuk khas yang boleh membantunya terbang pada kelajuan lebih perlahan daripada biasa. Spesies-spesies lain mempunyai bulu yang mengeluarkan bunyi tertentu ketika terbang. Ia berkomunikasi dengan satu sama lain menerusi bunyi ini.

Kebanyakan spesies merpati panjangnya dari 25 hingga 38 sentimeter. Kebanyakan spesies mempunyai bulu berwarna malap, iaitu hitam, biru, perang atau kelabu. Merpati jantan dan merpati betina kebanyakan spesies kelihatan seakan-akan sama, tetapi jantan lebih besar sedikit dan berwarna lebih terang. Sesetengah spesies, seperti merpati buah Asia dan merpati jantung berdarah di Filipina, adalah antara burung yang paling cantik di dunia. Burung ini mempunyai tanda yang terang pada bahagian depan badannya. Merpati boleh menggunakan tandanya untuk menarik perhatian pasangan atau untuk mengancam merpati-merpati lain yang sama spesiesnya yang menghampiri sarangnya atau wilayahnya. Merpati minum dengan cara yang luar biasa. la tidak menjongketkan kepala setiap kali menghirup air seperti burung-burung lain. Sebaliknya, ia merodok paruhnya ke dalam air dan menyedut air melaluinya seperti straw.

Rock Pigeon - eBird

Gambar atas: Merpati batu (Rock dove)

Kehidupan merpati. Kebanyakan merpati membina sarang di atas pokok, tetapi satu spesies, iaitu merbuk batu, membina sarang di cenuram berbatu atau di belabas atau ambang tingkap pada bangunan. Spesies-spesies lain, yang dikenali sebagai merbuk tanah membina sarangnya di atas tanah. Merpati mula mencari makanan dan air pada awal pagi. la biasanya berehat sebahagian waktu tengah hari dan kemudian mencari lebih banyak makanan dan air. Ia pulang ke sarang sebelum tiba malam. Kebanyakan jenis merpati tinggal di kawasan yang sama sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, banyak spesies yang hidup di kawasan sejuk berhijrah dalam kawasan yang besar pada musim luruh dan musim bunga. Manusia sering menembak burung merpati semasa perhijrahan ini.

Makanan. Merpati memakan buah-buahan, biji- bijian dan kekacang, kadangkala ia memakan serangga, siput dan cacing. Sesetengah spesies mendapatkan makanan dengan mematuk di tanah. Yang lain jarang-jarang turun ke tanah dan makan di atas pokok.

Jenis merpati. Terdapat dua kumpulan utama merpati, iaitu merpati liar dan merpati bela jinak. Merpati bela jinak dipelihara oleh manusia. 

Merpati liar. Daripada hampir 300 spesies liar, sesetengah yang terkenal adalah merpati hutan, merbuk berkolar, merbuk batu dan merbuk meratap. Di kebanyakan bahagian di Eropah, merpati hutan adalah satu daripada perosak pertanian yang paling biasa. Ia adalah burung merpati yang cantik dan tegap. Merpati hutan dewasa boleh dibezakan daripada merpati-merpati lain dengan tompok putih pada sisi lehernya. Merpati hutan juga mempunyai jalur putih melintangi sayapnya.

Merbuk berkolar, yang berasal dari Timur Jauh, terkenal kerana penyebarannya merentasi Eropah pada tahun 1900-an. Bahagian atas burung yang cantik ini berwarna perang kekelabuan dan sebelah bawahnya berwarna lebih pucat. Dadanya berwarna kesamaran. Kolar yang hitam, sempit di belakang lehernya dilingkungi warna putih.

Merbuk batu membuat sarang di cenuram di Afrika, Asia dan Eropah. Ia berwarna biru gelap dan mempunyai dua jalur hitam pada sayapnya; punggungnya putih dan satu jalur hitam pada ekornya. Bulu di lehernya berwarna hijau dan ungu berkilat.

Merbuk meratap adalah merpati liar Amerika Utara yang lebih kecil yang paling biasa ditemui. la mengeluarkan bunyi igal yang sedih dan dikenali sebagai burung buruan dan burung nyanyi. Satu lagi burung buruan Amerika, iaitu merpati perantau, telah pupus pada awal tahun 1900-an, kerana pemburu telah membunuh terlalu banyak spesies ini.

Merpati mahkota, yang terbesar daripada semua merpati hidup, terdapat di New Guinea. Ia adalah antara merpati yang paling cantik. Burung ini berwarna-warni, dan jambak bulu yang jarang, bercorak renda membentuk jambul di kepalanya. Merpati buah yang berwarna terang terdapat di Asia dan di kepulauan di Lautan Pasifik Selatan. Sarangnya terlalu nipis hinggakan merpati betina mesti memegang telur dan sarangnya supaya tidak pecah walaupun ditiup angin perlahan. Merpati jantung berdarah, yang hidup di Filipina, mempunyai bahagian bawah berwarna putih kecuali tompok merah terang di dadanya.

Luzon Bleeding Heart Dove | Saint Louis Zoo

Gambar atas: Merpati jantung berdarah (Luzon bleeding-heart)

Merpati bela jinak. Ahli sains percaya bahawa kebanyakan baka merpati bela jinak adalah keturunan merbuk batu liar. Kebanyakan burung ini ketara perbezaannya daripada leluhurnya yang liar. Tetapi, jika merpati bela jinak menjadi liar, keturunannya selepas beberapa generasi menyerupai leluhurnya yang lain. Misalnya, merpati bandar, iaitu keturunan liar kepada baka bela jinak menyerupai merbuk batu yang liar.

Barangkali manusia mungkin mula membiakbakakan merpati ribuan tahun dahulu. Selama berkurun-kurun, pembiak baka telah menghasilkan banyak jenis merpati untuk berbagai-bagai tujuan. Merpati telah dibiakbakakan sebagai sumber makanan, untuk membawa perutusan atau untuk berlumba, rekreasi, dan pertunjukan.

Manusia menggunakan merpati pulang untuk membawa utusan dan untuk perlumbaan. Merpati ini mempunyai keupayaan yang menakjubkan untuk mencari sarangnya dari jarak jauh. Merpati pembawa utusan juga digunakan untuk membawa utusan. Burung yang besar dan pantas ini mempunyai ketumbuhan kulit berisi yang dinamakan pial di sekeliling paruh dan matanya. Pertunjukan merpati mempamerkan jenis merpati yang dibiakbakakan secara khas. Burung yang dipamerkan dalam pertunjukan demikian termasuk merpati ekor kipas, merpati poktar dan merpati jacobin. Lain-lain baka bela jinak termasuk merpati tumbler dan merpati gelek, yang melakukan pertunjukan akrobatik.

Ini Dia Jenis Merpati Hias dengan Berbagai Keunikan

Gambar atas: Merpati jacobin

Merpati dan manusia. Manusia memburu merpati untuk makanan dan sebagai kegiatan. Mereka juga menggunakan burung ini untuk penyelidikan sains. Misalnya, ahli sains mengkaji merpati hutan untuk memahami kelakuannya dengan lebih baik. Burung ini menyesuaikan diri dengan baik dalam kurungan. Ahli sains juga mengkaji merpati pulang dalam usaha untuk mempelajari bagaimana ia boleh mencari jalan pulang apabila terbang dalam jarak jauh.

Sesetengah jenis merpati, termasuk merpati hutan dan merbuk berkolar memakan banyak tanaman yang ditanam oleh petani. Tetapi spesies-spesies lain memakan biji pelbagai rumpai yang berbahaya.

Banyak bandar dan bandar raya mempunyai medan atau dataran yang luas tempat merpati berkumpul pada waktu siang. Sesetengah pengunjung dan kanak-kanak gemar memberi makan burung ini. Tetapi, merpati yang tinggal di bandar boleh mengganggu penduduk. Najis burung merpati adalah mahal untuk dibersihkan dan ia boleh menghakis batu dan marmar. Najis merpati juga boleh menyekat talang bangunan. Di samping itu, merpati juga boleh merebakkan penyakit seperti histoplasmosis dan psittakosis yang boleh menjangkiti manusia. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 14/121-125).

Hukum memakan merpati

Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah melihat terlebih dahulu hukum memakan daging burung merpati itu sendiri. Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Selain itu, berkenaan burung merpati ini juga, Imam al-Nawawi ada menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) bersepakat mengenai kehalalan untuk memakan burung unta, ayam, burung kurki (yakni burung jenjang), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis), burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), itik, burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung ‘usfur (عصفور), burung qunbarah (قُنْبَرَة – iaitu burung jambul), burung durraj (دُرّاج), dan burung merpati. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/21)

Bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kehalalan daging burung merpati itu sebagai ijma‘ ulama. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hazm bahawa ulama telah bersepakat bahawa lembu, kambing, ayam, burung merpati, angsa, burad (البُرد), burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis) dan burung ‘usfur (عصفور) adalah halal untuk dimakan. (Lihat Maratib al-Ijma‘, hlm. 149).

Begitu juga al-Kasani turut menyebutkan, burung-burung yang jinak, di antaranya seperti ayam dan itik, begitu juga yang liar seperti burung merpati, burung fakhitah (dove) dan burung ‘usfur adalah halal (untuk dimakan) berdasarkan ijma‘ ulama. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/39).

Selain itu, Ibn al-Qattan ada menyebutkan, ulama bersepakat bahawa lembu, kambing, ayam, burung merpati, angsa, burung burkah (بُرْكَة), burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis), burung ‘usfur (عصفور) dan zarazir (الزرازر) adalah halal untuk memakannya. (Lihat al-Iqna‘ fi Masa’il al-Ijma‘, 1/323).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa burung merpati termasuk dalam jenis burung yang halal untuk dimakan. Begitu juga keharusan dan kehalalan untuk memakannya itu, tidak kira ia daripada jenis liar mahupun jinak, merpati jantan atau betina, merpati dewasa atau anaknya. Kesemuanya adalah halal dimakan dengan syarat ia disembelih terlebih dahulu sebagaimana sembelihan yang dikehendaki oleh syarak. 

Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya, tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, hal ini juga dikuatkan lagi dengan nukilan ijma‘ oleh sebahagian ulama yang menyatakan mengenai keharusan dan kehalalan untuk memakannya. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445