Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ada soalan, bolehkah isteri mengambil harta suami berulang kali tanpa pengetahuan suami utuk memberi barang keperluan diri dan anak-anak ? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/175).
Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi‘ bin al-Harith R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya: “Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.”
Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)
Hadith ini menunjukkan bahawa haram mengambil harta orang lain secara batil walaupun dengan kadar yang sedikit. (Lihat Minhah al-Allam,6/323)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa isteri tidak boleh mengambil harta atau duit suami sesuka hati melainkan dengan kebenarannya. Ini kerna terdapat banyak nas al-quran mahupun hadith yang melarang mengambil harta secara batil. Namun sekiranya suami seorang yang bakhil atau culas dalam memberi nafkah kepada anak dan isteri maka ketika itu isteri boleh mengambil duit suami sekadar keperluan sahaja tidak lebih daripada itu. Ini sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha katanya:
أَنْ هِنْدًا بِنْتُ عُتْبَةَ قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وهو لا يَعْلَم، فقال: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوف
Maksudnya: “Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.”
Riwayat al-Bukhari (5049) dan Muslim (1714)
Syaikh Ibn Baz dalam isu ini menyatakan: Nabi telah memberikan izin kepada isteri-isteri untuk mengambil harta suami mereka dengan cara yang baik dan wajar, tanpa pengetahuan suami, sesuai dengan keperluan mereka, keperluan rumah tangga dan anak-anak. Namun, mereka tidak boleh berlebihan atau membazir dalam penggunaannya.[1]
Justeru, dalam isu ini kami katakan tidak dibolehkan mengambil duit suami sesuka hati tanpa pengetahuannya melainkan suami seorang yang bakhil dan lalai dalam memberi nafkah. Sebaiknya minta lah izin terlebih dahulu kepada suami agar tidak berlaku perselisihan dalam rumahtangga. Di sini, suka juga kami nasihati kepada para suami jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT dan janganlah lalai dalam memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak kerana amanah tersebut akan dipersoalkan di akhirat nanti.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Maksudnya: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”
Riwayat Abu Dawud (1692)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya da kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam
[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/9661/%حكم–اخذ–المراة–من–مال–زوجها–بدون–علمه
Diakses pada 18 Ogos 2023
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445