#2847: Adakah Suami Perlu Menanggung Kos Haji Isteri?

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ingin bertanya adakah suami perlu menanggung segala kos haji isteri ? Adakah ia termasuk dalam nafkah yang wajib ke atas suami ? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Ulama bersepakat bahawa Ibadah haji merupakan satu kefardhuan. Tiada seorang di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’ (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara syarat diwajibkan seseorang itu mengerjakan haji adalah berkemampuan. Ini sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa kemampuan itu ialah kemampuan untuk sampai kepadanya. Dan perkara tersebut adalah umum merangkumi fizikal dan material. Ibadah haji adalah fardhu ke atas setiap Muslim selagi mana tidak ada padanya halangan untuk sampai ke Tanah Haram (Makkah) sama ada dari segi halangan yang bersifat fizikal sahaja atau material sahaja atau fizikal dan material (kedua-duanya sekali). Halangan dari segi fizikal adalah seperti sakit, takut dan risau akan keselamatan diri daripada musuh atau haiwan buas, iaitu laluan perjalanan tidak aman (selamat). Manakala halangan daripada sudut material adalah seperti tiadanya bekalan dan kenderaan untuk pergi ke sana. Adapun halangan dari segi fizikal dan material pula adalah seperti tiadanya bekalan dan kenderaan serta pada masa sama sedang sakit atau laluan perjalanan tidak selamat. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/14-15).

Hal ini juga disebutkan dalam hadith yang  diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ مَلَكَ زَادًا وَرَاحِلَةً تُبَلِّغُهُ إِلَى بَيْتِ اللهِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَ عَلَيْهِ أَنْ يَمُوتَ يَهُودِيًّا، أَوْ نَصْرَانِيًّا، وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ : {وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ البَيْتِ مَنْ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً

Maksudnya: “Sesiapa yang memiliki bekalan (biaya perbelanjaan) dan kenderaan yang boleh digunakan untuk pergi ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan ibadah Haji, maka tidak ada beza bagi dirinya antara mati dalam keadaan sebagai seorang Yahudi atau Nasrani. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran (yang bermaksud): ‘Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.’”

Riwayat al-Tirmizi (812)

Justeru, dalam isu ini kami katakan sekiranya isteri tidak berkampuan menanggung kos haji maka tidak wajib ke atasnya melaksanakan haji kerana dia tidak memenuhi syarat diwajibkan haji iaitu berkemampuan. Oleh yang demikian tidak wajib ke atas suami menunggung kos haji isteri namun sekiranya suami berbesar hati menanggung kos haji isteri maka itu lah yang lebih baik.

Syaikh Abdul Karim Zaidan dalam isu ini beliau menyatakan: bukanlah  hak isteri ke atas suaminya untuk memikul perbelanjaan haji baginya, atau berkongsi dalam perbelanjaan tersebut. (Lihat al-Mifsal Fi Ahkami al-Marah,2/177)

Syeikh al-Albani ketika ditanya berkenaan dengan isu ini beliau menjawab: Tiada kewajipan ke atas suami untuk membayar perbelanjaan haji isterinya. Ini berkenaan dengan lelaki. Manakala bagi wanita, jika dia mempunyai  wang yang cukup untuk melaksanakan haji, maka haji menjadi wajib ke atasnya. Tetapi jika dia tidak mempunyai cukup wang, haji tidak menjadi wajib ke atasnya.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

Maksudnya: “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Wallahu a’lam

[1] https://islamqa.info/ar/answers/8916/%هليلزمالزوجنفقةحجزوجته

Diakses pada 18 Ogos 2023

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445