#2849: Adakah Kos Rawatan Dan Ubat-ubatan Isteri Perlu Ditanggung Oleh Suami?

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato’ Seri, saya ingin bertanya adakah kos rawatan dan ubat-ubatan isteri perlu ditangguh oleh suami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/274 )

Firman Allah SWT:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَة مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡر يُسۡرا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

(Surah al-Talaq: 7)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT telah menetapkan nafkah ke atas isteri sesuai dengan keadaan suami iaitu orang yang kaya hendaklah menunaikan nafkah sesuai dengan kekayaannnya jangan lah dia menunaikan nafkah dengan nafkah orang miskin. Sesiapa yang berada dalam kesempitan maka berilah nafkah dengan apa yang telah direzkikan oleh Allah kepadanya. Allah SWT tidak membebani seseorang kecuali dengan kemampuan  yang  diberikan Allah kepadanya dalam bab nafkah atau sebagainya .Yang demikian merupakan rahmah dan kasih sayang Allah terhadap hambanya dengan meringankan beban terhadap orang yang  susah. (Lihat  Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.871)

Diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nas-nas di atas menunjukkan bahawa kewajipan nafkah merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isteri. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan lelaki sebagai pelindung bagi perempuan dan Dia mewajibkan lelaki supaya mencukupkan keperluan-keperluan rumahtangga termasuk keperluan isteri.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, nafkah yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isteri adalah tujuh perkara:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Lihat: Mughni al-Muhtaj, Dar al-Fikri Birut, 3/426, al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Dar al-Fikri Damsyiq, 10/7349)

Dalam isu ini kami katakan, kos rawatan dan ubat-ubatan bukanlah termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya kecuali perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas. Hal yang  demikian telah dinyatakan oleh Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm bahawa: Tidak diwajibkan ke atas suami melakukan korban kepada isterinya dan tidak juga diwajibkan baginya  membiayai kos rawatan atau  kos berbekam. (Lihat al-Umm, 8/337)

Begitu juga yang telah dinyatakan  oleh Syaikh al-Buhuti berkaitan dengan isu ini beliau menyatakan:  Tidak diwajibkan bagi suami memberikan ubat atau membiayai kos rawatan sekiranya isterinya sakit kerana ia bukanlah merupakan keperluan asas bagi isteri bahkan ia adalah  perkara yang datang secara tiba-tiba maka tidaklah ia diwajibkan ke atas suami. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat,3/227)

Kami berpendapat dalam kehidupan masa kini yang serba-serbi complicated, sudah sewajarnya suami menanggung isteri termasuklah dalam isu perubatan. Adalah amat tidak munasabah jika suami seorang yang berada atau kaya tiba-tiba tidak memberi bantuan dalam kos rawatan isteri sehingga menyebabkan isteri terpaksa berhutang dengan orang lain. Kami berpendapat isu yang dibahaskan oleh fuqaha yang terdahulu lebih kepada rawatan yang bersifat sampingan atau tahsiniyyat (kecantikan).

Justeru kami katakan, meskipun hal ini bukan kewajipan yang harus dipenuhi oleh suami, namun jika suami memiliki kemampuan, adalah lebih baik jika dia membiayai segala kos rawatan dan ubat-ubatan tersebut. Ini disebabkan isteri berada dalam tanggungannya. Tindakan ini juga dapat dianggap sebagai bentuk kemurahan hati (ihsan) dan tindakan baik sesuai dengan tuntunan syara’.

Firman Allah SWT:

  وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah al-Nisa’:19 )

Diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ خُيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977)

Hadith ini menganjurkan supaya berbuat baik kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445