#2851: Memakai Pakaian Yang Bercampur Sutera Bagi Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato’ seri, saya ingin bertanya, saya mendapat hadiah pakaian akan tetapi pakaian tersebut bercampur dengan sutera, adakah boleh saya memakainya kerana saya difahamkan sutera adalah haram bagi lelaki? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلّ الذهبَ والحريرَ لإناثِ أمِّتي وحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”.

Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Imam al-Ramli berkata: “(Diharamkan ke atas lelaki) memakai sutera tulen atau sutera bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak.” (Lihat Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan,hlm.  183)

Diriwayatkan  juga daripada Huzaifah:

نَهَانَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهٌ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَن لٌبْسِ الْحَرِير والدِّيبَاج وَأَن نَجْلِسَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang kita daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (5837) dan Muslim (2067)

Oleh yang demikian, diharamkan bagi lelaki memakai sutera dan ia merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Namun, ada beberapa keadaan yang diharuskan bagi lelaki menggunakan sutera seperti dalam perubatan dan perawatan.Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A beliau berkata:

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا

Maksudnya: “Nabi  SAW memberikan kelonggaran untuk Zubair dan Abd Rahman untuk memakai sutera karana penyakit gatal yang mereka derita.

Riwayat al-Bukhari (5829) dan Muslim (2076)

Menjawab bagi persoalan di atas Kami katakan sekiranya baju yang dipakai itu bercampur dengan sutera yang kadarnya sedikit maka tidak ada masalah untuk memakainya. Namun sekiranya kadar penggunaan sutera dalam pakaian tersebut lebih dari empat jari maka tidak dibolehkan bagi lelaki memakainya dan ia dihukumkan haram. Ini sebgaimana yang telah diriwayatkan daripada Umar bahawa beliau berkata:

نهى رسولُ اللهِ ﷺ عن الحريرِ إلا موضعَ أُصْبُعَيْنِ، أو ثلاثٍ، أو أربعٍ.

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang menggunakan sutera kecuali dengan kadar dua,tiga atau empat jari.

Riwayat Muslim(2069), Tarmizi (1721) dan Ahmad(365)

Hadis ini menjelaskan tentang  larangan pemakaian sutera bagi lelaki, kecuali dengan jumlah yang sedikit, seperti pada tempat yang hanya satu, dua, atau empat jari. Hal ini diperbolehkan kerana penggunaan yang terbatas tidak dianggap sebagai penggunaan sutera secara menyeluruh, seperti penampalan lencana pada pakaian atau penggunaan kain untuk perbaiki pakaian atau sulaman di poket baju atau lengan, dan seumpamanya. Yang demikian merupakan contoh dari keluasan dan pengecualian yang diizinkan oleh syara’ . (Lihat Minhah al-’Allam,4/209)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Diharuskan untuk meletak lencana dari sutera pada pakaian sekiranya tidak melebihi empat jari. Ini merupakan pandangan mazhab kami (Syafie’) dan pandangan majoriti ulama. (Lihat Syrah al-Nawawi ‘ala Muslim,14/28).

Selanjutnya, dalam Fiqh al-Manhaji juga telah dinyatakan: Apabila sehelai pakaian dibuat dari sutera atau bahan lain, maka hendaklah membandingkan berat kedua-dua bahan tersebut. Jika berat sutera lebih berat daripada bahan lain, maka pemakaian dan penggunaan pakaian tersebut oleh lelaki diharamkan. Namun, jika berat bahan lain lebih berat daripada sutera, maka memakai dan menggunakannya adalah dibolehkan. Ini disebabkan hukum ditentukan oleh yang lebih berat di antara keduanya, dan pakaian dinamai serta dihukumi berdasarkan bahan yang dominan. Apabila berat sutera dan bahan lain seimbang, maka memakai dan menggunakannya adalah dibolehkan, dengan memberi kecenderungan kepada sisi yang halal, kerana ini adalah prinsip asas.”

Oleh yang demikian, hiasan pakaian dengan sutera, seperti menambahkan hiasan sutera pada hujung kain dengan jumlah yang biasanya digunakan adalah dibolehkan. Begitu juga diperbolehkan seperti memperbaiki pakaian dan menjahitnya dengan tambahan hiasan sutera, selama tidak melebihi panjang empat jari. Tetapi jika melebihi ukuran tersebut, maka ia tidak dibolehkan. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 3/98)

Justeru kami katakan di sini, baju yang bercampur sutera dengan kadar yang sedikit adalah boleh untuk dipakai dan digunakan dengan syarat tidak melebihi panjang empat jari. Namun meninggalkan penggunaannya adalah lebih baik melainkan pada perkara-perkara yang dibenarkan oleh syara’.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445