#2853: Melanggar Sumpah yang Dilakukan Selain Nama Allah

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan kaffarah sumpah. Adakah bersumpah dengan selain nama Allah, dikenakan kafarah jika dilanggar? Contohnya begini, “Saya bersumpah demi malam Jumaat ni, saya takkan tegur lagi anak awak itu?” Mohon pencerahan

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman (الأيمان). Ia merupakan jamak dari perkataan al-Yamin (اليمين). Pada dasarnya, ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukakan sesuatu yang agung secara khusus. Hal ini dilakukan dengan dengan menggunakan salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/213; Taudhih al-Ahkam, 7/105)

Sumpah hendaklah hanya dilakukan dengan menggunakan nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ باللَّهِ، أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, atau lebih baik diam.”

Riwayat al-Bukhari (3836) dan Muslim (1646)

Hukum Sumpah Selain Nama Allah

Dalam satu riwayat daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa beliau pernah mendengar seorang lelaki berkata: “Tidak, demi Ka’bah.” Ibn ‘Umar R.Anhuma pun berkata: “Jangan bersumpah dengan yang lain selain daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ كَفَرَ أَوْ أَشْرَكَ ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang bersumpah dengan yang selain daripada Allah, maka sesungguhnya dia telah kafir atau syirik.”

Riwayat Abu Dawud (3251), al-Tirmizi (1535) dan Ahmad (6072). Hadith ini dinilai sahih dalam Irwa’ al-Ghalil (8/189).

Al-Syaukani menjelaskan bahawa ungkapan ‘kafir’ atau ‘syirik’ dalam hadis di atas adalah bagi menjelaskan kesungguhan dari segi celaan dan teguran dalam hal bersumpah itu. (Lihat Nail al-Autar, 8/261)

Punca larangan adalah kerana bersumpah dengan sesuatu membawa kepada mengagungkan perkara itu. Pengagungan pada hakikat yang sebenarnya hanyalah berhak diberikan kepada Allah SWT sahaja, zat atau sifat-Nya. Oleh itu, para ulama’ fiqh bersepakat bahawa bersumpah dengan nama sesuatu selain daripada Allah SWT tidak sah kerana tegahan membuktikan rosaknya perkara yang ditegah itu.

Ibnu al-Qayyim perkata:”Salah satu dosa besar adalah bersumpah dengan selain Allah, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sesiapa bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah bersekutu.’ Seseorang mungkin mengatakan bahawa ini adalah makruh, tetapi menurut hukum syariat, ini adalah bentuk syirik. Kedudukannya lebih tinggi dari dosa-dosa besar.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 6/571-572)

Syirik dalam hal ini boleh menjadi syirik besar atau syirik kecil, tetapi tidak menjadikan pelakunya keluar daripada agama Islam. Syirik besar terjadi jika seseorang memperlakukan apa yang disumpah itu sebagaimana mereka memperlakukan Allah dalam hal penghormatan, kekuasaan untuk memberikan manfaat dan  kemudharatan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan: Jika seseorang menganggap sesuatu yang disumpahkan itu dalam sumpah setara dengan cara dia mengagungkan Allah, maka bersumpah dengan itu adalah diharamkan. Jika keyakinannya terhadap yang disumpahkan tersebut setara dengan keyakinannya terhadap Allah, maka ini adalah bentuk kekafiran, dan hadith yang disebutkan berlaku pada perkara ini.” (Lihat Fath al-Bari, 11/531)

Para ulama’ berselisih pendapat, adakah bersumpah dengan selain daripada Allah haram atau makruh?

Ibn Abd al-Barr berkata: “Para ulama sepakat bahawa bersumpah dengan selain Allah adalah makruh, dan ia adalah dilarang. Tidak boleh bersumpah dengan yang lainnya kepada siapa pun.” (Lihat al-Tamhid, 14/367).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Adapun bersumpah dengan makhluk, seperti bersumpah dengan Ka’bah, atau kubur syeikh, atau nikmat yang diberikan oleh seorang penguasa, atau pedang, atau dengan kedudukan seseorang antara dua makhluk: Tidak ada perbezaan pendapat antara para ulama bahawa jenis sumpah ini adalah makruh yang dilarang daripadanya, dan bersumpah dengan ini tidak menyebabkan seseorang perlu melakukan kifarat (penebusan dosa). Adakah bersumpah dengan ini dianggap haram atau hanya makruh tanzihi? Dalam hal ini dda dua pendapat dalam mazhab Imam Ahmad dan selainnya: Yang lebih kuat di antara keduanya adalah ia diharamkan.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 35/243)

Syeikh Abd al-Rahman al-Mu’allimi mengatakan: “Sumpah yang menunjukkan penghormatan kepada yang disumpahkan, dan keyakinan bahawa dia memiliki kekuatan ghaib sehingga pemberi sumpah mendapatkan manfaat ghaib ketika dia memenuhinya dan jujur padanya. Jika dia tidak memenuhinya atau tidak jujur, maka dia akan mendapatkan hukuman. Demikian pula, yang disumpahkan itu juga mendapatkan manfaat ghaib dengan diberikan haknya jika dia memiliki hak… Contoh lain adalah bersumpah dengan berhala, ini menunjukkan penghormatan kepada berhala dan keyakinan bahawa berhala tersebut memiliki kekuatan ghaib… Jika hal ini terjadi, maka sudah pasti bahawa sumpah seperti ini adalah bentuk penghambaan yang mengagungkan objek yang disumpahkan dan mencari manfaat ghaib daripada sumpah tersebut, sama ada bagi pemberi sumpah atau penerima sumpah. Bentuk penghambaan ini adalah ibadah, seperti yang dijelaskan dalam konteksnya. Jika Allah tidak memberikan izin kepada ibadah semacam ini, maka ibadah tersebut ditujukan kepada selain Allah, dan ibadah kepada selain Allah adalah kekafiran dan syirik.” (Lihat Athar al-Syeikh Abd al-Rahman al-Mu’allimi, 3/1018).

Namun begitu, sumpah dengan selain Allah dianggap sebagai syirik kecil jika ia tidak mencapai tingkat pengagungan seperti yang diterangkan ini. Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin mengatakan: “Dan bersumpah dengan selain Allah adalah syirik besar jika seseorang menganggap yang disumpahkan itu setara dengan Allah dalam pengagungan dan kebesaran. Jika tidak, maka ini adalah syirik kecil.” (Lihat al-Qaul al-Mufid, 2/214)

Al-Lajnah al-Daimah dalam fatwanya menyebutkan: “Bersumpah dengan amanah adalah bersumpah dengan selain Allah, dan bersumpah dengan selain Allah adalah syirik kecil. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar bin al-Khattab R.Anhuma bahwa Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah kafir atau mensyirikkan.’ Ibnu Mas’ud R.A mengatakan: ‘Sesungguhnya, jika seseorang bersumpah dengan Allah dalam kebohongan, itu lebih disukai bagiku daripada dia bersumpah dengan yang lainnya walaupun ia benar.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 23/56)

Ibn Hazm memutuskan hukumnya adalah haram. Manakala kebanyakan ulama’ lain menghukumkannya sebagai makruh sahaja. Sebenarnya, ia memerlukan kepada perincian iaitu jika orang yang bersumpah dengan selain daripada Allah SWT meyakini benda yang dijadikan bahan bersumpah sebagaimana dia yakini terhadap Allah SWT, keyakinan sebegitu adalah kafir. (Lihat al-Muhalla, 10/43)

Walaupun begitu, kami tegaskan betapa sumpahan selain dengan nama Allah adalah ditegah dan dilarang sama sekali. Daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَحْلِفُوا بِآبَائِكُمْ وَلاَ بِأُمَّهَاتِكُمْ وَلاَ بِالأَنْدَادِ وَلاَ تَحْلِفُوا إِلاَّ بِاللَّهِ وَلاَ تَحْلِفُوا بِاللَّهِ إِلاَّ وَأَنْتُمْ صَادِقُونَ

Maksudnya: “Jangan kamu bersumpah dengan nama bapa-bapa kamu dan juga nama ibu-ibu kamu dan nenek moyang. Jangan bersumpah kecuali dengan nama Allah dan jangan bersumpah kecuali kamu bercakap benar.”

Riwayat Abu Dawud (3248) dan al-Nasa’ie (3769)

Syeikh Syams al-Haq Azim Abadi menjelaskan: Jangan kamu bersumpah dengan bapa-bapa kamu. Begitu juga anak-anak kamu. Maka sudah tentu lebih aula (utama) jangan bersumpah dengan berhala-berhala.

Dalam al-Nihayah menyebut: Perkataan ‘الأنداد’ adalah jama’ kepada ‘ند’ iaitu sesuatu yang menyamai dan setanding dalam semua perkara, dan menyalahinya. Maksud di sini mereka menjadikan tuhan-tuhan yang lain selain Allah.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam isu haram ini. Di sisi Mazhab Maliki, terdapat dua pendapat. Hal ini sebagaimana disebut oleh Ibn Daqiq al-‘Id dan yang masyhur di sisi mereka adalah makruh. Begitu juga perkara ini menjadi khilaf di sisi Mazhab Hanbali. Tetapi yang paling masyhur di sisi mereka adalah haram dan inilah yang dipegang oleh al-Zahiri.

Begitu juga Mazhab Syafie menyatakan hukumnya makruh sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haramain. Tetapi, jika dia membesarkan dan mengagungkan apa yang disumpahnya itu, maka hukumnya adalah haram. Bahkan iktiqad seperti itu boleh membawa kepada kufur. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 9/55)

Melanggar Sumpah Yang Disumpah Selain Nama Allah

Pada asasnya, sesiapa yang melanggar sumpah yang disumpahkan atas nama Allah, wajib membayar kaffarah sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّـهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Maidah: 89)

Syeikh Al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Namun begitu, dalam hal bersumpah selain nama Allah, sumpah tersebut adalah tidak sah. Hal ini kerana sumpah seperti ini termasuk dalam sumpah dengan kehidupan seseorang, kepalanya dan kemuliaannya, bersumpah dengan ibu dan bapanya, bersumpah dengan Kaabah dan makhluk selainnya. Sumpah dengan selain Allah tidak mengikat orang yang bersumpah itu, dan tidak dikenakan apa-apa atas pelanggaran sumpah seperti itu menurut pendapat majoriti ulama’.

Ibnu Qudamah berkata: ‘Sumpah dengan makhluk adalah tidak sah dan tidak mengikat orang yang bersumpah itu, seperti bersumpah dengan nama Kaabah, para nabi, dan makhluk-makhluk lainnya, dan tidak diwajibkan kaffarah atas pelanggaran sumpah seperti itu. Dan ini adalah pandangan kebanyakan fuqaha.’ (Lihat al-Mughni, 9/405).

Justeru, sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah melakukan tindakan yang melanggar arahan Nabi SAW. Dia perlu bertaubat kepada Allah Yang Maha Tinggi, menyesali perbuatannya, berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Tidak ada kaffarah yang dikenakan padanya jika dia melanggar sumpahnya, kerana jenis sumpah ini adalah sumpah yang makruh tanzihi dan haram mengikut pendapat kebanyakan para ulama’ dan tidak boleh disamakan tarafnya dengan  hukum bersumpah dengan nama Allah.”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa para ulama’ berbeza pendapat dalam hal menentukan bersumpah dengan selain Allah sama ada ia adalah larangan bersifat haram atau makruh bergantung kepada niat orang yang bersumpah itu. Namun begitu, walaupun terdapat sebahagian ulama’ yang menyatakan bahawa ia adalah makruh tanzihi, tetapi perbuatan bersumpah seperti ini perlulah ditinggalkan sejauh-jauhnya daripada pengamalan kita kerana ia boleh menjebakkan seseorang yang melakukan sumpah seperti ini ke lembah kesyirikan.

Selain itu, sesiapa yang melanggar sumpah yang dilakukan selain daripada Allah, maka tidak dikenakan apa-apa padanya kerana sumpah tersebut adalah tidak sah dan hukumnya itu tidaklah boleh disamakan dengan hukum bersumpah dengan nama Allah, dan dia juga mestilah bertaubat kepada Allah kerana telah melakukan sumpah pada selain Allah, menyesali berbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445