Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ekoran daripada Rasulullah SAW mempunyai ramai isteri, boleh Dato’ Seri terangkan bila waktu Baginda SAW berkahwin serta usia Baginda SAW dan juga isterinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Adalah Rasulullah SAW merupakan ikuta yang terbaik. Justeru, tidak pelik sirah Baginda SAW dikaji termasuklah dalam hal munakahat Rasulullah SAW. Kami juga telah nyatakan dalam buku kami bertajuk Garis Masa Hayat al-Rasul SAW. Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Penjelasan al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari dalam lubuk hati dan perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara kamu rasa kemesraan dan kasih sayang.
Nama-Nama Isteri Nabi SAW dan Usia Baginda SAW Ketika Berkahwin
- Saidatina Khadijah binti Khuwailid di mana usia Nbai SAW ketika itu 25 tahun mengikut pendapat jumhur sedangkan usia Khadijah 40 tahun mengikut yang masyhur.
- Saudah binti Zam’ah. Rasulullah SAW berkahwin dengannya pada bulan Syawal tahun ke-10 kenabian yakni usia Baginda SAW ketika itu 50 tahun, selepas kewafatan Khadijah.
- Aisyah binti Abi Bakar. Rasulullah SAW berkahwin pada tahun ke-10 kerasulan dalam usia 50 tahun sedangkan AIsyah ketika itu berusia 6 tahun atau 7 tahun atau 9 tahun.
- Hafsah binti Umar bin al-Khattab. Rasulullah SAW berkahwin dengannya selepas perang Badar, ada yang berkata selepas perang Uhud dan usia Rasulullah SAW ketika itu antara 53 tahun hingga 55 tahun.
- Zainab binti Khuzaimah al-Hilaliyah. Rasulullah SAW berkahwin dengannya pada bulan Ramadhan ketika berusia antara 53 atau 54 tahun. Isteri beliau meninggal dunia pada masa Rasulullah SAW masih hidup di mana dikatakan usainya ketika itu 30-an.
- Ummu Salamah yang nama sebenarnya Hindun binti Abi Umayyah al-Makhzumiyah. Rasulullah SAW berkahwin dengannya pada bulan Syawal tahun ke-4 Hijrah dan usia Baginda SAW ketika itu hampir 57 tahun sedangkan usia Ummu Salamah 27 tahun.
- Juwairiyah binti al-Harith. Rasulullah SAW berkahwin dengannya selepas peperangan bani Mustaliq dan usia Baginda SAW ketika itu hampir 58 tahun sedangkan isterinya berusia 15 tahun.
- Zainab binti Jahsy. Di mana Rasulullah SAW berkahwin dengannya pada awal Zulkaedah tahun ke-5 Hijrah di mana usia Rasulullah SAW hampir 58 tahun sedangkan Zainab ketika itu berusia 35 tahun.
- Raihanah binti Zaid bin Amr bin Khanaqah. Di mana Rasulullah SAW ebrkahwin denagnnya selepas perang bani Quraizah dan usia Baginda SAW antara 58-60 tahun.
- Safiyyah binti Huyay bin Akhtab. Rasulullah SAW berkahwin dengannya selepas perang Khaibar. Dikatakan usainya belum mencapai 13 tahun.
- Maimunah binti al-Harith al-Hilalilah di mana Rasulullah SAW berkahwin dengannya dan usia Baginda SAW antara 59-61 tahun sedangkan usia Maimunah ketika itu antara 26 atau 27 tahun. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dau’i al-Masadir al-Asliyyahb, hlm. 669-686)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445