#2857: Ingin Berpoligami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah Dato’ Seri nasihatkan kepada saya kerana saya ingin berpoligami, apa yang sepatutnya saya lakukan untuk menjadi lebih baik kehidupan kami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا ‎

Maksudnya: “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Kepada saudara yang ingin berpoligami, kami katakan perlulah kita mengukur kepada badan sendiri. Maksud kami, peri pentingnya kemampuan dalam jumlah dan jangka masa yang panjang untuk menunaikan nafkah zahir dan batin kerana mu’an al-nikah merupakan pra-syarat utama untuk melangsungkan perkahwinan lebih-lebih lagi berpoligami.

Antara pesanan dan nasihat kami kepada mereka yang ingin berpoligami seperti noktah berikut:

Pertama, apabila seseorang berhasrat untuk berpoligami perkara penting yang perlu diberi perhatian dan diketengahkan ialah amaran yang dinyatakan syarak jika tidak berlaku adil dalam berpoligami sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya (tidak berlaku adil), pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”

Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Keduanya, di samping keadilan, kemampuan adalah amat penting kerana tanpanya akan pincanglah cara untuk mengemudikan rumah tangga. Justeru, matlamat perkahwinan tidaklah tercapai termasuklah berpoligami.

Ketiga, sikap jujur dan amanah tidak berbohong seperti mana yang disebut dalam filem Madu Tiga adalah amat penting kerana membina rumah tangga di atas pembohongan banyak membawa kerosakan dan kebinasaan yang akhirnya boleh memusnahkan institusi perkahwinan.

Keempat, menggunakan bahasa yang baik dan lembut ketika berbicara denagn semua isteri-isterinya tanpa melebihkan antara satu sama lain. Begitu juga, mu’asyarah dengan cara yang terbaik kerana ia akan memberi kesan yang terbaik dalam hubungan rumahtangga.

Benarlah firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Kelima, hendaklah sentiasa menunjukkan akhlak yang baik kepada isteri-isterinya terutamanya menjadi contoh kepada anak-anak. Begitu juga, menyayangi anak-anak dengan sesungguh-sungguhnya.

Keenam, jangan kedekut dengan isteri-isteri juga anak-anak. Ini akan mendatangkan perasaan kurang hormat serta sangkaan-sangkaan yang tidak baik kepada suami atau ayah mereka. Sebaliknya, hendaklah bersifat pemurah dan sentiasa memberi hadiah mahu pun sebagai hibah kerana ini boleh menambahkan lagi kasih sayang dan penghormatan. Benarlah sabda Nabi SAW:

تَهَادُوْا تَحَابُّوْا

Maksudnya: “Saling menghadiahilah kalian nescaya kalian akan saling mencintai.

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594), dinilai hasan berdasarkan pengarang kitab Irwa` al-Ghalil (160)

Ketujuh, lazimi solat berjemaah bersama keluarga dan jika mempunyai kelapangan bawalah mereka semua menuju ke masjid atau surau. Hal ini boleh menambahkan lagi kasih sayang sesama mereka.

Kelapan, jangan lupa dalam menuntut ilmu dan lazimilah majlis ilmu di masjid atau surau mahu pun madrasah. Hal ini membawa kepada kebaikan kepada keluarga  termasuk anak isteri. Di samping itu boleh membawa kesedaran dan meraih ilmu serta makrifah yang menjadi pelita dan penyuluh kehidupan.

Kesembilan, segala perintah Tuhan hendaklah ditunaikan oleh suami terutamanya pembayaran zakat, menunaikan ibadat haji dan membawa isteri ke kota suci Makkah al-Mukarramah bagi menunaikan ibadat haji mahu pun umrah.

Kesepuluh, banyakkan sifat sabar dan menyabarkan diri. Ini kerana, orang yang berkahwin secara poligami ombak dan badai rumahtangganya pada kebiasaan dan ghalibnya lebih besar dari yang beristeri seorang. Justeru, perhiasan sabar inilah yang akan menyelamatkan rumahtangga mereka daripada menuju kehancuran. Ingatlah, sabar itu sebahagian daripada iman.

Kesebelas, lazimilah berdoa kepada Allah SWT bersama dengan pasangan dan isteri masing-masing serta anak-anak kerana doa merupakan otak ibadat dan senjata orang yang beriman sebagai mana nas hadith Nabi SAW.

Kami akhiri nasihat ini dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445