#2858: Hukum Berpoligami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum jika seseorang suami ingin berpoligami? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan dengan hukum poligami, ia sama seperti hukum nikah yang berkisar kepada 5 hukum, sama ada wajib, haram, sunat, harus atau makruh. Ia berdasarkan keadaan seseorang, kemampuan serta kehendaknya.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Nas ini menunjukkan keharusan berpoligami di mana seorang lelaki mengikut syariat Islam boleh berkahwin seorang atau dua atau tiga atau empat dalam satu-satu masa. Tidak harus bahkan haram melebihi daripada empat. Inilah yang dinyatakan oleh ahli tafsir dan fuqaha. Bahkan ijmak ulama tanpa sebarang khilaf dalam masalah tersebut.

Pada asasnya, hukum berpoligami itu adalah disyariatkan berdasarkan nas al-Qur’an, hadis dan ijmak ulama. Para ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa hukum asal berpoligami itu harus dan tidak boleh melebihi empat orang isteri. Antara ulama yang menukilkan ijmak adalah Ibn Kathir (lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/451), al-Qurtubi (lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 5/17), Ibn al-Munzir (lihat al-Ijma’, 80), al-Syanqiti (lihat Adwa’ al-Bayan, 1/223), al-Sa’di (lihat Taisir al-Karim, 1/164) dan selain mereka.

Ayat yang menyatakan: ‘فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً’ pula adalah jawapan yang paling tepat. Firman-Nya:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا ‎

Maksudnya: “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut tidak dapat berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)

Ibn Arabi al-Maliki menyatakan: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)

Menurut ulama’ Syafi’iyyah dan Hanabilah, disunatkan bagi seseorang lelaki tidak berkahwin lebih daripada seorang isteri jika dia tidak mempunyai sebarang keperluan mendesak. Lebih-lebih lagi jika dengan berkahwin seorang itu sudah mampu memelihara kehormatan dirinya daripada zina. Di samping dapat mengelakkan dirinya daripada terdedah kepada yang haram jika berkahwin lebih seorang, namun tidak mampu berlaku adil. Begitulah juga ulama’ Hanafiyyah, yang mengharuskan berkahwin sehingga empat jika dapat menjamin tidak berlaku zalim terhadap keempat-empatnya. Namun, jika ia tidak dapat menjaminnya, maka memadai baginya berkahwin seorang sahaja. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/220-221)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445