#2859: Mengail Ikan pada Hari Sabtu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca dalam al-Quran berkenaan ashab al-Sabt, di mana kaum Yahudi dilarang daripada memburu ikan pada hari Sabtu sebagai ujian buat mereka. Tetapi mereka tidak sabar dan melanggar batasan tersebut dan sebagai balasannya mereka menjadi kera. Soalan saya, adakah kita juga dilarang atau makruh mengail ikan pada hari Sabtu? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas mengenai siapakah Ashab al-Sabt (أصحاب السبت) dan kisah mereka. Dinyatakan dalam Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (8/74) bahawa Syeikh ‘Atiyyah Saqr pernah ditanya berkenaan hal ini dan beliau menjawab, Allah SWT berfirman tentang kaum Yahudi:

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنكُمْ فِي السَّبْتِ فَقُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina.’

(Surah al-Baqarah: 65)

Allah SWT melarang mereka daripada memburu ikan pada hari Sabtu sebagai suatu hukuman dan ujian buat mereka. Namun, pada hari Sabtu, jumlah ikan sangat banyak, sehingga mereka tidak berjaya sabar atau tahan untuk menghadapi ujian tersebut. Oleh itu, mereka telah melakukan helah dengan menghalang dan menahan ikan-ikan itu hingga hari tersebut berakhir, kemudian mereka menangkapnya setelah itu.

Allah SWT juga ada berfirman:

وَاسْأَلْهُمْ عَنِ الْقَرْيَةِ الَّتِي كَانَتْ حَاضِرَةَ الْبَحْرِ إِذْ يَعْدُونَ فِي السَّبْتِ إِذْ تَأْتِيهِمْ حِيتَانُهُمْ يَوْمَ سَبْتِهِمْ شُرَّعًا وَيَوْمَ لَا يَسْبِتُونَ ۙ لَا تَأْتِيهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ نَبْلُوهُم بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Maksudnya: “Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.

(Surah al-A‘raf: 163)

Allah SWT telah mengubah orang-orang yang melanggar batasan itu menjadi kera dan babi. Dalam erti kata lain, menjadikan akhlak dan perangai mereka seperti perangai kera dan babi. Namun, ada yang berpendapat, Allah menjadikan mereka berubah bentuk menjadi kera dan babi. Dan ada juga yang berpendapat bahawa Allah membinasakan mereka setelah itu agar mereka tidak berkembang biak. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa mereka tetap hidup dan berkembang biak. Penjelasan yang lebih lanjut mengenai perkara ini dapat ditemukan dalam tempat lain dalam fatwa ini.

Seterusnya, para ulama berbeza pendapat mengenai al-Qaryah (bandar/tempat) berlakunya kisah ini. Ada yang berpendapat bahawa ia terjadi di Aylah (آيلة – Aqaba) atau di Madyan yang terletak di antara Aylah dan al-Tur (الطور – El Tor). Ada juga yang berpendapat, ia berlaku di Tabariyyah (طبرية – Tiberias). Dan ada juga yang berpendapat, ia terjadi di pesisir Syam. Sekalipun begitu, hal tersebut tidak terlalu penting.

Selanjutnya, para mufassir menyebutkan bahawa kisah ini terjadi pada zaman Nabi Daud AS. Iblis telah membisikan kepada mereka untuk melanggar larangan menangkap ikan pada hari Sabtu dengan berkata: “Sesungguhnya yang dilarang kepada kamu untuk menangkapnya pada hari Sabtu, maka lakukanlah helah.” Maka mereka mengumpulkan ikan-ikan pada hari Jumaat, lalu ikan-ikan tersebut tetap berada di situ dan tidak dapat keluar dari tempat yang dikumpulkan itu disebabkan kurangnya air. Kemudian mereka menangkapnya pada hari Ahad. Dengan helah tersebut, jumlah ikan yang ditangkap menjadi banyak.

Kemudian orang ramai menyangka bahawa orang yang melakukan perbuatan ini tidak akan diuji, sehingga pasar-pasar menjadi meriah dengan ikan yang banyak, dan orang yang melanggar hukum tersebut mengumumkan penangkapan ikan-ikan secara terang-terangan. Maka timbulah satu kelompok daripada Bani Israel yang menegur dan menjelaskan larangan ini serta meninggalkan perbuatan tersebut. Dikatakan bahawa Bani Israel terpecah kepada tiga kelompok. Satu kelompok terus melakukan maksiat (melanggar larangan itu) dan tetap memburu ikan (dengan cara itu), dan mereka berjumlah sekitar tujuh puluh ribu. Satu kelompok lagi melarang dan meninggalkan perbuatan tersebut, mereka berjumlah dua belas ribu. Manakala satu kelompok lagi (kelompok ketiga) meninggalkan perbuatan itu tanpa melarangnya mahupun menegurnya, dan kelompok ini berkata kepada kelompok yang melarang sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا ۖ قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?’ Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: ‘(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa.’

(Surah al-A‘raf: 164)

Kemudian, Syeikh ‘Atiyyah Saqr mengakhiri jawapannya dengan menyebutkan, cukuplah sekadar ini sebagai jawapan bagi persoalan ini, dan dinyatakan dalam kitab-kitab tafsir dengan lebih panjang dan terperinci bagi sesiapa yang mahu mengetahuinya dengan lebih lanjut. Apa yang lebih penting, kita hendaklah mengambil pengajaran daripada kisah ini dengan tidak melakukan maksiat kepada Allah dengan meninggalkan perintah-perintah-Nya dan tidak berdiam diri mengenai larangan terhadap perbuatan mungkar, agar kita tidak ditimpa dengan balasan seperti yang ditimpakan kepada orang-orang yang menderhakai-Nya. Allah SWT berfirman mengenai kisah ini:

فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهَا وَمَا خَلْفَهَا وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 66)

Begitu juga firman Allah SWT:

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ أَنجَيْنَا الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُوا بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ (165)‎ فَلَمَّا عَتَوْا عَن مَّا نُهُوا عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Maksudnya: “Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka) (165). Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina.’

(Surah al-A‘raf: 165-166)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami menyimpulkan bahawa dibolehkan untuk memburu mahupun menangkap ikan pada mana-mana hari dalam seminggu, tidak kira hari Sabtu, Jumaat, Ahad ataupun hari-hari yang lain. Begitu juga tidak makruh hukumnya menangkap ikan pada hari Sabtu. Sesungguhnya diharamkan menangkap ikan pada hari Sabtu hanya dalam syariat Bani Israel sebelum kita, dan tidak ada larangan dalam syariat kita yang melarang daripada memburu atau menangkap ikan  pada mana-mana hari — termasuklah hari Sabtu. Ini juga adalah sebagaimana jawapan yang dikemukakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka diajukan dengan soalan yang sama.[1]

Justeru, jelaslah bahawa larangan menangkap pada hari Sabtu adalah syariat Bani Israel, maka ia termasuk dalam “Syar‘u man qablana” (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا). Dr. Ali al-Namlah mendefinisikannya sebagai apa-apa yang dinukilkan kepada kita daripada hukum-hukum syariat orang terdahulu yang ditaklifkan dengannya yang ia disyariatkan oleh Allah SWT. (Lihat al-Muhazzab fi ‘Ilm Usul al-Fiqh al-Muqaran, 2/972). Manakala al-Sulami pula mentakrifkannya sebagai apa-apa yang dinukilkan kepada kita dengan jalan yang sahih daripada syariat-syariat agama samawi yang terdahulu. (Lihat Usul al-Fiqh allazi La Yasa‘u al-Faqih Jahlahu, hlm. 189)

Ringkasnya, apa yang dinukilkan kepada kita dalam al-Quran dan al-Sunnah daripada syariat-syariat para Nabi yang terdahulu boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

  1. Apa yang dinyatakan oleh Allah SWT mahupun Rasulullah SAW mengenainya, tetapi terdapat dalam syariat kita apa yang membatalkannya. Maka, dalam hal ini, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa ia tidak menjadi hujah.
  2. Apa yang dinyatakan oleh Allah SWT mengenainya dan terdapat dalam syariat kita apa yang menguatkannya (menyokongnya). Maka, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa ia turut disyariatkan kepada kita. Akan tetapi dalil yang mensabitkannya adalah sebagaimana yang terdapat dalam syariat kita dan bukannya yang terdapat dalam syariat para Nabi yang terdahulu.
  3. Apa yang dinukilkan kepada kita daripada syariat para Nabi yang terdahulu tetapi tidak ada dalam syariat kita yang menunjukkan bahawa ia turut disyariatkan mahupun telah dibatalkan (dimansuhkan). Maka, dalam hal ini para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukumnya. Ada yang berpendapat ia menjadi hujah dan turut disyariatkan kepada kita dan ini merupakan pendapat Hanafiyyah, Hanabilah, sebahagian Malikiyyah dan sebahagian Syafi‘iyyah. Namun, ada juga yang berpendapat, ia tidak menjadi hujah dan tidak disyariatkan kepada kita. Ini kerana syariat para Nabi terdahulu adalah khusus buat kaum mereka. Sedangkan Islam telah memansuhkan syariat-syariat para Nabi terdahulu melainkan apa yang diperakui sebagai syariat kita. Ini adalah salah satu pendapat Syafi‘iyyah. (Lihat Usul al-Fiqh allazi La Yasa‘u al-Faqih Jahlahu, hlm. 189-192; lihat juga al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, 1/275-277).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question1.aspx?QuestionId=1301. Diakses pada 21 Ogos 2023.

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445