#2860: Membuat Orang Stress

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum menyebabkan orang stress? Saya ada melihat ramai orang yang kedatangannya ke dalam satu-satu majlis menyebabkan orang lain boleh stress. Inilah persoalan saya.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Stress

Menurut Kamus Dewan Edisi ke 4, stress ialah keadaan cemas, tegang disebabkan tekanan mental dan fizikal.

Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi. Terdapat pelbagai cara dalam menangani masalah stress ini:

  • Bertenang
  • Bernafas Dengan Dalam
  • Berkata `Rilakslah’/ Tidak Mengapa
  • Beribadat
  • Bercakap Dengan Seseorang
  • Berurut
  • Berehat
  • Beriadah
  • Bersenam

 Berfikiran Positif (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]

 

Berkenaan isu stress, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#666: Sentiasa Berfikir Kematian[2]

#1606: Punca Konflik Rumahtangga[3]

#1683: Isteri Meminta Cerai Kerana Suami Sering Berbuat Dosa[4]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebagai seorang Muslim, kita mestilah menjaga hubungan sesama makhluk, bukan hanya menjaga hubungan dengan Allah SWT. Firman Allah SWT:

ضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَیۡنَ مَا ثُقِفُوۤا۟ إِلَّا بِحَبۡلࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلࣲ مِّنَ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia.

(Surah Ali ‘Imran: 112)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.

Riwayat Al-Bukhari (6484)

Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :

وَالْمُرَادُ بِهَذَا الْحَدِيثِ الْحَضُّ عَلَى تَرْكِ أَذَى الْمُسْلِمِينَ بِاللِّسَانِ وَالْيَدِ وَالْأَذَى كُلِّهِ

Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan, dan juga semua yang menyakitkan. (Lihat Syarah Sahih Al-Bukhari, 1/62)

Justeru itu, kami nyatakan jagalah hubungan sesama manusia dengan baik. Kadangkala dengan lidah, ia lebih menyakitkan dari mata pedang. Melalui kata-kata yang tidak baik juga, ia menyebabkan permusuhan, penindasan, perpecahan kekeluargaan, penceraian, dendam, sihir dan sebagainya. Oleh itu, sebaiknya kita menjaga tutur kata atau tindakan kita agar tidak menyakiti hati orang lain. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

 وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

Riwayat al-Bukhari (6018)

Kami juga mengambil kesempatan untuk menitipkan sebuah doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya yang bernama Abu Umamah al-Bahili apabila beliau stress dan runsing dengan hutang yang banyak:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Wallahu a’lam

 

[1] http://www.myhealth.gov.my/cara-mengawal-stres/

 [2] https://maktabahalbakri.com/sentiasa-berfikir-kematian/

[3] https://maktabahalbakri.com/1606-punca-konflik-rumahtangga/

[4] https://maktabahalbakri.com/1683-isteri-meminta-cerai-kerana-suami-sering-berbuat-dosa/

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445