#2863: Hadith Terdengar Bunyi Loceng Ketika Turunnya Wahyu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah terbaca bahawa terkadang wahyu turun kepada Nabi SAW seperti bunyi loceng. Sedangkan dalam sebuah hadith lain, disebut bahawa para malaikat tidak akan menyertai kafilah yang ada di dalamnya anjing atau loceng. Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu hadith berkenaan dengan persoalan di atas. Diriwayatkan bahawa al-Harith Ibn Hisyam R.A bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, bagaimana wahyu datang kepada anda?” Lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَحْيَانًا يَأْتِينِي مِثْلَ صَلْصَلَةِ الْجَرَسِ ـ وَهُوَ أَشَدُّهُ عَلَىَّ ـ فَيُفْصَمُ عَنِّي وَقَدْ وَعَيْتُ عَنْهُ مَا قَالَ.

Maksudnya: “Kadang-kadang wahyu datang kepadaku seperti gemerincing loceng, dan cara ini amat sukar dan paling berat bagiku. Lalu ia terputus dariku sementara aku telah menyerap apa yang dikatakannya.”

Riwayat al-Bukhari (2) dan Muslim (2333)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Salsalah (صَلْصَلَةِ) bermaksud suara yang dihasilkan daripada benturan antara besi. Kemudian lafaz tersebut dinisbatkan kepada semua suara yang menimbulkan dengung yang halus. Manakala al-jaras (الْجَرَسِ) adalah loceng kecil atau kerincingan yang digantungkan pada kepala haiwan.

Al-Karmani berkata: Bahawa al-jaras (الْجَرَسِ) adalah seperti loceng kecil yang di dalamnya ada potongan kuning dan digantung di leher unta. Apabila unta itu bergerak, maka loceng itu akan berbunyi. Ada juga yang mengatakan bahawa Salsalah (صَلْصَلَةِ) adalah suara malaikat ketika menyampaikan wahyu, atau suara sayap malaikat. (Lihat Fath al-Bari, 1/22)

Yang dimaksudkan dengan perkataan Rasulullah SAW, ‘seperti gemerincing loceng’ adalah perumpamaan dan tamsilan, dan ia bukanlah yang sebenarnya.

Ibn Abd al-Bar berkata: “Adapun perkataan Rasul di dalam hadith ini, ‘gemerincing loceng,’ maka sesungguhnya yang Baginda maksudkan adalah seperti bunyi loceng. Al-Salsalah (الصَّلْصَلَة) (gemerincing) adalah bunyi.” (Lihat al-Tamhid, 22/113)

Rasulullah SAW memberitahu dalam hadith ini bahawa turunnya malaikat kepada Baginda itu di dalam batin (iaitu, malaikat tidak menampakkan diri), dengan suara seperti gemerincing loceng.

Disebutkan juga di dalam hadith riwayat Umar R.A, dalam menggambarkan apa yang terdengar berhampiran Nabi SAW, katanya:

 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الْوَحْىُ سُمِعَ عِنْدَ وَجْهِهِ كَدَوِيِّ النَّحْلِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila turun wahyu kepada Baginda, terdengar di dekat Baginda suara berdengung seperti dengungan suara lebah.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1439) dan Ahmad (223). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Umar mengumpamakan dengan dengungan suara lebah dilihat dari sisi orang-orang yang mendengarnya. Manakala Rasulullah SAW mengumpamakannya dengan gemerincing loceng dilihat dari sisi Baginda sendiri.” (Lihat Fath al-Bari, 1/19)

Apabila hal ini telah dapat ditetapkan, maka tidak ada percanggahan atau pertentangan antara hadith di atas dengan sabda Baginda SAW:

لاَ تَصْحَبُ الْمَلاَئِكَةُ رُفْقَةً فِيهَا كَلْبٌ وَلاَ جَرَسٌ

Maksudnya: “Malaikat tidak akan menemani suatu rombongan yang ada di dalamnya anjing atau loceng.”

Riwayat Muslim (2113), Abu Daud (2555), al-Tirmizi (1703), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (8810) dan Ahmad (10161)

Berkenaan hadith ini, al-’Aini menukilkan pandangan Imam al-Nawawi dan selainnya menyatakan bahawa jumhur ulama berpendapat makruh tanzih, dan sebahagian yang lain menyebut makruh tahrim. Selain itu, menurut sebahagian pendapat, dilarang memakaikan loceng pada haiwan sekiranya tidak ada keperluan dan hajat, dan diharuskan sekiranya ada keperluan dan hajat. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 14/253; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/95)

Justeru, dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan loceng di dalam hadith ini adalah loceng yang sebenarnya. Sedangkan hadith sebelumnya, yang dimaksudkan hanyalah perumpamaan dan tamsilan.

Al-Suyuti berkata: “Kalau dikatakan, bagaimana boleh sesuatu yang terpuji diumpamakan dengan sesuatu yang tercela, kerana suara loceng itu tercela berdasarkan kesahihan larangan dan pemberitahuan bahawasanya malaikat tidak menemani suatu rombongan yang di dalamnya ada loceng?

Jawapannya adalah bahawa dalam tasybih (tamsilan/perumpamaan), tidak mesti ada persamaan antara yang dipersamakan dengan apa yang diserupai dalam seluruh sifat-sifatnya. Akan tetapi, cukup persamaan antara keduanya dalam salah satu sifat sahaja. Yang dimaksudnya di sini adalah penjelasan inderawi (الحس). Sehingga disebutkanlah apa yang biasa didengar oleh para pendengar untuk mendekatkan kepada pemahaman mereka.” (Lihat Syarh al-Suyuti li Sunan al-Nasa’ie, 2/146)

Penutup

Sesungguhnya, wahyu Allah SWT amatlah berat sehingga benar-benar menjadi taklif kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

 إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Maksudnya: “(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).”

(Surah al-Muzzammil: 5)

Jelas menunjukkan kepada kita wahyu yang diterima oleh rasulullah SAW daripada Allah SWT dalam pelbagai cara, termasuklah seperti atau seumpama bunyi loceng. Adapun jawpaan berkenaan dengan Rasulullah SAW tidak suka kepada loceng bersandarkan kepada malaikat tidak menemani rombongan tersebut jika terdapat anjing atau loceng, memberi maksud wujudnya tasyabbuh dengan cara sebahagian agama memanggil dan menyeru penganutnya untuk beribadat.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445