#2865: Beberapa Jawapan Terhadap Syubhah Poligami

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sedikit kaku dan terbungkam apabila terdapat golongan yang menghujahkan beberapa syubhah terkait dengan poligami sehingga membawa kepada buruknya berpoligami dan salahnya Islam dalam isu poligami.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami nyatakan pertamanya firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Islam sifatnya menyeluruh bermula dari kehidupan peribadi, berkeluarga, bermasyarakat, berjiran, hinggalah kepada bernegara. Di mana Islam dan syariah ada pengisiannya. Ia bukan semata-mata sifat dan waktu yang tertentu sahaja tetapi menyeluruh yang dikenali sebagai al-Din. Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

(Surah Ali ‘Imran: 19)

Islam agama yang lengkap dan setiap taklifan syaraknya mempunyai asbab yang tersendiri serta penuh dengan maslahat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan terlalu banyak salah faham berkenaan dengan poligami dan lebih parah daripada itu dia menafikan hukum yang telah ditetapkan dan dinaskan. Justeru, dalam ruangan yang terhad ini, kami akan kemukakan beberapa persoalan utama dan jawapannya, antaranya:

Pertama, kadang-kadang mereka menuding bahawa Islam agama yang zalim dan menindas hak wanita kerana lelaki berhak kahwin empat sedangkan wanita tidak dibenarkan. Dalam menjawab persoalan di atas, sewajarnya kita membaca sejarah kerana terbukti umat-umat terdahulu telah berkahwin lebih daripada seorang termasuk para nabi seperti Nabi Allah Sulaiman AS (dikatakan isterinya seramai 100 orang), Nabi Allah Dawud AS (dikatakan isterinya seramai 99 orang) dan lain-lain lagi.

Bahkan, zaman sebelum Rasulullah SAW ada lelaki-lelaki yang memeluk isteri sedangkan mereka mempunyai 10 orang isteri, 8 orang isteri, 5 orang isteri dan lain-lain lagi. Lantas, Islam mengehadkan supaya mengekalkan 4 orang sahaja.

Daripada Ibn Syihabh, katanya: Telah sampai khabar kepadaku bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang lelaki daripada suku Thaqif yang masuk Islam, sedangkan ketika itu dia mempunyai sepuluh orang isteri:

أَمْسِكْ مِنْهُنَّ أَرْبَعًا وَفَارِقْ سَائِرَهُنَّ ‏

Maksudnya: “Pilihlah empat orang (daripada isteri-isterimu), dan ceraikanlah dengan yang lain.”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/586), al-Tahawi dalam Syarh Ma’ani al-Athar (5252) dan al-Baihaqi (14425)

Ini kerana, Islam melihat kemampuan lelaki-lelaki apabila bersama dengan isterinya di samping mahu kan keadilan untuk isteri-isterinya dengan diberikan hak masing-masing.

Kedua, begitu juga dikatakan bahawa dengan poligami wujudnya banyak permusuhan antara isteri-isteri yang membawa mudarat dan kemudaratan hendaklah dihilangkan. Caranya adalah menghalang poligami.

Dalam menjawab persoalan ini, perbalahan kekeluargaan juga boleh berlaku jika mempunyai seorang isteri dan boleh  jadi tidak berlaku bagi mereka yang mempunyai banyak isteri. Justeru, kami katakan kita lihat lebih banyak kebaikan dan mentarjihkannya berbanding dengan lebih banyak keburukan. Inilah qanun yang diambil berdasarkan pemerhatian tentang keharusan poligami.

Ketiga, antara soalan yang ditimbulkan juga, kalau kamu mengharuskan poligami bagi lelaki kenapa kamu tidak mengharuskan poligami bagi wanita? Dengan makna yang lain, perempuan juag berhak untuk berkahwin lebih daripada satu. Kami katakan, untuk mejawab persoalan di atas, jika perempuan dibenarkan hak berpoligami, maka ia meruntuhkan kemuliaan wanita itu sendiri.

Begitu juga, menghilangkan nasab keturunan anaknya. Ini kerana, wanita adalah tempat simpan baka keturunan manusia. Justeru, tidak harus bercampurnya air mani dari beberapa lelaki dan banyak mudarat dengan memutuskan ikatan kebapaan bersama anak. Hal ini menyebabkan tidak harus dalam Islam kerana ia tidak memberi maslahat kepada wanita tersebut, anak serta masyarakat. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 6/290)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445