#2871: Isu Gopoh Dalam Belajar Ilmu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara belajar sebenarnya, sebab saya tengok ada orang yang belajar beberapa bulan sudah berani mencabar ulama dan memberi fatwa? Apa nasihat Dato’ Seri?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW sebagai mana riwayat Ummu Salamah ynag Nabi SAW selalu baca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)

Doa ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ummi Salamah, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila Baginda solat Subuh, ketika memberi salam, Baginda membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925)

Dalam hadith yang lain, Nabi SAW jelas menyuruh kita memohon kepada Allah SWT agar diberikan ilmu yang bermanfaat. Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

سَلُوا اللَّهَ عِلْمًا نَافِعًا، وَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ

Maksudnya: “Mohonlah kamu semua kepada Allah akan ilmu yang bermanfaat dan berlindunglah dengan Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

Riwayat Ibn Majah (3843), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3/276), Ibn Abi Syaibah (27248) dan Abu Ya’la (1927)

Al-Hasan al-Basri berkata: “Ilmu ada dua; ilmu di lisan dan ilmu di hati. Ilmu di hati adalah ilmu yang bermanfaat, sedangkan ilmu di lisan adalah hujah Allah SWT atas anak Adam.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 13/235)

Manakala maksud rezeki yang baik adalah rezeki yang halal sepertimana disebut oleh Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani. (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 129)

Terdapat banyak nas yang menunjukkan kelebihan ilmu, kami hanya mengambil satu sahaja setiap sumber.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

(Surah al-Taubah: 122)

Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran,  2/601)

Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan asas tentang wajibnya menuntut ilmu. Kerana tidak seharusnya orang beriman itu pergi ke medan perang kesemuanya, sedangkan Nabi SAW tidak, sehingga mereka meninggalkan Baginda sendiri. Mereka membatalkan keinginan mereka setelah mengetahui tidak dibolehkan pergi secara keseluruhan. Beberapa orang daripada tiap-tiap golongan perlu tetap tinggal bersama Nabi SAW untuk mempelajari agama. Sehingga apabila orang-orang yang pergi berperang itu telah kembali, mereka dapat mengkhabarkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan mereka. Dalam ayat ini juga terdapat kewajiban untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Dan kewajiban tersebut adalah kewajiban kifayah dan bukan wajib ‘ain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/293)

Al-Alusi menjelaskan: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar’ (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding ‘memberi peringatan’ (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding ‘berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)

Syeikh al-Sa’di pula menjelaskan bahawa Allah SWT menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 355)

Al-Maraghi menyebut dalam Tafsir-nya: Mengapa tidak ada sebahagian sahaja atau sekelompok kecil sahaja yang keluar bertempur dari setiap golongan besar orang mukmin seperti penduduk suatu negeri atau suatu suku, dengan maksud supaya orang mukmin keseluruhannya dapat mendalami agama mereka. Iaitu dengan cara orang yang tidak berangkat dan tinggal di kota Madinah, berusaha keras untuk memahami pengajaran agama yang wahyu-Nya diturunkan kepada nabi SAW sehari demi sehari dalam bentuk ayat-ayat, mahupun hadis-hadis daripada baginda yang menerangkan ayat-ayat tersebut, sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Maka menjadi jelas perkara yang masih mujmal dengan (melihat) kepada perbuatan Nabi. Di samping itu, orang yang mendalami agama dapat memberi peringatan kepada kaumnya yang keluar berperang ketika menghadapi musuh apabila mereka telah kembali ke dalam kota.”

Syeikh al-Maraghi turut berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47)

Menurut Syeikh al-Maraghi lagi, ayat ini menjelaskan hukum mendalami (tafaqquh) ilmu agama kerana ia merupakan jalan kepada jihad dengan hujjah dan dalil. Ia adalah rukun dalam berdakwah kepada iman dan menegakkan prinsip-prinsip Islam. Kerana itu, jihad perang tidak disyariatkan kecuali bagi memelihara dakwah Islam daripada dipermain-mainkan oleh golongan yang melampau daripada kalangan orang kafir dan munafik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/47) Justeru dapat difahami bahawa ayat ini menjelaskan bahawa mendalami ilmu agama sehingga menjadi alim atau faqih merupakan fardu kifayah kepada sebahagian umat Islam. Tidak seharusnya seluruh umat Islam dikerah untuk berjihad sehingga tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjadi faqih atau alim dalam permasalahan agama.

Betapa belajar ilmu perlu mengambil masa yang panjang dan lama sebagaimana nasihat Imam al-Syafi’i Rahimahullah:

أَخِي لَنْ تَنَالَ الْعِلْمَ إِلَّا بِسِتَّةٍ                        سَأُنَيْكَ عَنْ تَفْصِيْلِهَا بِبَيَانِ

ذَكَاءٌ وَحِرْصُ وَاجْتِهَادٌ وَبُلْغَةٌ                       وَإِرْشَادُ أُسْتَاذِ وَطُولُ زَمَانِ

Saudaraku, kamu tidak memperolehi ilmu kecuali dengan enam

             Aku khabarkan kepadamu secara tafsil dan nyata

Cerdik, loba, bersungguh, berkehendak,

            Mendapat bimbingan ustaz dan panjang tempohnya

(Dinukilkan dari kitab Majma’ al-Adab fi Mu’jam al-Alqab oleh Ibn al-Futi al-Syaibani, 2/125; Lihat juga al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 1/272; dan Wafayat al-A’yan, 7/168)

Pesanan ini jelas menunjukkan perlunya masa yang lama dalam mengkaji dan menggali ilmu. Dengan sebab itu, ia akan menjadi matang dan benar-benar memberi manfaat. Kami bahaskan panjang lebar dalam buku kami Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu  berkenaan syarat menuntut ilmu dari halaman 65-91.

Yang paling bahaya apabila dengan sedikit ilmu dia telah berani dan begitu cepat menjawab persoalan yang besar-besar tanpa mempunyai asas dan ilmu yang cukup. Saya teringat jawapan dari mufakkir Islami, Syeikh Muhammad al-Ghazali, katanya, “Seorang itu bertaubat pada hari Sabtu, dia mula menyimpan janggut dan memendekkan bajunya pada hari Ahad. Dia membaca beberapa kitab-kitab yang kecil pada hari Isnin. Kemudian, dia mula mengkafir, membid’ahkan ummah dan para ulama pada hari Selasa.”

Satu nasihat yang mendalam agar jangan tergopoh-gapah sekali pun kita memiliki ilmu kerana inilah yang diajar oleh salafussoleh dan para ulama kami.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445