Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang maksud hadith: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat?”
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Hadith tersebut merupakan sebahagian daripada potongan hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan selainnya. Kami kemukakan terlebih dahulu lafaz hadith tersebut.
Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”
Riwayat al-Bukhari (3461) dan al-Tirmizi (2669)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Al-Mu’afi al-Nahrawani berkata dalam kitabnya al-Jalis: Ayat (آيَةً) dalam bahasa Arab digunakan dalam tiga makna, iaitu:
Pertama: Tanda-tanda yang agung
Hal ini sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah SWT:
آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ إِلَّا رَمْزًا ۗ
Maksudnya: “Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja.”
(Surah Ali ‘Imran: 41)
Kedua: Mukjizat atau keajaiban yang berlaku
Ini seperti yang terdapat dalam firman Allah SWT:
إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah).”
(Surah Ali Imran: 49; Surah Hud: 103; Surah al-Hijr: 77; Surah al-Nahl: 11 65, 67, 68; al-Syu’ara’: 8)
Ketiga: Musibah yang menimpa
Hal ini seperti dalam kalimat:
جَعَلَ الْأَمِيْرُ فُلَانًا الْيَوْم آيَة
Maksudnya: “Pemimpin itu menimpakan musibah kepada si fulan pada hari ini.”
Ketiga-tiga makna ini disebut sebagai ayat (آيَةً) kerana mengandungi makna petunjuk, pemisahan dan penjelasan.
Manakala dalam hadith di atas, disebut ‘وَلَوْ آيَةً’ (walaupun satu ayat), yakni hendaklah setiap yang mendengar segera menyampaikan ayat yang didapatkan atau didengarnya meskipun sedikit, agar semua yang datang dari Nabi SAW dapat dinukil.” Demikian perkataan al-Mu’afi. (Lihat Fath al-Bari, 17/660)
Selain itu, makna hadith di atas juga adalah bahawa seorang Muslim dituntut untuk menyampaikan ayat al-Quran dan al-Sunnah yang telah sampai kepadanya, kepadanya orang lain yang belum mengetahuinya.
Hal ini sepertimana dijelaskan oleh al-Mubarakfuri, bahawa lafaz hadith ‘بَلِّغُوا عَنِّي’ (Sampaikanlah daripadaku) bermaksud sampaikanlah walaupun satu ayat pendek daripada al-Quran. Al-Quran datang dari sisi Allah dan disampaikan oleh Rasulullah SAW. Perintah dalam hadith ini terlebih lagi mencakupi juga perintah untuk menyampaikan hadith-hadith Nabi SAW.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/360)
Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan ‘آيَةً’ dalam hadith di atas sebagai perkataan yang bermanfaat. Hal ini sepertimana makna yang terkandung dalam hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَمَتَ نَجَا
Maksudnya: “Sesiapa yang diam, maka dia akan selamat.”
Riwayat al-Tirmizi (2501) dan Ahmad (6481). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij musnad Ahmad (9/1960).
Dan hadith daripada Tamim al-Dari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ
Maksudnya: “Agama itu adalah nasihat.”
Riwayat Muslim (55)
Justeru, berdasarkan hal ini, ditafsirkan makna hadith tersebut adalah, “Sampaikanlah hadith-hadith daripadaku walaupun sedikit.”
Namun yang kuat adalah pentafsiran yang pertama, seperti yang dikuatkan oleh al-Mubarakfuri.
Penutup
Kewajipan menyampaikan agama Allah SWT adalah penting dan utama bagi para ulama dan pendakwah yang mempunyai ilmu. Begitu juga, kepada semua orang teramsuk ibu bapa, rakan taulan untuk meyampaikan ilmu kepada khalayak masyarakat. Justeru, hadith yang dibincangkan di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW mahu setiap kita menjadi pendakwah walaupun sedikit tetapi diasaskan dengan ilmu dan pengetahuan. Tanpanya, maka sia-sialah dakwah yang ingin disampaikan bahkan baki kejahatan yang akan menguasai ummah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445