Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar manusia akan jadi baik bersyaratkan orang-orang kemudian dapat belajar dengan yang terdahulu, benarkah begitu?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
(Surah al-Taubah: 122)
Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)
Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan asas tentang wajibnya menuntut ilmu. Kerana tidak seharusnya orang beriman itu pergi ke medan perang kesemuanya, sedangkan Nabi SAW tidak, sehingga mereka meninggalkan Baginda sendiri. Mereka membatalkan keinginan mereka setelah mengetahui tidak dibolehkan pergi secara keseluruhan. Beberapa orang daripada tiap-tiap golongan perlu tetap tinggal bersama Nabi SAW untuk mempelajari agama. Sehingga apabila orang-orang yang pergi berperang itu telah kembali, mereka dapat mengkhabarkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan mereka. Dalam ayat ini juga terdapat kewajiban untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Dan kewajiban tersebut adalah kewajiban kifayah dan bukan wajib ‘ain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/293)
Al-Alusi menjelaskan: “Hakikatnya, penggunaan ‘untuk mengajar’ (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding ‘memberi peringatan’ (لِيُنذِرُوا) dan ‘supaya mereka faqih’ (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding ‘berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah’ (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)
Syeikh al-Sa’di pula menjelaskan bahawa Allah SWT menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 355)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar apa yang dinyatakan oleh saudara. Hal ini berdasarkan kenyataan sahabat Nabi SAW yang bernama Salman RA, di mana beliau berkata:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا بَقِيَ الْأَوَّلُ حَتَّى يَتَعَلَّمَ الْآخِرُ ، فَإِذَا هَلَكَ الْأَوَّلُ قَبْلَ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْآخِرُ ، هَلَكَ النَّاسُ
Maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.”
Riwayat al-Darimi di dalam Musnadnya (255)
Pernah ditanya kepada Sa`id bin Jubair RA: “Apakah tanda binasanya manusia?” Jawabnya: “Apabila para ulama mereka meninggal dunia.”
Daripada kenyataan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya ilmu dan juga pelajar yang menuntut ilmu. Justeru, janganlah kita berasa bosan dan lemah daripada meraih dan mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445