#2875: Guru Dengan Pelajar Yang Lemah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang guru mengajar pelajar yang lemah di kelas hujung. Ada atau tidak tips dalam menangani pelajar yang lemah berdasarkan kisah para ulama?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sesungguhnya, guru merupakan pelita kepada ummah. Mereka adalah pewaris para nabi iaitu para ulama yang mendidik dan mengasuh anak bangsa tanpa mengenal penat lelah dan putus asa. Sejarah membuktikan salafussoleh sehingga kini para ulama mendidik ummah dan generasi mereka dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Beberapa buku yang kami syorkan untuk memberi semangat kepada kita dalam mendidik anak bangsa dan ummah, antaranya:

  • Safahat ‘an Sabri al-Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abdul Ghaddah
  • Ma’alim al-Irsyadiyah li Sinaati Talibi al-Ilmi oleh Syeikh Muhammad Awwamah
  • Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu hasil karya kami

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada buku kami di bawah tajuk:

Untuk Perhatian Syeikh (Guru) bagi Menangani Pelajar yang Lemah

Adakalanya daya kesabaran Syeikh menjadikan pelajarnya yang lemah itu cerdik dan bijak. Dalam kitab Tabaqat al-Syafieyyah oleh Imam Tajuddin al-Subki, ketika menterjemahkan riwayat hidup al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, salah seorang periwayat dalam Mazhab al-Syafie, dikatakan beliau amat lambat dalam kefahaman sehingga Imam al-Syafie pernah mengulangi hampir 40 kali hanya dalam satu masalah tetapi masih tidak faham. Dia bangkit daripada majlis dalam keadaan malu.

Imam al-Syafie memanggilnya supaya datang seorang diri dan mengulang lagi sehingga dia faham. Itulah kesabaran Imam al-Syafie dan beliau  pernah memujinya, “Betapa aku amat mengasihimu bagi diriku.” Beliau juga berkata, “Tiada seorang yang pernah berkhidmat kepadaku lebih baik daripada al-Rabi’.” Beliau menambah, “Wahai al-Rabi’! Kalau aku boleh beri makan ilmu kepadamu, nescaya aku akan lakukan.”  (Lihat Tabaqat al-Syafieyyah, 2/134)

Justeru amat layaklah Imam Al-Syafie menjadi contoh terbaik kepada mana-mana guru.

Sesungguhnya kelebihan manusia adalah tidak sama. Perlu kita ingat, bahawa ilmu merupakan kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Justeru, ilmu dinisbahkan kepada-Nya. Lihatnya ucapan para Malaikat yang sewajarnya kita fahami dan hayati:

قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ ‎

Maksudnya: Malaikat itu menjawab: Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Baqarah: 32)

Al-Maraghi menyebut berkenaan ayat ini: “Malaikat pun berkata, “Kami menyucikan-Mu daripada segala perkara yang tidak patut bagi-Mu seperti kekurangan ilmu, sehingga menyebabkan Engkau mencipta khalifah secara sia-sia, tanpa hikmah dan faedah. Begitu juga Engkau pun bertanya kepada kami sesuatu yang tidak kami ketahui padahal Engkau mengetahui bahawa ilmu kami tidak meliputinya dan kami tidak mampu untuk menerangkannya.” Perkara ini merupakan pengakuan malaikat tentang kelemahan mereka semasa menghadapi setiap persoalan yang diajukan kepada mereka.”

Mereka para Malaikat mengakui bahawa mereka tidak mempunyai suatu ilmu, kecuali apa yang telah Allah ajarkan kepada mereka sesuai dengan tahap persediaan mereka. Jika Malaikat memang mempunyai persediaan menerima dengan lebih banyak daripada ini, nescaya Allah akan melimpahkan kepada para malaikat.

Antara cara kita mengasuh kecerdikan adalah dengan kita sentiasa:

  • Banyak membaca
  • Banyak berbincang
  • Banyak bermuzakarah
  • Banyak berfikir
  • Sentiasa muhasabah
  • Bergaul dengan orang yang
  • Banyak tadabbur al-Quran.

(Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 80-81)

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445