#2879: Kisah Sedekah Abu Umamah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan sedikit latar belakang Abu Umamah berkenaan dengan hutang dan sedekahnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Nama sebenar Abu Umamah al-Bahili ialah Sudaiy bin ‘Ijlan bin Wahb al-Bahili al-Sulami. Kuniahnya Abu Umamah dari qabilah Qais seorang sahabat yang mulia, zuhud dan meriwayatkan banyak ilmu. Rasulullah SAW menghantarnya keapda kaumnya lantas mereka telah memeluk Islam.

Kisah keislaman kaumnya cukup menarik di mana ketika Abu Umamah datang kepada kaumnya sedangkan kaumnya sedang menjamu makan dan mengajak mereka untuk makan bersama, Lantas kata Abu Umamah, “Sesungguhnya, aku datang untuk melarang kamu dari makanan ini. Aku adalah utusan Rasulullah SAW datang kepada kamu agar kamu beriman dengannya.”

Kemudian, dia telah didustakan oleh kaumnya dan dia dalam keadaan lapar serta dahaga. Maka, tidurlah Abu Umamah dalam keadaan begitu, tiba-tiba didatangkan dalam tidurnya atau mimpinya dengan minuman susu. Lantas, dia minum sehingga hilang dahaga dan besar perutnya.

Kemudian, kaumnya berkata, “Telah datang seorang lelaki kepada kamu yang sifatnya mulia sedangkan kamu menolaknya. Pergilah kepadanya dan jamulah nya dari makanan dan minuman yang dia sukai.”

Lantas, Abu Umamah berkata, “Mereka membawa kepadaku makanan dan minuman.” kemudian aku berkata, “Aku tidak perlu makan dan minum kamu kerana Allah telah beri makan dan minum kepadaku. Lihatlah keadaanku dengan perutnya ini.”

Lantas, mereka melihat dan mereka beriman denganku dan apa yang aku bawa daripada Rasulullah SAW.

Abu Umamah merupakan sahabat Rasulullah SAW yang akhirnya menetap di kota Hims, Syria. Beliau ketika Hajjatul Wada’, usianya baru mencecah 30 tahun dan beliau juga menyertai Bai’ah al-Ridhwan di bawah pohon kayu pada tahun 6 Hijrah.

Berkenaan dengan wafatnya, dikatakan oleh al-Mada’ini dan jamaah bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 86 H. Sedangkan pendapat Ismail bin Ayash, beliau meninggal dunia pada tahun 81 H. Abu Umamah diberi usia yang panjang dan beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan.

Beliau juga adalah sahabat terakhir yang meninggal dunia di bumi Syam.

Beliau banyak meriwayatkan hadith Nbai SAW dan ramai di kalangan tabi’in meriwayatkan daripadanya.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya: “Rasulullah SAW telah memasuki masjid. Didapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau adalah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Karamah berasal dari bahasa Arab (الكرامة). Menurut bahasa ertinya mulia dan menurut istilahnya pula kejadian luar biasa yang tidak masuk akal dan berlaku pada diri wali sebagai tanda kemuliaan yang dianugerahkan Allah ke atas mereka. Al-Jurjani dalam kitabnya al-Ta’rifat menyebut, karamah ialah suatu kejadian luar biasa yang diberikan Allah khusus bagi para hamba-Nya yang bertakwa dan soleh yang tidak disertai dengan dakwaan sebagai nabi. (Lihat al-Ta’rifat oleh al-Jurjani, hlm. 235)

Imam al-Qusyairi pula menyebut, karamah ialah satu perkara yang dianggap sebagai hal yang bertentangan dengan adat kebiasaan manusia pada umumnya. Ia juga dianggap sebagai perkara yang sangat luar biasa yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih pilihan-Nya. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 525)

Ini sepertimana kata sahib Jauharah al-Tauhid:

وَأَثْبِتَنْ للأَوْلِيَا الكَرَامَة        وَمَنْ نَفَاها فَانْبِذَنْ كلامَهْ

Dan sabitlah kamu bagi wali-wali Allah adanya karamah

            Siapa yang menafikannya, maka tolaklah cakapannya (pendapatnya).

(Lihat Tuhfatu al-Murid Syarh Jauharah al-Tauhid, hlm. 168)

Daripada Abdul Rahman bin Yazid bin Jabir berkata, “Maula perempuan Abu Umamah menceritakan kepadaku, ‘Abu Umamah adalah orang yang suka bersedekah dan suka mengumpulkan sesuatu dan kemudian disedekahkannya. Dia tidak pernah menolak seorang pun yang meminta sesuatu kepadanya, walaupun dia hanya mampu untuk memberi hanya seulas bawang merah atau sebiji buah kurma atau sesuap makanan.

Pada suatu hari datang seorang meminta kepadanya padahal ketika itu dia hanya mempunyai wang sebanyak 3 dinar. Orang itu tetap meminta juga, maka Abu Umamah pun memberikannya 1 dinar. Kemudian datang orang lain dan meminta bantuan daripadanya. Abu Umamah memberinya 1 dinar. Datang lagi seorang pengemis, Abu Umamah memberinya 1 dinar juga.

Kemudian aku menjadi marah dan berkata, ‘Wahai Abu Umamah, engkau tidak menyimpan walaupun satu untuk kita!’

Kemudian Abu Umamah berbaring untuk tidur sebentar (qailullah) di siang hari. Ketika masuk waktu Asar, aku mengejutnya untuk bangun. Lalu dia pun pergi ke masjid. Setelah itu aku berbual dengannya dan kemudian aku meninggalkannya untuk mempersiapkan makan malam dan memasang pelana kudanya.

Ketika aku masuk ke bilik tidurnya untuk mengemas, tiba-tiba aku terjumpa wang yang berjumlah 300 dinar.

Aku berkata dalam hatiku, ‘Tidak mungkin dia melakukan seperti apa yang dia perbuat kecuali sangat percaya dengan apa yang akan menjadi penggantinya.’

Benarlah firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’: 39)

Setelah Isya’ dia masuk rumah. Dan ketika melihat makanan yang telah tersedia dan pelana kuda telah terpasang ia tersenyum lalu berkata, ‘Inilah kebaikan yang diberikan daripada sisi-Nya.’

Aku berada di hadapannya sampai dia makan malam. Ketika itu aku berkata, ‘Semoga Allah sentiasa mengasihimu dengan infak yang engkau berikan itu sebenarnya engkau telah menyimpan untuk kita, tetapi mengapa engkau tidak memberitahu aku supaya aku boleh mengambilnya untuk kegunaan harian kita.’

Abu Umamah bertanya, ‘Simpanan apa? Aku tidak menyimpan apa pun!’

Kemudian aku mengangkat tilamnya untuk menunjukkan wang tersebut, ketika Abu Umamah melihat dinar itu dia bergembira dan sangat hairan tetapi bersyukur dengan kurniaan Allah SWT. Ini juga termasuk karamah yang Allah kurniakan kepada Abu Umamah atas keikhlasan beliau dalam bersedekah. (Lihat Siyar A’lam Nubala, 3/360)

Jelas kepada kita betapa sedekah mereka daripada 3 dinar dibalas dengan 300 dinar. Subhanallah.

Serta merta aku potong tali ikatku, sebuah tali yang menandakan aku seorang Majusi atau Nasrani, dan aku masuk Islam.”

Ibnu Jarir berkata, “Aku melihat wanita itu (bekas hamba) menjadi guru kaum wanita di Masjid Hims yang mengajarkan Al-Quran, sunnah dan ilmu faraidh. (Lihat 99 Kisah Orang Soleh oleh Muhammad bin Hamid Abdul Wahab) (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 141-144)

Kisah Abu Umamah ini menjadi contoh kepada kita dalam melakukan kebaikan serta sedekah. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445