#2880: Kelebihan Membantu Saudara

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang cuba membantu saudaranya pasti diberi pertolongan termasuklah dalam melangsaikan hutang?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi Muhammad SAW:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (1924)

Kisah ini diceritakan oleh Syeikh Dr Ratib al-Nabulsi.

Ada seorang lelaki yang menziarahi seorang sahabatnya yang meninggal dunia. Lalu kemudian dia berkata kepada anak sahabatnya itu, “Segala hutang bapamu yang ada, aku akan tanggung kesemuanya.”

Kata Dr Ratib Nablusi, “Lelaki ini menceritakan kepadaku sambil menangis di perkarangan masjid. Antara kesilapannya ialah dia tidak mengetahui jumlah hutang saudaranya yang disangkakan sedikit. Tetapi oleh kerana dia telah berjanji maka dia pasti menunaikannya.”

Setelah dikira, tidak disangka bahawa hutang yang belum dilangsaikan oleh sahabatnya itu amat banyak, iaitu sebanyak 400,000. Lantas dia pun terpaksa membayar kesemua hutang tersebut dalam keadaan yang dukacita. Tiba-tiba, pada petang itu juga, datang seseorang yang memberikan kepadanya wang berjumlah 400,000. Kemudian menyerahkan kepadanya. Itulah keajaiban sedekah.

Itulah bukti, di mana apabila seseorang mengikhlaskan niat kerana Allah SWT, maka Allah akan memberi gantian kepadanya. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’: 39)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.” Manakala Malaikat satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Sesungguhnya, Allah SWT akan menggantikan kepada orang yang berinfaq dengan harta mereka bagi yang suka bersedekah.

(Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 136-138)

Sejarah membuktikan mereka yang selalu membantu saudaranya akan dimudahkan kehidupannya dan dikasihi oleh orang ramai setiap masyarakat mempunyai orang seperti ini. Mereka adalah golongan yang terbaik yang boleh dianggap sebagai assabiqun al-Awwalun atau Ashab al-Yabi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445