#2883: Sariyyah Ali dan Qabilah Humdan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kisah Sariyyah Ali bertembung dengan qabilah Humdan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami bezakan terlebih dahulu antara Sariyyah dan Ghazwah:

  • Sariyyah: Para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan sariyyah atau pasukan yang dihantar oleh Rasulullah SAW. Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (8/154) menyatakan bahawa bilangan sariyyah menghampiri 70 kali. Dalam buku ini, kami telah menyebutkan sebanyak 68 sariyyah yang telah dihantar oleh Baginda SAW.
  • Ghazwah: Para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan ghazwah atau peperangan yang disertai oleh Rasulullah SAW. Ada yang berpendapat sebanyak 25 kali. Dikatakan juga sebanyak 27 kali dan ada juga yang berpendapat sebanyak 21 kali. Dalam buku ini, kami telah menyebutkan sebanyak 26 ghazwah yang disertai oleh Baginda SAW.

Kami kemukakan di sini, sejarahnya seperti berikut:

Pada tahun 10 Hijrah, Sariyyah Ali bin Abu Talib ke Yaman iaitu di kawasan tempat tinggal qabilah Humdan di timur San’a’ di Yaman.

Pasukan ini dipimpin oleh Ali bin Abu Talib RA dengan kekuatan seramai 300 kaum Muslimin. Tujuan pasukan ini dihantar adalah untuk menyeru kabilah Humdan kepada agama Islam. Selain itu, ia juga merupakan salah satu misi kenabian untuk menyebarkan agama tauhid selepas pembukaan kota Makkah. Hasilnya, keislaman kabilah Humdan dalam masa satu hari dan terbunuhnya 20 orang. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 212)

Sesungguhnya, pengkisahan seperti ini mengingatkan kami janji Tuhan yang Islam pasti menang dan muncul sebagai memimpin dunia. Benarlah firman Allah SWT:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ‎﴿١﴾‏ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ‎﴿٢﴾‏ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), – Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, – Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

(Surah al-Nasr: 1-3)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445