#2888: Penyebab Suatu Ilmu Itu Mudah Dilupakan

Soalan:

Assalamualaikum Dato, saya ingin bertanya, apakah penyebab suatu ilmu yang dipelajari itu dilupakan ?Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan  dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

(al-Mujadalah: 11)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Allah akan meninggikan darjat para ulama kerana keunggulan ilmu dan amal mereka, di dunia mahupun di akhirat (Lihat al-Wajiz,hlm.546)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

(Riwayat Muslim (4867)

Nas-nas al-Quran dan Hadith di atas menunjukkan kelebihan  bagi penuntut  ilmu, di mana Allah SWT mengangkat darjat bagi sesiapa yang berusaha dan bermujahadah dalam menuntut ilmu. Ketinggian seseorang dalam pandangan Allah bukanlah hasil dari harta benda, melainkan dari  ilmu itu sendiri. Terlebih lagi, Allah SWT memudahkan  jalan para pencari ilmu menuju syurga dan meraih redha ilahi. Oleh itu, adalah tugas  bagi setiap penuntut  ilmu untuk merasai betapa pentingnya perjalanan ini. Mereka harus dengan tekun berusaha dan berjuang untuk mencapai ilmu yang diwarisi oleh para nabi  iaitu  ilmu yang bermanfaat yang  dapat memberikan panduan ke arah kebaikan dan kemaslahatan.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa salah satu faktor utama ilmu itu dilupakan adalah terjerumus dalam perbuatan maksiat, samada ia dilakukan dengan tersembunyi atau secara terang-terangan. Oleh kerana itu, dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan melakukan ketaatan kepada Allah, kita dapat membina tapak yang kukuh bagi ilmu agar sentiasa melekat  di dalam diri. Sementara itu, tindakan yang bertentangan dengan ketaatan, yakni perbuatan maksiat, adalah faktor utama meredupnya ingatan terhadap ilmu yang telah diperoleh. Yang demikian sebagaimana yang telah disebut dalam al-Quran Allah berfirman:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ ۙ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ

Maksudnya: Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya.

(Surah al-Maidah: 13)

Terdapat satu kisah dimana Imam al-Syafi’e mengadu kepada gurunya Waki’  tentang lemahnya hafalannya lalu gurunya menyuruhnya agar menghindari perbuatan maksiat. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam syairnya:

 شكوتُ إِلى وكيعٍ سوءَ حِفظي                   فأرشدني إِلى تَرْكِ المعاصي

 وأخبرني بأن العلمَ نورٌ                  ونورُ اللهِ لا يُهدى لعاصي

Aku mengadu kepada Waki’ akan lemahnya ingatanku;

        Maka dia menyuruhku agar meninggalkan maksiat;

Beliau juga berkata sesungguhnya ilmu Allah itu cahaya;

       Dan cahaya Allah tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat.

(Lihat Majma’ al-Hikam wa al-Amthal,7/317 )

Maka difahami daripada nasihat Waki’ ini bahawa sesungguhnya maksiat itu melemahkan ingatan dan merupakan penghalang daripada meresapnya ilmu ke dalam dada manusia.

Yang demikian merupakan sebab utama ilmu itu mudah dilupakan. Antara sebab-sebab lain yang telah dinyatakan oleh Ibn Uthaimin  adalah seperti berikut.

  • Tidak mengulang apa yang telah dipelajari kerana dengan mengulang akan mengukuhkan lagi ilmu di
  • Terlalu banyak kesibukan. Apabila seseorang memiliki banyak urusan, maka dia akan lupa; kerana hati adalah seperti bekas, dan bekas  ini memiliki batasnya sendiri. Ia memiliki kapasiti,  jika diisi dengan sesuatu, tidak akan ada tempat bagi yang lain. Jika seseorang tidak memiliki waktu luang dan memiliki banyak urusan, maka urusan-urusan ini akan saling melupakan.
  • Tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh. Jika mengamalkan apa yang telah dipelajari, maka tindakan itu merupakan  penerapan terhadap  (Lihat Liqa al-Bab al-Maftuh,25/197)

Justeru, sebagai penuntut ilmu  adalah penting untuk menjauhi segala bentuk perbuatan maksiat, kerana tindakan ini akan memudahkan pemahaman dan penerimaan terhadap setiap ilmu yang diperolehi. Selain itu, kami ingin menasihatkan agar sentiasa mengikhlaskan niat dan bertekad untuk bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu, serta berusaha  menyampaikannya dengan tujuan memberikan manfaat kepada orang ramai.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang siapa dikalangan manusia yang dicintai oleh Allah SWT lalu Baginda menjawab:

أحَبُّ النّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنّاسِ

Maksudnya: Orang-orang yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Riwayat Tabrani (6026)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445