#2893: Hukum Lelaki Mengahwini Perempuan Yang Telah Berzina dengan Bapa Lelaki Itu

Soalan:

Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Soalan saya berkenaan wanita yang haram dikahwini. Salah satu wanita yang haram dikahwini adalah disebabkan persemendaan. Soalan saya adalah bagaimana dengan anak lelaki yang berkahwin dengan perempuan yang pernah bersetubuh dengan bapanya tanpa nikah. Apa hukum perkahwinan tersebut? Adakah masih haram atau dibolehkan?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/72)

Antara bentuk ( وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ) (“Dan janganlah kamu menghampiri zina”) ialah:

  • Berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah
  • Melihat filem pornografi
  • Membaca buku-buku berunsur pornografi
  • Menghadiri ke tempat-tempat yang lagha dan terdedah dengan pornografi
  • Menghampiri mereka yang berakhlak buruk yang banyak melakukan perbuatan keji seperti zina.

Sementara maksud وَسَاءَ سَبِيلًا sebagai mana pendapat Syeikh al-Maraghi: Sesungguhnya berzina itu nyata keburukannya, bahkan mengandungi pelbagai kerosakan. Antara yang terpenting ialah:

  • Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang pelacur perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur.
  • Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!”
  • Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah SWT sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.
  • Tujuan kaum perempuan dicipta bukan sekadar pelampias syahwat semata-mata. Akan tetapi, ia dijadikan sebagai sekutu bagi kaum lelaki dalam mengatur urusan rumah tangga dan mempersiapkan tugas-tugasnya seperti makanan, minuman dan pakaian. Kaum perempuan juga menjadi penjaga dan pengurus anak-anak dan sekaligus menjadi pembantu suami. Tugas ini tidak akan dilaksanakan dengan sempurna kecuali apabila wanita itu menjadi rakan (pasangan) yang khusus bagi seorang lelaki sahaja, bukan untuk lelaki-lelaki yang lain.

Dalam erti kala yang lain, perzinaan merupakan suatu yang sangat keji, kerana ia adalah punca-punca, nasab (keturunan) menjadi kacau-bilau dan manusia saling bunuh-membunuh, sembelih-menyembelih, kerana mempertahankan kehormatan. Perzinaan juga merupakan cara yang buruk jika ditinjau dari segi menyamakan antara manusia dan binatang, iaitu tidak menjodohkan antara yang betina dengan yang jantan secara khusus (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3941-3942).

Hukum Lelaki Mengahwini Perempuan Yang Telah Berzina dengan Bapa Lelaki Itu

Islam melarang seseorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang telah dikahwini dan disetubuhi oleh bapanya seperti yang disebutkan di dalam firman Allah SWT:

وَلَا تَنكِحُوا مَا نَكَحَ آبَاؤُكُم مِّنَ النِّسَاءِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۚ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَمَقْتًا وَسَاءَ سَبِيلًا ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).”

(Surah al-Nisa’: 22)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT telah mengharamkan perkahwinan dengan isteri-isteri bapa-bapa, sebagai tanda penghormatan dan keagungan kepada mereka, serta untuk menghormati dan menghargai agar tidak ada yang menyetubuhinya selepas mereka. Bahkan, bapa-bapa itu diharamkan untuk bernikah dengan perempuan yang dikahwini anak lelaki itu cukup dengan akad nikah sahaja. Ini adalah suatu perkara yang disepakati oleh semua ulama.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 2/214)

Dalam permasalahan ini, para ulama’ berbeza pendapat mengenai kesahihan perkahwinan seseorang yang berkahwin dengan wanita yang ayahnya telah berzina dengannya, atau anak lelakinya.

Ibn Rusyd dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid menyatakan: “Imam al-Syafi’i berpendapat: Seseorang lelaki yang berzina dengan seorang perempuan itu tidak menghalangnya daripada berkahwin dengan ibu perempuan itu, atau anak perempuan itu, begitu juga bagi perempuan yang berzina dengan seorang lelaki, ia tidak menghalangnya daripada berkahwin dengan bapa lelaki itu atau anak kepada lelaki itu. Manakla, Imam Abu Hanifah, al-Thauri, dan al-Auza’i berpendapat: Zina menghalang apa yang juga dihalang oleh perkahwinan. Adapun Imam Malik dalam al-Muwatta’, pandangannya serupa dengan Imam al-Syafi’i: Ia tidak menghalang untuk berkahwin. Ibnu al-Qasim meriwayatkan daripadanya pendapat yang sama dengan Imam Abu Hanifah, iaiatu ia menghalang perkahwinan.” (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 3/58-59)

Ibn Qudamah berkata: “Permasalahan persetubuhan haram mengharamkan perkahwinan seperti mana persetubuhan yang halal dan syubhah. Ini bermaksud menetapkan berkenaan haramnya berkahwin disebabkan oleh musaharah (persemendaan) . Oleh itu, jika seseorang berzina dengan seorang wanita, maka wanita itu menjadi haram bagi ayah dan anak lelakinya, dan juga menjadi haram untuk lelaki itu bagi ibu kepada wanita itu dan anak perempuannya, seperti halnya jika dia bersetubuh dengan wanita itu dalam keadaan syubhah atau halal. Dan jika seseorang bersetubuh dengan ibu isterinya atau anak perempuannya, maka isterinya menjadi haram baginya. Imam Ahmad meriwayatkan ini dalam beberapa riwayat. Ini juga diriwayatkan dalam konteks yang sama daripada Imran bin Husoin, dan ini juga adalah pendapat dari al-Hasan, Ata’, Tawus, Mujahid, al-Sya’bi, al-Nakha’i, al-Thauri, Ishaq, dan Ashab al-Ra’yi.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa persetubuhan haram tidak menjadikan sesuatu itu haram, dan pendapat ini juga dipegang oleh Sa’id bin al-Musayyib, Yahya bin Ya’mur, Urwah, al-Zuhri, Malik, al-Syafi’i, Abu Thaur, dan Ibn al-Munzir. Hal ini kerana ada riwayat daripada Nabi SAW yang menyebutkan: ‘Perkara yang haram tidak akan mengharamkan perkara yang halal.’ Selain itu, ini juga disebabkan persetubuhan ini tidak mengakibatkan hubungan pernikahan yang sah, maka ia tidak diharamkan, seperti bersetubuh dengan yang kecil.

Kami juga menjadikan dalil daripada firman Allah SWT: ‘Dan janganlah kamu berkahwin dengan wanita-wanita yang telah dikahwini oleh bapamu‘ [Surah al-Nisa: 22]. Dan persetubuhan itu dinamakan ‘nikah’. Seorang penyair telah berkata, “ إذا زَنَيْتَ فأجِدْ نكاحًا” (Jika engkau berzina, maka ia dianggap sebagai nikah). Ini termasuk dalam makna umum ayat tersebut. Dan dalam ayat tersebut ada bukti yang merujuk kepada persetubuhan, dan itu adalah firman-Nya: ‘Sesungguhnya perbuatan itu amat buruk dan amatlah keji’ [Surah al-Nisa: 22], dan penegasan yang tegas ini hanya berkaitan dengan persetubuhan. Juga diriwayatkan daripada Nabi SAw bahawa baginda bersabda: ‘Allah tidak melihat seorang lelaki yang melihat faraj seorang wanita dan anak perempuannya.’ Al-Jauzajani meriwayatkan melalui sanadnya daripada Wahb bin Munabbih yang berkata: ‘(Celakalah orang yang melihat faraj wanita dan anak perempuannya).’ Aku kemudian menyebutkan hal ini kepada Sa’id bin al-Musayyib dan ini sangat mengesankan baginya. Hal ini juga disebabkan apa yang terkait dengan pengharaman dalam persetubuhan yang halal sebenarnya terkait dengan larangan dalam hubungan yang haram, seperti persetubuhan dengan wanita yang sedang haid. Dan kerana perkahwinan adalah perjanjian yang boleh dirosakkan oleh perbuatan syubhah, maka perbuatan haram ini akan merosakkannya, seperti dalam hal ihram dan hadis-hadis mereka yang keabsahannya tidak diketahui, sebenarnya ini hanya merupakan kata-kata Ibnu Asyu’ dan beberapa hakim di Iraq, demikian juga pendapat dari Imam Ahmad. Dan ada yang mengatakan bahawa ini adalah perkataan Ibn Abbas.” (Lihat al-Mughni, 7/117)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa masalah perkahwinan seorang lelaki dengan wanita yang ayahnya berzina dengannya merupakan isu yang terdapat perbezaan dalam kalangan ulama’. Mengikut mazhab al-Syafi’i, perkahwinan sebegini dikira sah kerana perempuan itu dianggap sebagai wanita ajnabiah. Namun, kami berpendapat bahawa pandangan yang melarang perkahwinan dalam keadaan ini adalah lebih mendekati kebenaran berdasarkan dalil dan hujjah yang kami kemukakan.

Pendapat ini juga lebih berhati-hati dan menghindari sebarang keraguan. Tidak diragukan lagi, perkahwinan lelaki dengan wanita yang ayahnya telah berzina dengannya akan memberikan peluang kepada ayah untuk berhubungan kembali dengan wanita itu bila-bila masa yang dikehendaki, bersembunyi dengannya, kerana wanita itu adalah isteri anaknya. Kesannya akan memungkinkan kembali kepada keadaan sebelumnya yang tidak disukai oleh Allah SWT. Seorang penyair pernah berkata:

وَذُو الشَّوْقِ القَدِيمِ وَإِنْ تَعَزَّى                     مَشُوقٌ حِينَ يَلْقَى العَاشِقِينَا

“Teman rindu dari zaman dulu, walaupun mungkin dirasa sedih,

            Tetapi sangat menggembirakan ketika dijumpai oleh para peminat cinta.”

(Lihat Mausu’ah al-Raqaiq wa al-Adab, hlm. 166)

Kami mohon kepada Allah SWT agar memberikan kepada yang bertanya ini seorang pasangan yang baik, tanpa ada keraguan padanya. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445