Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pencerahan dari Datuk berkenaan dua situasi. Adakah dibolehkan tulisan arab ditulis di tangga tempat laluan kaki melangkah? Ia bertujuan untuk ilmu dan hanya bahasa arab bukan ayat al-quran.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”
(Surah Yusuf: 2)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT menjadikan al-Quran berbahasa Arab, dan menurunkannya dalam bahasa Arab yang jelas. Hal itu kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling fasih dan paling jelas, yang paling banyak mengungkap makna yang ada dalam jiwa. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/365)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ’, iaitu agar kamu mengerti. Kalimat ini adalah ‘illah diturunkannya dengan sifat-sifat tersebut. Ertinya, Kami telah menurunkannya secara keseluruhan dan dari bacaan dengan bahasa kamu agar kamu dapat memahami dan mengerti makna-maknanya. (Lihat Tafsir al-Munir, 6/432)
Begitu juga, Saidina Umar R.A berkata:
تَعَلَّمُوا الْعَرَبِيَّةَ فَإِنَّهَا تَزِيدُ فِي الْمُرُوءَةِ
Maksudnya: “Belajarlah Bahasa Arab kerana sesungguhnya Bahasa Arab tersebut boleh meningkatkan ketinggian maruah dan adab.” (Lihat Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi, 3/210; al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi oleh al-Khatib al-Baghdadi, 2/25)
Kami nyatakan di sini bahawa mempelajari bahasa Arab teramat banyak faedahnya, antaranya:
- Ia boleh memberi kefahaman yang betul berkenaan maksud al-Quran dan sunnah.
- Bahasa Arab akan menambahkan lagi nilai dan sastera seseorang itu kerana ia cukup tinggi bahasanya.
- Bahasa Arab juga merupakan kunci dan mukaddimah kepada banyak ilmu pengetahuan Islam seperti fiqh, usul fiqh, akidah, tasawwuf dan lain-lain kerana dalam bahasa Arab terdapatnya masadir dan maraji’
- Bahasa Arab boleh meluaskan mindanya, persahabatan dan kefahaman seseorang apabila menguasainya.
Berkenaan bahasa Arab, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#1406: Bahasa Ahli Syurga[1]
#1537: Memahami Bahasa Arab[2]
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah membuat tulisan sepertimana gambar di atas. Hal ini kerana ia bertujuan untuk memberi pendidikan kepada para pelajar agar menyintai dan memahami bahasa arab. Begitu juga, ia bukanlah potongan dari ayat al-Quran, maka tidaklah dianggap seperti menghina ayat suci al-Quran.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Wallahu a’lam
[1] https://maktabahalbakri.com/1406-bahasa-ahli-syurga/
[2] https://maktabahalbakri.com/1537-memahami-bahasa-arab/
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445