Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum french manicure?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan maksud French manicure. Ia adalah gaya manikur kuku di mana kuku dicat merah jambu pucat dengan jalur putih di hujungnya.
Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:
خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: الْخِتَانُ، وَالاِسْتِحْدَادُ، وَنَتْفُ الإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya: “Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.”
Riwayat al-Bukhari (5550) dan Muslim (257)
Islam menganjurkan kebersihan dalam serba-serbi kehidupan.
تَنظَّفُوا فَإِنَّ الإِسْلَامَ نَظِيْفٌ
Maksudnya: “Bersihkanlah diri kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam al-Dhu’afa’ daripada hadith Aisyah R.Anha, sepertimana disebut oleh al-Qari’ dalam al-Asrar al-Marfu’ah.
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
النَّطَافَةُ تَدْعُوا إلى الإيمَانِ وَالإِيمَانُ مَعَ صَاحِبِهِ فِي الجَنَّةِ
Maksudnya: “Kebersihan itu membawa kepada keimanan dan keimanan pula akan mendampingi tuannya di dalam syurga.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7311), Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan (1/224) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (2309)
Oleh kerana itu, Islam menggalakkan umatnya sentiasa dalam keadaan bersih dari segi pakaian, tubuh badan, rumah tangganya dan sebagainya. Islam juga mengambil berat terhadap kebersihan gigi, tangan, kepala dan lain-lain lagi.
Islam mensyaratkan kebersihan dalam agama sebagai kunci ibadat kepada Allah SWT iaitu solat. Tidak akan diterima solat seseorang Muslim itu melainkan tubuh badan, pakaian dan tempat untuk solat berada dalam keadaan bersih dan suci, di samping menjaga kebersihan diri sendiri.
Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat ia adalah syubhah yang lebih baik ditinggalkan dan boleh membawa kepada haram. Antara hujah kami:
- Mengubah struktur asal sifat kuku itu dengan warnaan atau tambahan. Hal ini termasuk dalam nas hadith: Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (4887, 5939) dan Muslim (2125)
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan al-Tabari yang menyebut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun dari asal penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya. (Lihat Fath al-Bari, 10/390)
- Boleh jadi berlaku sedikit gharar atau penipuan lebih-lebih lagi bagi yang ingin meminang dan mengahwininya dan yang tertarik kepada kuku sedangkan itu bukan asli dan original. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa sabda Rasulullah SAW:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ غَشَّ
Maksudnya: “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad SAW) siapa yang menipu.”
Riwayat Abu Daud (3452)
- Boleh jadi kos dan harga untuk melaksanakan itu agak tinggi dan termasuk dalam pembaziran. Anggaran kos antara RM90-RM300 berdasarkan kepakaran nail artist dan jenis dan jenama bahan (acrylic nail art for French manicure) yang digunakan.
- Begitu juga timbul isu jenis acrylic nail art for French manicure sifatnya telus dan ada sebahagiannya tidak telus air. Ini menyebabkan isu wudhuk untuk melaksanakan solat, jika tidak telap air maka hukumnya tidak sah.
Dengan kenyataan al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, kami lebih cenderung kepada pendapat tidak dibenarkan dan tidak dibolehkan kerana qiyas kepada larangan yang disebut oleh Rasulullah SAW dengan laknat.
Justeru, kami cadangkan agar lebih baik meninggalkan dari menggunakan french manicure.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445