Soalan:
Assalamualaikum wbt Dato’ Seri. Semoga Dr. Zul dan keluarga sihat walafiat dan sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Saya ingin bertanya, bolehkah saya menghantar anak belajar bermain piano? Bukanlah niat untuk menjadi pianist, sekadar self–skill sahaja dan tiada unsur-unsur yang melalaikan. Terima kasih atas masa Dr.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Piano mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sejenis alat muzik yang dimainkan dengan menekan mata hitam atau putih pada papan kekunci, menyebabkan tukul-tukul kecil mengetuk tali logam untuk menghasilkan not yang berbeza.
Piano mengalami perkembangan dari berbagai jenis dan rupa, walaupun asas cara memainkannya semua sama. Antara jenis-jenis piano ialah:
- Grand Piano – Jenis piano ini juga termasuk jenis piano akustik. Konstruksi atau bahan dasar dari grand piano adalah kayu yang mengikap dengan berjumlah tuts (mata hitam dan putih) 88. Piano ini memiliki kotak akustik yang ditidurkan, dengan deretan yang diketuk hammer piano ditidurkan. Grand piano sering digunakan dalam persembahan orkestra. Harga grand piano sangat mahal, dari puluhan hingga ratusan ribu. Proses pemasangannya juga rumit.
- Upright Piano – Konstruksi jenis piano ini sebenarnya tidak jauh berbeza dengan jenis grand piano. Ianya juga diperbuat daripada kayu, dengan 88 tuts, serta kotak akustik dan berderetan. Yang membezakan upright piano dengan grand piano adalah kedudukan kotak akustiknya yang berdiri. Dengan konstruksi seperti ini, piano model ini menjimatkan tempat.
- Digital Piano – Ini adalah jenis piano elektronik, namun memiliki rentang nada yang sama dengan piano akustik biasa. Model tuts juga sama, menggunakan gradded-hammer. Jadi, walaupun jenisnya digital, namun kesan penekanan tutsnya masih sama dengan piano akustik, berat dan seperti mengetukkan palu ke deretan nada. Antara piano digital yang terkenal ialah Roland RD-700 dan RD 300 dan Yamaha Seri Clavinova.
- Keyboard – Piano jenis keyboard dan digital memang hampir serupa. Bahkan kedua-duanya adalah jenis piano elektronik. Namun begitu tetap ada perbezaannya antara digital piano dan keyboard. Yang paling berbeza adalah model tuts-nya. Keyboard tidak menggunakan gradded hammer, melainkan model touch response. Ini ertinya kesan seperti mengetukkan palu tidak boleh dirasakan, kerana tuts keyboard jauh lebih ringan untuk ditekan. Rentang nada yang dimiliki juga lebih sedikit, hanya sepanjang 61 nada.
Akan tetapi keyboard memiliki kelebihan dalam menghasilkan suara dari berbagai bermacam jenis alat muzik. Variasi irama dalam keyboard juga banyak, sehingga ianya boleh dimainkan untuk satu kesatuan full band. Contoh yang popular adalah Yamaha Seri PSR, atau Roland Seri E.
- Organ – Organ lebih biasa dimainkan akord, jadi pemain organ tidak perlu susah-susah memikirkan melodi, kerana bahagian melodi sudah menjadi jatahnya pianis. Terdapat dua jenis piano organ, iaitu organ pipa (orgel) dan organ elektronik (electone). Organ pipa memiliki deretan tuts lebih dari satu, dan tombol analog yang sangat banyak. Organ pipa sendiri memiliki paip-paip besar. Sementara organ elektronik deretan tutsnya kebanyakannya mempunyai 2 baris dan pedal kaki (pedalboard) yang sangat banyak.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa isu ini sudah berlarutan begitu lama dan menjadi polemik antara yang membenarkannya dengan yang berpandangan sebaliknya. Kebanyakan tokoh-tokoh ulama di zaman dahulu berpendapat bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Abu Malik al-Asy‘ariy R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيَكونَنَّ مِن أُمَّتي أقْوامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ والحَرِيرَ، والخَمْرَ والمَعازِفَ
Maksudnya: “Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.”
Riwayat al-Bukhari (5590)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Sabda Baginda ‘والمَعازِفَ’ adalah jamak daripada ma’zafah yang bermaksud alat-alat permainan untuk bersenang-senang. Al-Qurtubi menukilkan daripada al-Jauhari, bahawa al-Ma’azif adalah nyanyian. Namun yang terdapat dalam kitab al-Sihah karyanya, dikatakan bahawa ia adalah alat permainan untuk bersenang-senang. Ada juga yang mengatakan bahawa maksudnya adalah bunyi alat-alat permainan itu. Sementara dalam kitab al-Hawasyi al-Dimyati disebutkan: “Al-Ma’azif adalah sejenis rebana dan selainnya yang dipukul. Nyanyian juga biasa disebut ‘uzf, dan semua permainan disebut ‘uzf.” Dalam riwayat Malik bin Abu Maryam, disebut: ‘تَغْدُو عَلَيْهِمُ الْقِيَانُ وَتَرُوحُ عَلَيْهِمُ الْمَعَازِفُ’ (“Para penyanyi datang pada pagi hari kepada mereka, dan muzik datang di petang hari.”) (Lihat Fath al-Bari, 9/604)
Daripada Abu Malik al-Asy’ari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ
Maksudnya: “Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.”
Riwayat Abu Daud (3688), Ahmad (22900) dan Ibn Majah (4020). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.
Walaupun begitu pecahan muzik ini amat banyak seperti guitar, piano, violin, cello, flute, percussion, idiophones, trumpet, saxophone, drum dan banyak lagi. Para ulama menyebut tentang wanita atau lelaki boleh bermain dengan duf iaitu sejenis gendang.
Kami nyatakan di sini beberapa pandangan apabila ditanya hukum bermain dengan alat-alat muzik adakah haram atau sebaliknya?
- Dr Ali Jum’ah Mufti Mesir terdahulu berpendapat, “Alat muzik seperti piano dikira berdasarkan suara-suara. Maka, halalnya halal dan haramnya haram.” Lantas, didatangkan contoh, sebahagian daripada melodi hampir kepada maksud untuk memerhati pada alam dan menenangkan jiwa. Sedangkan sebahagian yang lain ia seolah-olah syaitan. Ketika itu, hukumnya tidak harus. Dengan sebab itu, harus mengajar dan belajar terutamanya yang membawa kepada melodi membentuk akhlak dan memerhati alam.
- Syeikh Ahmad Mamduh Amin al-Fatwa Dar Ifta’ Misriyyah berpendapat, “Alat-alat muzik yang bertali bukanlah haram.”
- Dr Majdi Asyur Musytasyar Ilmi bagi Mufti Mesir berpendapat, “Sesungguhnya nyanyian dan muzik, kalam dan makna. Jika baik, maka dia diterima dan jika tidak baik, maka dia tidak harus dan haram.”
Beliau menambah, “Jika muzik disertai dengan perkara yang keji atau minum arak, maka hukumnya adalah haram.”
Kami juga mengemukakan beberapa fatwa yang mengatakan haram, antaranya
- Telah dinukilkan ijmak ulama yang terdahulu bahawa haram penggunaan alat-alat lagha dan muzik kecuali gendang. Mereka yang menyebut secara ijmak iniialah al-Imam al-Qurtubi, Abu Tayyib al-Tabari. Ibn al-Salah, Ibn al-Qayyim, Ibn Rejab al-Hanbali dan juga Ibn Hajar al-Haithami.
- Islamwebnet menyebut bahawa sesungguhnya muzik selain duf atau gendang hukumnya haram secara mutlak di sisi kebanyakan ulama muktabar. Justeru, tidak harus bermain dengan alat-alat tersebut sekali pun untuk pembelajaran atau meningkatkan kemahiran serta skil atau lain-lain. (Lihat Fatwa bernombor 10108600-130379-66001)
Antara hujah mereka selain daripada dua nas hadith di atas ialah firman Allah SWT:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman: 6)
- Syeikhul Mufassirin Ibnu Jariri al-Tabari menukilkan daripada Abdullah bin Mas’ud apabila ditanya tentang ayat ini. Lantas, jawab Abdullah bin Mas’ud RA, “Ia adalah nyanyian. Demi tiada Tuhan melainkan Dia.” Dinyatakannya tiga kali.
- Ibnu Abbas R.Anhuma pula meriwayatkan maksudnya nyanyian dan sebarang bentuk seumpamanya.
- Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma berkata, “Dia adalah nyanyian dan mendengarnya.”
- Diriwayatkan daripada Mujahid katanya, “Ia adalah nyanyian atau nyanyian daripadanya atau mendengarnya.”
- Ikrimah berkata, “Maksud لَهْوَ الْحَدِيثِ ialah nyanyian.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/534)
Antara hujah mereka juga berdasarkan hadith di atas iaitu hadith Abi Malik al-Asy’ari di mana Imam Bukhari telah meriwayatkan secara muallaq. Hadith ini menunjukkan dari tanda-tanda kenabian SAW sehingga terdapatnya perkhabaran yang akan datang yang pasti berlaku. Iaitu, alat-alat muzik berleluasa dan menjadi salah satu industri yang besar. Hukumnya, haram berdasarkan kepada kalimah dan dalalah يَسْتَحِلُّونَ iaitu mereka menghalalkannya.
Mafhumnya, dia tidak berlaku kecuali perkara yang diharamkan.
Justeru, kami katakan isu seperti ini kami lebih cenderung kepada pendapat ramai ulama yang tidak membenarkan bahkan mengharamkannya. Ini kerana, hujah mereka berasaskan nas hadith dan zahirnya menunjukkan ke arah itu.
Walaupun begitu, nyanyian yang berdasarkan kepada kelebihan suara atau secara acapella dan hanya menggunakan gendang serta bahasa dan melodinya yang bersifat baik, maka, hukumnya adalah halal dan dibolehkan.
Kami bercadang untuk memperincikan semua alat-alat muzik dari segi hukumnya satu persatu di samping mencari ‘illah kenapa ulama pada zaman dahulu begitu tegas mengharamkan kebanyakannya. Boleh jadi terdapatnya isu lagha, melalaikan, bercampur-baur dengan minuman keras, hilang maruah serta hilangnya perasaan malu.
Begitu juga berikhtilat atau bercampur lelaki dan perempuan sehingga berpeluk-pelukan yang semuanya menunjukkan hilangnya jati diri sebagai manusia yang diberi jawatan oleh Allah SWT iaitu khalifah Allah SWT di muka bumi yang tujuannya seperti yang dinyatakan melalui firman-Nya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Surah al-Zariyat: 56)
Akhir kalam, kami katakan Allah SWT kurniakan kepada kita akal untuk berfikir dan carilah kehidupan yang seratus peratus halal sekali pun dalam bentuk berhibur. Mungkin boleh diganti dengan lagu-lagu dan syair-syair yang baik tanpa adanya unsur syubhah.
InsyaAllah, tekad kami untuk membuat kajian yang lebih mendalam pada satu masa nanti. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a’lam
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445