#2897: Nyanyian Wanita Di Hadapan Ajnabi

Soalan:

Assalamualaikum, saya mahu bertanya, apa sebenarnya hukum perempuan menyanyi? Maksudnya memperdengarkan suaranya di depan ajnabi. Terima Kasih

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

MaksudnyaWahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab:32)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) iaitu tidak berbicara dengan ajnabi dengan kata-kata yang mengandungi nada tertentu seperti berbicara dengan suami. (Lihat al-Quran al-A’zim, 6/408 )

Begitu juga al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa maksudnya ialah larangan melunakkan perkataan. Allah mengarahkan agar para isteri nabi itu hendaklah berkata dengan tegas dan jelas dalam perbualan, dan jangan bercakap dalam suatu bentuk yang menzahirkan dalam hati satu hubungan dengan apa yang terzahir daripada kelunakan tersebut, seperti mana keadaan yang berlaku dalam kalangan wanita Arab ketika berbual dengan lelaki dengan cara melembutkan suara dan melunakkannya, seperti gaya perbualan wanita pelacur.(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/177.)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami ingin nyatakan bahawa bagi wanita, tidak dibolehkan untuk memperdengarkan suara nyanyian di hadapan orang yang bukan mahram. Hal ini disebabkan oleh fitnah dan rangsangan yang mungkin timbul akibat melenggokkan suara, terutama kepada mereka yang tidak memiliki hubungan dekat seperti mahramnya. Selain itu, para wanita tidak dibolehkan mengumandangkan azan atau mengangkat suara ketika bertalbiah. Oleh itu, menyanyi di hadapan orang asing (ajnabi) lebih utama untuk dihindari.

Firman Allah SWT:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.

( Surah Ali ‘Imran: 14)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah menkhabarkan tentang apa yang dihiasi bagi manusia dalam kehidupan dunia ini dari pelbagai jenis kesenangan seperti wanita dan anak-anak. Dia memulakan dengan wanita kerana fitnah (ujian) yang melibatkan wanita itu  lebih hebat.(Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim,2/19)

Begitu juga larangan ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asya’ri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

Maksudnya: Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.

Riwayat Abu Daud (3688), Ahmad (22900) dan Ibn Majah (4020). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Telah dijelaskan dalam al-Bahiyyah Min Fatwa al-Kuwaitiyyah mengenai isu ini bahawa:  tidak dibolehkan bagi seorang wanita untuk menyanyi di hadapan lelaki yang bukan mahram, atau di hadapan orang yang mendengarnya dari kalangan mereka, bahkan apabila mereka berduet dalam suatu pertunjukan. Ini kerana suara wanita itu sendiri termasuk dalam hal-hal yang harus dijaga sebagai aurat. Demikian juga , berbicara dan gelak ketawa  yang tidak senonoh, yang melanggar adab syariah. (Lihat al-Bahiyyah Min Fatwa al-Kuwaitiyyah,10/157)

Justeru, kami ingin menegaskan bahawa wanita hendaklah menghindari dari  menyanyi di hadapan orang yang bukan mahram. Namun, mempersembahkan nyanyian di hadapan mahram  seperti adik-beradik lelaki atau sahabat perempuan adalah dibenarkan. Namun, perlu diingat bahawa nyanyian tersebut harus bebas dari unsur-unsur yang bertentangan dengan prinsip-prinsip agama, seperti elemen-elemen syirik atau konten yang tidak senonoh.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445