Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, bagaimana Nabi SAW mendirikan solat pada waktu malam? Dan berapa rakaat Nabi SAW lakukan solat malam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Bilangan Rakaat Solat Malam Nabi SAW
Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya membuat satu bab bertajuk: ‘Bagaimana Solat Malam Nabi SAW dan Berapa Rakaat Biasanya Baginda Solat Malam.’
Antara lain, beliau membawakan beberapa hadith berikut:
Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata: Sesungguhnya seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam?” Baginda menjawab:
مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ، فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: “Dua (rakaat) – dua (rakaat). Sekiranya engkau bimbang waktu Subuh (akan masuk), maka lakukanlah solat Witir satu rakaat.”
Riwayat al-Bukhari (1137)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Hadith ini telah dijelaskan pada bahagian awal tentang witir di mana yang demikian lebih utama bagi umat, kerana itu adalah jawapan Baginda SAW terhadap pertanyaan yang diajukan kepadanya. Namun, telah dinukilkan melalui riwayat yang sahih, bahawa Baginda biasa melakukan solat dua rakaat – dua rakaat, dan terkadang juga melakukan solat malam sekaligus tanpa memisah-misahkannya dengan salam.” (Lihat Fath al-Bari, 6/241)
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
كَانَتْ صَلاَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً يَعْنِي بِاللَّيْلِ.
Maksudnya: “Solat Nabi SAW adalah tiga belas rakaat, iaitu (solat) malamnya.”
Riwayat al-Bukhari (1139)
Daripada Masruq, katanya: Aku bertanya kepada Aisyah R.Anha berkenaan solat Rasulullah SAW pada malam hari, lalu beliau berkata:
سَبْعٌ، وَتِسْعٌ، وَإِحْدَى عَشْرَةَ، سِوَى رَكْعَتِي الفَجْرِ
Maksudnya: “Tujuh (rakaat), sembilan (rakaat) atau sebelas (rakaat), selain dua rakaat (solat sunat) Fajar.”
Riwayat al-Bukhari (1139)
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: “Adapun jawapan yang diberikan kepada Masruq, maksudnya hal itu berlaku pada waktu yang berbeza-beza. Kadangkala, Baginda SAW melakukan solat tujuh rakaat, terkadang sembilan rakaat, dan terkadang pula sebelas rakaat. Manakala hadith al-Qasim daripada Aisyah R.A difahami sebagai kebiasaan Baginda SAW.” (Lihat Fath al-Bari, 6/240)
Daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الوِتْرُ، وَرَكْعَتَا الفَجْرِ.
Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk solat witir, dan dua rakaat (solat sunat) Fajar.”
Riwayat al-Bukhari (1140)
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً، قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ، وَيَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الفَجْرِ، ثُمَّ يَضْطَجِعُ عَلَى شِقِّهِ الأَيْمَنِ حَتَّى يَأْتِيَهُ المُنَادِي لِلصَّلاَةِ.
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW biasa melakukan solat sebelas rakaat. Begitulah (kadar) solat yang Baginda lakukan. Baginda melakukan satu kali sujud daripada sebelas rakaat itu, (masanya) pada kadar kira-kira kamu membaca lima puluh ayat sebelum Baginda mengangkat kepalanya (daripada sujud). Selepas itu, Baginda menunaikan solat dua rakaat sebelum solat Fajar, kemudian Baginda berbaring (mengiring) di atas lambung kanannya, sehinggalah muazzin datang kepadanya untuk solat (Subuh).”
Riwayat al-Bukhari (1123)
Berdasarkan hadith di atas, ia menunjukkan bahawa Nabi SAW melakukan solat malam sebanyak 11 rakaat sepertimana diceritakan oleh Aisyah R.Anha.
Di samping itu, terdapat juga beberapa hadith lain yang menjelaskan tentang sifat solat malam Nabi SAW, antaranya:
Daripada Abu Salamah R.A, bahawa beliau bertanya Aisyah R.Anha: “Bagaimana Nabi SAW mendirikan solat (malam) pada bulan Ramadhan?” Maka Aisyah R.Anha menjawab:
مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسْأَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ، ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ؟ قَالَ: «يَا عَائِشَةُ، إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلاَ يَنَامُ قَلْبِي».
Maksudnya: “Baginda tidak pernah menunaikan solat melebihi 11 rakaat pada bulan Ramadhan dan selainnya. Baginda solat 4 rakaat dan jangan kamu tanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda solat 4 rakaat lagi dan jangan kamu tanya tentang kesempurnaan dan panjangnya. Kemudian Baginda solat 3 rakaat. Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah engkau akan tidur sebelum melakukan solat witir?” Baginda menjawab: “Wahai Aisyah, sesungguhnya hanya kedua mataku yang lelap, namun hatiku tidak pernah tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1147), (2013), (3569) dan Muslim (738)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Pada hadith di atas, terdapat keterangan bahawa solat Baginda SAW adalah sama sepanjang tahun. (Lihat Fath al-Bari, 6/281)
Al-Hafiz Ibn Hajar turut berkata: Lafaz ‘مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً’ (Baginda tidak pernah melebihkan, sama ada di bulan Ramadhan mahupun bulan selainnya, dari sebelas rakaat), di sini terdapat keterangan bahawa dua rakaat fajar tidak termasuk antara yang sebelas itu, sehingga riwayat ini sesuai dengan riwayat al-Qasim[1].” (Lihat Fath al-Bari, 6/240)
Kata beliau lagi: Imam Muslim menyebut melalui jalur Sa’ad bin Hisyam, daripada Aisyah bahawasanya Nabi SAW memulakan solat malam dengan dua rakaat yang ringan. Pendapat ini menurutku (al-Hafiz Ibn Hajar) lebih tepat kerana riwayat Abu Salamah yang menyatakan jumlah yang tidak lebih daripada sebelas rakaat telah disebutkan cara pelaksanaannya, yakni, “Baginda solat empat rakaat, kemudian empat rakaat, kemudian tiga rakaat.” Hal ini membuktikan bahawa riwayat yang membataskan sebelas rakaat tidaklah menyentuh tentang dua rakaat yang ringan, namun hal itu disebutkan dalam riwayat al-Zuhri. Di samping itu, tambahan daripada seorang hafiz (ahli hadith) hendaklah diterima. Dengan demikian, riwayat-riwayat yang ada dapat dihimpunkan. (Lihat Fath al-Bari, 6/242)
Tempoh Sujud Nabi SAW
Dalam hadith daripada Aisyah R.A seperti yang disebut pada awal perbincangan, antara lain disebut bahawa kadar sujud Nabi SAW adalah seperti membaca kadar 50 ayat al-Quran sebelum Baginda mengangkat kepalanya. Kata Aisyah R.Anha:
كَانَتْ تِلْكَ صَلاَتَهُ يَسْجُدُ السَّجْدَةَ مِنْ ذَلِكَ قَدْرَ مَا يَقْرَأُ أَحَدُكُمْ خَمْسِينَ آيَةً، قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ رَأْسَهُ
Maksudnya: “…Baginda melakukan satu kali sujud daripada sebelas rakaat itu, (masanya) pada kadar kira-kira kamu membaca lima puluh ayat sebelum Baginda mengangkat kepalanya (daripada sujud)..”
Riwayat al-Bukhari (1123)
Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memanjangkan sujudnya ketika Baginda menunaikan solat malam.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (8/3), bahawa Baginda SAW banyak membaca ketika rukuk dan sujud:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي.
Maksudnya: “Maha suci Engkau, segala puji bagi-Mu, wahai Tuhan, ampunilah daku.”
Baginda SAW juga membaca ketika sujud:
سُبْحَانَكَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Segala puji bagimu, tiada Tuhan melainkan Engkau.”
Berbaring pada Sebelah Kanan Sebelum Solat al-Fajr
Dalam hadith di atas juga, dijelaskan bahawa Nabi SAW berbaring pada lambung kanan sepertimana yang disebut dalam hadith Aisyah R.Anha di atas. Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan para ulama’, sama ada ia sunnah ataupun tidak.
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Disunatkan berbaring pada lambung kanan selepas solat sunat al-Fajr dan perlulah menunaikan solat sunat tersebut di awal waktu. Selain itu juga, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan berbaring (selepas daripada solat sunat). Jika tidak, pisahkan (antara solat sunat al-Fajr dan solat al-Fajr) dengan bercakap atau beralih tempat atau seumpamanya.” (Lihat al-Mu’tamad, 1/377)
Meskipun begitu, dinasihatkan agar perbuatan ini dilakukan di rumah supaya tidak menimbulkan gangguan terhadap jemaah yang datang ke masjid. Caranya adalah dengan melakukan solat sunat yang ringkas, lalu berbaring. Selain itu juga, hal ini digalakkan bagi sesiapa yang menunaikan solat malam dan tidak bagi yang tidak menunaikannya.
Penutup
Sesungguhnya, Rasulullah SAW merupakan contoh dan suri teladan yang terbaik. Apatah lagi, dalam urusan ibadat bahkan secara khusus, Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk mengikut cara ibadat solatnya. Daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
[1] Iaitu hadith daripada al-Qasim bin Muhammad, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنَ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الوِتْرُ، وَرَكْعَتَا الفَجْرِ.
Maksudnya: “Biasanya Nabi SAW solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk solat witir, dan dua rakaat (solat sunat) Fajar.”
Riwayat al-Bukhari (1140)
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445