Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah doa kepada sahabat tanpa diketahui olehnya, maka doa itu akan dimustajabkan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
(Surah Ghafir: 60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ
Maksudnya: “Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.”
Riwayat al-Tirmizi (3479). Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif.
Antara tanda mustajabnya doa ialah: Rasa takut, menangis, gementar, tenangnya hati, begitu juga sejuknya jiwa dan dada, rasa kesungguhan dalam batin dan jiwa seseorang, ringan pada zahir untuk beribadat, seolah-olah ia selesai dan dicabut daripada tanggungan yang berat. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, 1/136)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Abu Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba yang Muslim, apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: ‘Dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).”
Riwayat Muslim (4912)
Daripada Safwan bin Abdillah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ، عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ، قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
Maksudnya: “Doa seseorang Muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa), terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan, maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: “Amin, dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu).”
Riwayat Muslim (4914)
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dengan ‘ظَهْر الْغَيْبِ’ adalah ketika orang yang didoakan itu tiada, ataupun berdoa kepadanya secara diam-diam (tanpa pengetahuannya). Ini kerana, dengan cara itu akan menimbulkan atau meningkatkan tahap keikhlasan kita ketika berdoa. Manakala maksud sabda Baginda, ‘ بِمِثْلٍ’ iaitu sepertimana yang orang itu doakan.
Hal ini menunjukkan akan kelebihan berdoa kepada saudaranya seislam secara diam-diam atau sembunyi. Walaupun yang didoakan itu adalah sekumpulan kaum muslimin, maka dia akan memperolehi kebaikan ini (kemustajaban doa). Jika yang didoakan itu adalah sebahagian daripada kaum muslimin, maka zahirnya dia juga mendapat kelebihan ini (iaitu dimakbulkan doanya).
Disebabkan itu, sebahagian salaf, apabila mereka ingin mendoakan kepada dirinya, maka mereka akan berdoa kepada saudaranya seislam secara sembunyi kerana ia adalah mustajab dan mereka akan beroleh yang sama seperti yang didoakan itu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/49).
Penutup
Sahabat sejati bukan semata-mata baik di hadapan tetapi sentiasa mengirimkan doa untuk keselamatan sahabatnya walaupun pada jarak yang jauh. Mereka saling pesan-memesan dan pohon memohon agar mendoakan kepada masing-masing, lebih-lebih lagi ketika musafir kerana doa orang musafir adalah mustajab. Rasulullah SAW pernah berkata kepada Umar R.A:
لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ
Maksudnya: “Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu.”
Riwayat Abu Daud (1498), al-Tirmizi (3562), Ibn Majah (2894) dan Ahmad (195). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
(Surah al-Hasyr: 10)
Wallahu a’lam
Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445