#2902: Renet Haiwan Yang Disembelih Tidak Menurut Syarak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan keju yang proses pembuatannya menggunakan ‘rennet’ daripada lembu/kambing yang tidak disembelih mengikut hukum syarak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Renet

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan renet. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, renet ialah bahan yang digunakan untuk me­ngentalkan susu, terutamanya dalam pem­buatan keju.[1] Menurut Britannica, renet adalah campuran enzim yang biasanya diperoleh daripada perut keempat anak lembu. Ia mengandungi beberapa enzim proteolitik (mendegradasi/mengurai protein), termasuk rennin[2] dan pepsin.[3] Sesetengah keju, seperti keju kotej dan keju krim, dihasilkan melalui pengumpalan asid sahaja.[4]

Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai infahah (الإِنْفَحَةُ) iaitu merujuk kepada sesuatu yang berwarna kuning yang diekstrak daripada perut anak kambing. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 313).  Begitu juga al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah mendefinisikan infahah sebagai suatu bahan berwarna putih kekuningan dalam bekas kulit yang diekstrak daripada perut anak kambing atau lembu yang masih menyusu. Apabila sedikit bahan ini ditambahkan ke dalam susu, ia akan mengentalkannya dan menjadi keju. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/155).

Renet Haiwan yang Disembelih Mengikut Syarak

Dalam menjawab soalan di atas, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/155) dinyatakan bahawa renet jika diambil daripada haiwan yang disembelih menurut syarak, maka ia adalah suci dan boleh (halal) dimakan. Ini adalah pendapat ulama Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah. Hal ini kerana tidak ada sesuatupun daripada bahagian anggota haiwan halal yang disembelih menjadi najis disebabkan oleh sembelihan yang dilakukan. Sebaliknya, kita diharuskan untuk mengambil manfaat dengan dagingnya, tulangnya, bulunya, uratnya dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80). Bahkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/153) ada dinukilkan bahawa tidak syak lagi, sembelihan yang dilakukan pada haiwan yang halal dimakan, menunjukkan bahawa haiwan itu harus untuk dimakan secara keseluruhannya — yakni meliputi seluruh bahagian atau anggotanya yang lain selagi mana tiada nas dalil yang menyatakan sebaliknya.

Renet Bangkai atau Haiwan yang Tidak Disembelih Mengikut Syarak

Adapun, jika renet itu diambil daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih menurut syarak, maka para ulama berbeza pendapat mengenai kehalalannya kepada dua pendapat:

Pendapat pertama, ia dikira sebagai najis dan tidak boleh dimakan di sisi jumhur ulama dalam kalangan Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah mengikut riwayat yang zahir daripada mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih).

(Surah al-Ma’idah: 3)

Ini kerana renet itu telah menjadi najis dengan sebab kematian haiwan itu (bangkai). Maka tidak mungkin untuk menghilangkan kenajisan itu daripadanya, sebagaimana situasi sekalipun renet itu dipisahkan daripada badan bangkai itu kerana ia telah pun menjadi najis dengan sebab kematian haiwan itu.

Imam al-Nawawi menyatakan, umat telah bersepakat bahawa adalah dibolehkan untuk memakan keju selagi ia tidak bercampur dengan najis, seperti jika renet yang terkandung di dalamnya itu berasal daripada sembelihan binatang orang yang tidak sah sembelihannya. Oleh itu, apa yang kita sebutkan berkenaan dengan ijma‘ ini adalah asas dalam mengharuskan keju. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/68)

Pendapat kedua, ia adalah suci dan boleh dimakan. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Imam Abu Hanifah berpendapat, ia adalah suci dan boleh dimakan, sama ada ia dalam bentuk pepejal atau cecair, dengan mengiyaskannya kepada susu.[5] Namun, dua murid kanannya iaitu Muhammad al-Syaibani dan Qadi Abu Yusuf pula berpendapat, jika ia dalam bentuk pepejal, lalu dibasuh bahagian luarnya (zahirnya), maka ia boleh dimakan. Jika ia dalam bentuk cecair, maka ia adalah najis kerana kenajisan bekasnya disebabkan kematiannya (tidak menurut syarak), maka ia haram dimakan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/155).

Pendapat ini juga ialah pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Fatawa (21/102) di mana beliau menyebutkan, pendapat yang kuat ialah keju orang Majusi adalah halal, dan renet daripada bangkai serta susunya adalah suci. Di tempat lain dalam al-Fatawa (35/154), beliau menyatakan, keju yang dibuat dengan renet sebahagian kumpulan Batini kafir, padanya terdapat dua pendapat masyhur dalam kalangan ulama sebagaimana halnya renet bangkai, renat sembelihan orang Majusi dan sembelihan orang Eropah. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad dalam salah satu riwayatnya, keju ini adalah halal kerana renet yang diambil daripada bangkai adalah suci mengikut pendapat ini. Ini juga kerana renet tidak mati dengan sebab matinya haiwan itu dan bersentuhan dengan bekas najis pada bahagian dalamnya tidak menajiskannya. Manakala mazhab Imam Malik, Syafi‘i dan Ahmad dalam riwayatnya yang lain berpendapat, keju ini adalah najis kerana renet tersebut (yang digunakan itu) menurut mereka adalah najis kerana ia berasal daripada susu bangkai dan renet yang diambil daripada bangkai. Sesiapa yang tidak boleh dimakan sembelihannya, maka sembelihan mereka hukumnya adalah seperti bangkai. Setiap daripada pemilik kedua-dua pendapat ini berhujah berdasarkan kepada athar yang dinukilkan daripada para sahabat. Ulama yang berpegang dengan pendapat pertama (iaitu keju tersebut halal) menukilkan bahawa para sahabat memakan keju orang Majusi. Manakala ulama yang berpegang dengan pendapat kedua (iaitu keju tersebut haram) menukilkan bahawa para sahabat memakan apa yang mereka anggap sebagai keju orang Nasrani.

Fatwa-fatwa Badan Berautoriti

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa keju sebagai bahan makanan adalah harus sama ada enzim yang digunakan sebagai bahan campuran dalam pembuatan keju itu diperolehi daripada tumbuhan atau kulat atau binatang yang halal dan disembelih.[6]

Manakala dalam resolusi Nadwah Pengurusan Islam ke-8 dalam Ilmu Perubatan yang diadakan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995, antara lain merumuskan bahawa:

  • Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
  • Sabun yang dihasilkan melalui proses istihalah daripada lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah bersih dan harus digunakan.
  • Keju yang dihasilkan daripada renet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah bersih dan harus digunakan.
  • Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
  • Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5261-5266).

Begitu juga Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika ditanya mengenai adakah dibolehkan memakan keju yang dibuat daripada renet di negara-negara Barat? Mereka menjawab, tidak mengapa memakan keju yang dibuat di negara-negara Barat, dan tidak perlu bagi seorang Muslim untuk mencari-cari (menyelidik) sumber renet yang digunakan dalam pembuatan keju. Hal ini kerana hukum asal makanan mereka adalah halal. Firman Allah SWT:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ

Maksudnya: “Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu.

(Surah al-Ma’idah: 5)

Begitu juga Abdullah bin Umar R.Anhuma pernah ditanya mengenai keju. Lalu beliau menjawab:

 كُلْ مَا صَنَعَ الْمُسْلِمُونَ وَأَهْلُ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Makanlah apa yang dibuat oleh kaum Muslimin dan ahli kitab.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19725)[7]

Bahkan, disebutkan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj (1/245) oleh Imam al-Ramli bahawa dimaafkan keju yang dihasilkan dengan renet daripada haiwan yang sumber makanannya selain susu berdasarkan kaedah ‘Umum al-Balwa[8] pada zaman ini sebagaimana yang telah difatwakan oleh bapaku.[9] Hal ini kerana ia termasuk dalam kaedah “الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ” (kepayahan membawa kepada keringanan) dan “أَنَّ الْأَمْرَ إِذَا ضَاقَ اتَّسَعَ” (Suatu perkara itu apabila sempit, diperluaskan).

Oleh yang demikian, dibolehkan untuk memakan keju yang dihasilkan di negara Barat, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud daripada hadith Ibn Umar, katanya:

أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِجُبْنَةٍ فِي تَبُوكَ، فَدَعَا بِسِكِّينٍ، فَسَمَّى وَقَطَعَ

 Maksudnya: “Nabi SAW dihidangkan dengan keju di Tabuk, lalu Baginda meminta diambilkan pisau. Kemudian membaca bismillah dan memotongnya.”

Riwayat Abu Dawud (3819)

Namun, jika diketahui bahawa keju atau renet itu diambil daripada bangkai atau haiwan yang diharamkan, maka tidak boleh memakannya.[10]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa keju yang dihasilkan dengan renet yang diambil daripada haiwan yang disembelih menurut syarak adalah halal untuk dimakan.

Manakala bagi keju yang dihasilkan dengan renet yang diambil daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih menurut syarak atau haiwan yang diharamkan, tidak syak lagi terdapat perselisihan ulama padanya. Namun, kami berpendapat bahawa ia adalah tidak halal dan tidak boleh dimakan kerana turut dihukumkan sebagai najis sebagaimana pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati dan selamat serta menenangkan jiwa sebagai mengambil langkah keluar daripada khilaf mereka yang mengharamkannya. Kaedah menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=renet. Diakses pada 22 Ogos 2023.

[2] Rennin ialah enzim yang memangkin­kan penukaran kaseinogen susu menjadi kasein yang tak larut, terdapat dalam jus gaster dan biasanya diekstrak daripada perut lembu untuk membuat keju. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rennin. Diakses pada 23 Ogos 2023).

[3] Pepsin ialah enzim di dalam perut yang meng­ubah protein kepada pepton. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pepsin. Diakses pada 23 Ogos 2023).

[4] Lihat https://www.britannica.com/science/rennet. Diakses pada 23 Ogos 2023.

[5] Hal ini kerana susu yang keluar daripada bangkai haiwan yang halal dimakan dagingnya seperti kambing sebagai contoh, adalah suci dan boleh diminum di sisi Imam Abu Hanifah. Ini kerana Allah SWT berfirman:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

(Surah al-Nahl: 66)

Ini kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah menyifatkannya sebagai bersih (suci), oleh itu ia tidak tercemar dengan kotoran tempat ia mengalir. Allah juga menyifatkannya sebagai sedap rasanya, dan ini menunjukkan ia adalah halal. Begitu juga Allah memberikan nikmat ini kepada kita dengannya, dan nikmat itu datang dari yang halal, bukan dari yang haram.

Manakala dua murid kanannya, Malikiyyah dan Syafi‘iyyah pula berpendapat ia adalah haram untuk diminum kerana ia telah menjadi najis dengan sebab tempat ia dikeluarkan dihukumkan sebagai najis, iaitu kantung susu bangkai yang menjadi najis dengan sebab kematiannya (bukan dengan cara sembelihan menurut syarak). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/155).

[6] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15278. Diakses pada 23 Ogos 2023.

[7] Juga diriwayatkan dalam al-Sunan al-Saghir (3129). Inilah juga yang diucapkan oleh Umar bin al-Khattab, Abdullah bin Mas‘ud dan selain mereka berdua. Dalam al-Sunan al-Kubra (19/596) dinyatakan, turut diriwayatkan seumpama hadith ini daripada Abdullah bin ‘Abbas dan Anas bin Malik.

[8] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.

[9] Iaitu merujuk kepada Syihabuddin al-Ramli.

[10] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3317. Diakses pada 23 Ogos 2023.

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445