Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan sejarah hidup Ummu Aiman kepada kami?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Namanya ialah Barakah binti Tha‘labah bin ‘Amr bin Hisn bin Malik bin Salmah bin ‘Amr bin Nu‘man al-Habasyiyyah. Beliau berkahwin dengan Zaid bin Harithah selepas perkahwinannya yang pertama iaitu dengan ‘Ubaid al-Habasyi. Beliau lebih dikenali dengan Ummu Aiman kerana anak pertamanya bernama Aiman bin ‘Ubaid. Namun anak lelakinya yang paling masyhur dan merupakan seorang sahabat yang utama ialah Usamah bin Zaid. Beliau dikenali sebagai maulah Rasulullah SAW dan juga pengasuh Baginda SAW. Beliau menjaga dan mengasihi Nabi Muhammad sejak kecil. Baginda menganggapnya seperti ibu sendiri. Selain itu, Ummu Aiman juga termasuk orang yang pertama memeluk Islam. Beliau telah berhijrah sebanyak dua kali iaitu berhijrah ke bumi Habasyah dan berhijrah ke Madinah.

Menurut al-Waqidi, nama sebenar Ummu Aiman ialah Barakah dan beliau adalah hamba milik Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib, lalu menjadi hamba milik Nabi SAW  melalui warisan pusaka. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1793; Usd al-Ghabah, 7/35 dan 7/290).

Ummu Aiman begitu akrab dengan Rasulullah SAW kerana beliaulah yang membawa Rasulullah SAW pulang dari Abwab selepas dikebumikan ibunya Aminah. Abwab jaraknya 140 km dari Madinah menuju ke arah Mekah.

Tambahan lagi, terdapat riwayat yang memberi isyarat bahawa beliau termasuk dalam kalangan ahli syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Sufyan bin ‘Uqbah, katanya:

كَانَتْ أُمُّ أَيْمَنَ تُلَطِّفُ النَّبِيَّ صلّى الله عليه وسلم وَتَقُومُ عَلَيْهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلم: «مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَتَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَلْيَتَزَوَّجْ أُمَّ أَيْمَنَ» فَتَزَوَّجَهَا زَيْدُ بْنُ حَارِثَةَ فَوَلَدَتْ لَهُ أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ.

Maksudnya: “Ummu Aiman selalu bersikap baik dan lemah lembut kepada Nabi SAW serta berkhidmat untuknya. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang ingin menikah dengan wanita ahli syurga maka hendaklah dia menikahi Ummu Aiman.’ Lalu Zaid bin Harithah menikahinya dan (hasil perkahwinan itu) Ummu Aiman telah melahirkan Usamah bin Zaid.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 8/224; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/359; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/225, menyebutkan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah tetapi ia munqati‘).

Menurut al-Waqidi, Ummu Aiman telah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Uthman. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/360-361; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/227). Namun terdapat riwayat daripada Ibn al-Sakan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhri bahawasanya Ummu Aiman meninggal dunia selepas 5 bulan kewafatan Rasulullah SAW, dan riwayat ini adalah mursal.Ia bercanggah dengan hadith Tariq yang menceritakan berkenaan ucapan Ummu Aiman selepas terbunuhnya Umar dan riwayat itu adalah mausul serta lebih kuat. Bahkan pendapat ini juga dipegang oleh Ibn Mandah dan ulama selainnya.

Tambahan lagi, Ibn Mandah ada menambah bahawa beliau meninggal dunia selepas 20 hari kewafatan Umar.

Kemudian Ibn al-Sakan telah menghimpunkan antara dua pendapat ini dan mengharmonikannya dengan menyatakan bahawa apa yang disebut oleh al-Zuhri adalah merujuk kepada maulah Nabi SAW, manakala apa yang disebut oleh Tariq bin Syihab pula adalah merujuk kepada maulah Ummu Habibah. Kedua-duanya bernama Barakah dan nama julukan (kunyah) mereka juga ialah Ummu Aiman.  Akan tetapi ia adalah andaian yang  jauh. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/361-362). (Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 401-403)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445